Johor Search

Custom Search

Followers

25 March 2010

Berita Harian Online

Berita Harian Online


Kenangan Masjid Ihsaniah Iskandariah

Posted: 24 Mar 2010 03:57 PM PDT



SENJA itu Mohamad Anuar Abu Bakar, 60, seperti biasa ke Masjid Al-Wahidiah, Kampung Kuala Dal, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak untuk mengimamkan solat Maghrib.

Tatkala hampir ke pintu pagar masjid, beliau merenung bangunan kayu unik berwarna kuning, putih dan hitam tersergam indah terletak bersebelahan masjid berkenaan.

Itulah Masjid Ihsaniah Iskandariah. Unik kerana ia satu-satunya rumah ibadah Islam di negara ini dan di dunia yang mempunyai dinding tepas iaitu diperbuat daripada kelarai atau anyaman buluh.

Kisah masjid itu cukup dramatik. Suatu ketika ia pernah menjadi nadi utama kerukunan dan simbol agama penduduk Kampung Kuala Dal.

Keadaan masjid tersebut agak uzur dalam tempoh lebih tiga dekad.


MASJID Ihsaniah Iskandariah semasa ia mula-mula ditinggalkan pada 1976 di Kampung Kuala Dal, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak.


“Namun ketika ia hampir menyembah bumi, Jabatan Warisan Negara melakukan kerja-kerja konservasi untuk membaiki kerosakan struktur bangunan tersebut dan ‘menghidupkan’ masjid yang berusia 74 tahun ini.

“Terasa macam mimpi, saya dan beberapa warga emas Kampung Kuala Dal cukup bertuah kerana dapat menyaksikan tiga frasa masjid ini iaitu dari 1930-an sehingga 1976, zaman kesuraman dari lewat 1970-an hingga 2009 dan kini zaman kebangkitan semula,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui.

Mohamad Anuar yang juga Pengerusi Masjid Al-Wahidiah antara individu yang begitu dekat dengan Masjid Ihsaniah Iskandariah dan Masjid Al-Wahidiah.

Datuknya, Abdul Wahid Abdul Daud dan ayahnya, Abu Bakar Ismail juga pernah diamanahkan untuk menjadi imam di masjid kampung tersebut.

Abu Bakar lebih beruntung kerana berpeluang menjadi imam di kedua-dua buah masjid.

Masjid Ihsaniah Iskandariah dibina di atas sebidang tanah yang diwakafkan oleh seorang bangsawan, Juragan Abdul Shukur Mohammmad Ali dan pembiayaannya sebanyak 8,000 pound sterling (RM40,000) ditanggung oleh Sultan Perak ke-30, Sultan Iskandar Shah pada 1936.

Sebelum itu, Sultan Iskandar telah bernazar untuk membina sebuah masjid jika salah seorang daripada anakanda baginda yang gering sembuh.


WAJAH baru Masjid Ihsaniah Iskandariah yang menjadi kebanggaan penduduk Kampung Kuala Dal.


Kampung Kuala Dal dipilih selepas baginda terlihat penduduk kampung berkenaan bersolat di sebuah madrasah yang usang ketika dalam perjalanan pulang berkelah di Lata Bubu tidak jauh dari situ.

Seni bina masjid tersebut diilhamkan sepenuhnya oleh Sultan Iskandar. Masjid tersbeut diinspirasikan daripada seni bina Istana Kenangan di Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Kenangan manis

Masjid yang diabadikan sempena nama baginda bercirikan seni bina tradisional Melayu Perak. Kesemua dindingnya diperbuat daripada panel kelarai bercorak intan yang dikenali sebagai dinding tepas atau tepus.

Antara keunikan lain masjid dua tingkat itu ialah reka bentuk binaannya yang menyerupai sangkar burung dan tingkapnya dihiasi ukiran serta bumbungnya kelihatan rata.

Masjid yang juga dikenali sebagai Masjid Lama Kampung Kuala Dal itu berbentuk empat segi dan tidak mempunyai kubah seperti masjid-masjid lain di seluruh dunia.

Semua struktur bangunan termasuk ragam dan kelarai dibina dan diukir oleh tukang-tukang kayu tempatan terkenal seperti Panjang Noh, Ngah Gadoh, Wan Ibrahim dan Kulup Ngah.

Masjid tersebut dirasmikan oleh Sultan Iskandar pada 11 Februari 1938 iaitu beberapa bulan sebelum kemangkatan baginda pada Oktober tahun sama.

Mohamad Anuar berkata, tingkat atas masjid tersebut dijadikan dewan solat yang boleh memuatkan 200 jemaah pada satu-satu masa manakala tingkat bawah dijadikan dewan perjumpaan, aktiviti kemasyarakatan serta persidangan pembesar negeri Perak.

Apakah kenangan manis Mohamad Anuar? Sebagai anak dan cucu bekas imam, sebahagian besar zaman kanak-kanaknya dihabiskan di sekitar masjid tersebut.

“Selain menjadi tempat beribadat hampir setiap masa, masjid tersebut memang sentiasa sibuk dengan aktiviti seperti kelas agama, kelas mengenal huruf dan membaca untuk golongan dewasa.

Kelas memasak, menjahit dan kraftangan anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) juga diadakan di situ.

KERJA-KERJA konservasi Masjid Ihsaniah Iskandariah siap sepenuhnya pada Julai 2009.



Sebuah pondok pengawal pernah dibina di perkarangan masjid tersebut pada zaman Darurat bagi memastikan keselamatan penduduk kampung daripada ancaman Komunis.

“Masjid semakin diimarah apabila tiba Ramadan. Kami berbuka puasa, bertilawah al-Quran dan solat tarawih bersama-sama.

“Selepas solat tarawih, sebahagian penduduk kampung akan meneruskan ibadat sunat seperti qiyammulail dan berzikir sehingga Subuh dengan cahaya pelita.

“Menjelang Syawal, arwah datuk dan beberapa penduduk kampung akan memasang panjut yang diperbuat daripada buluh dan tin susu di sekeliling perkarangan masjid bagi memeriahkan suasana,” katanya.

Sepanjang ingatannya, Mohamad Anuar pernah berhadapan dengan satu pengalaman misteri semasa menemani ayahnya dan beberapa penduduk kampung lain berzikir dan beratib pada awal pagi Ramadan.

Katanya, ketika mereka asyik berzikir di tingkat atas Masjid Ihsaniah Iskandariah tiba-tiba lantai yang