Johor Search

Custom Search

Followers

29 March 2010

Teknologi maklumat untuk tingkat mutu kehidupan, bukan sebagai alat manipulasi

Nbi Malaysia MASYARAKAT jalur lebar – ini fenomena baru melanda kelompok lebih besar komuniti di negara kita. Ia datang membawa pelbagai perubahan dan persepsi dalam tanggapan mengenai sesuatu maklumat, kejutan, potensi mahupun bahan atau ruang untuk mengeksploitasi atau memanipulasi serta yang dianggap mengancam sahsiah atau meniris keimanan.

Perkembangan pesat ini turut menyediakan ‘medium’ atau wadah baru kepada perlakuan dinamakan jenayah siber. Perlakuan dalam alam maya itu memerlukan set perundangan untuk mengawal, menguatkuasakan dan mendakwa selain melindungi kepentingan industri, pemain serta pengguna (orang ramai). Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pastinya menyedari perkembangan itu dan bertindak meletakkan set perundangan yang mampu memenuhi perkembangan semasa serta kerencaman dunia siber tidak bersempadan itu. Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, ketika ditemui mengakui, ada beberapa aspek perundangan perlu diteliti semula. Contoh paling kecil, terjemahan kepada istilah ‘jelek’ yang sangat subjektif. Yang lain, jika ada Akta Hasutan, kenapa ia tidak dimasukkan dalam Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998. “Satu lagi aspek ialah denda dan kadar pemenjaraan yang dikatakan tidak sama dengan undang-undang lain. Ini turut mengundang kritikan dan kita akan lihat dari segi itu. Isu lain, membabitkan aspek keterangan atau bukti yang sukar dikesan kalau terminal itu beroperasi di luar negara. Soal ini (bagai) tidak ada penyelesaian atau cara jalan keluar. “Selepas mendengar semua kritikan ini, kami sedang meneliti satu persatu sama ada kita akan membuat pindaan atau gunakan undang-undang lain yang sedia ada,” katanya. Ditanya mengenai potensi jenayah baru berikutan perkembangan pesat kemudahan perkhidmatan jalur lebar, beliau berkata: “Itu banyak.” Pastinya, lebih ramai warga negara ini terdedah kepada penipuan, perjudian dan pornografi kanak-kanak yang dianggap jenayah lama dalam bentuk baru. “Yang lain, ialah transaksi jualan yang menyalahgunakan kad kredit. Hal ini, memang saya akui dan perlu kita lihat menerusi pendekatan lain,” katanya.

Menjawab soalan sama ada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan digunakan bagi kes tertentu, beliau menyifatkannya sebagai bukan jalan keluar. “Itu soal keselamatan negara dan ISA dalam hal ini langsung tidak boleh dilibatkan kecuali internet itu digunakan bagi tujuan subversif. Kalau subversif baru boleh (digunakan). (Tetapi) itu terserah kepada Seksyen 8 (1) atau 70 (3) Ceraian 1,” katanya. Persoalan mengenai perundangan berkaitan jenayah siber turut melarat kepada kemungkinan jenayah siber yang mencabul atau melakukan pelanggaran terhadap Perlembagaan Persekutuan. Rais yang memiliki latar belakang perundangan, ternyata cekap mengesan isu itu dengan berkata: “Perlanggaran itu bergantung kepada jenis perlakuan seseorang. Misalnya memperkecilkan penduduk Sabah dan Sarawak. Ini satu kesalahan tapi kalau ini berlaku, harus kita buat sistem laporan yang jelas dan SKMM mengadakan penguatkuasaan yang tegas. Itu pun satu bab sekarang kita sedang buat (teliti) dan perkukuhkan.” Pastinya, SKMM turut meneliti perundangan dalam Kanun Keseksaan, Kanun Jenayah dan Akta Hasutan serta lain-lain berkaitan. Apatah lagi, statistik menunjukkan ada kecenderungan perlakuan menyalahi undang-undang apabila Rais memberitahu, suruhanjaya itu menerima 101 aduan berhubung kandungan laman web atau blog mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998. Sebanyak 58 aduan bagi kandungan lucah dan 43 aduan membabitkan kandungan mengancam serta jelek.

Sesungguhnya, perkhidmatan jalur lebar asas menjadi komponen penting dalam pembangunan enam juta isi rumah di seluruh negara mulai sekarang. Pastinya, ini satu cabaran dan tanggungjawab berat untuk mengembangkan perkhidmatan itu dari zon tumpuan iaitu kawasan membangun dan perbandaran ke luar bandar. Lantas, akhirnya lahir Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) sebagai antara komponen Model Ekonomi Baru yang antara lain bertujuan mewujudkan ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020. Inisiatif itu dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Dataran Merdeka, malam kelmarin, dan menjadi satu lagi infrastruktur negara untuk kemudahan warga bandar, komuniti perniagaan serta penduduk luar bandar. “Infrastruktur baru itu akan memacu kepesatan MEB,” kata Rais. Satu lagi cabaran SKMM dalam perkembangan ini ialah bagaimana ‘menyatukan’ 30 syarikat penyedia perkhidmatan jalur lebar. Maknanya, mewujudkan persaingan sihat, seimbang antara luar dan dalam bandar serta membebaskan entiti daripada pertindihan zon liputan. Justeru, apakah SKMM ada kemungkinan menggabungkan mereka menjadi beberapa penyedia saja? Mengambil iktibar kejayaan penggabungan institusi perbankan selepas kegawatan ekonomi 1997-1998 supaya menjadi lebih besar dan kukuh, maka semangat sama boleh dijadikan asas penggabungan syarikat penyedia perkhidmatan berkenaan. Kewujudan terlalu banyak pemain akhirnya mewujudkan usaha ‘membunuh’ lawan dan persaingan sihat tidak ada lagi dalam kamus perniagaan mereka.

SKMM dikatakan menyedari betapa syarikat penyedia itu mengabaikan kawasan pinggir dan luar bandar serta kawasan pedalaman (terpencil). Perkhidmatan jalur lebar hanya tertumpu di bandar dan bandar raya. Selain itu, jika ada matlamat mahu mewujudkan komuniti celik komputer dan media baru di negara ini, maka perlu ada usaha untuk mewujudkan persekitaran ‘online’ dengan kandungan bermutu. Ini perlu kaedah pendidikan dan kesedaran berteraskan ‘keperluan Malaysia’ untuk memastikan mereka mengawal diri sendiri dalam pemerolehan bahan itu. Pastinya fasa kedua ledakan jalur lebar ini akan memberi kejutan kepada sebahagian lagi warga negara yang sebelum ini tidak terlalu ‘terdedah’ kepada dunia siber. Ia memberi kesan kepada sosial, politik dan ekonomi bergantung kepada cara perkhidmatan itu dimanfaatkan.

Tahap penembusan jalur lebar itu antara lain boleh diukur melalui jumlah penggunaan telefon bimbit, penggunaan dan pemilikan komputer, aplikasinya membabitkan 10,000 sekolah selain penggunaan terhadap perkakasan multimedia lain. Pada masa sama, apabila ada NBI dan infrastrukturnya dianggap infrastruktur negara, maka SKMM turut wajar melihat keperluan mewujudkan penanda aras berkaitan kos, kelajuan dan kualiti perkhidmatan jalur lebar yang disediakan oleh syarikat penyedia perkhidmatan itu. “Kenapa perlu ada perbezaan ini (diskriminasi liputan antara bandar dan luar bandar)? Dan diharap semua keresahan itu dapat diredakan selepas 24 Mac ini. Kosnya mesti diturunkan,” kata Rais lagi. Ketika ini, ada tiga kelompok harga perkhidmatan jalur lebar iaitu bawah RM50 yang disediakan lima syarikat, RM50 hingga RM100 (enam syarikat) dan melebihi RM100 (tujuh syarikat) masing-masing tertakluk kepada pada kelajuannya. Sementara itu, antara ‘keajaiban’ yang berlaku dalam perkhidmatan ini, contohnya, majalah .myconvergence (Vol. 3 No. 2 July 2009) menyiarkan laporan mengenai sebuah syarikat operator telefon mudah alih, merekodkan statistik luar biasa 100 juta SMS sehari, selain 4.6 juta pengguna ‘caller ringback tune’, 1.9 juta pengguna MMS dan lebih 3.1 pelanggan Friend Finder. Syarikat itu turut memiliki 4.8 juta pengguna internet mudah alih. Yang hendak diperkatakan di sini betapa web mudah alih kini tumbuh lapan kali lebih pesat berbanding web berasaskan komputer peribadi.

Kini terpulang bagaimana pengguna, organisasi, komuniti perniagaan, penyedia perkhidmatan dan sektor lain boleh menyediakan bahan melalui web mudah alih kepada sasaran. Inilah antara contoh betapa besarnya keperluan, impak dan potensi industri ini kepada negara dan NBI mampu meraihnya.

http://nbi.com.my/

http://broadband.nbi.com.my


JohorToday

No comments:

Post a Comment

Informasi Anda..

Blog Pilihan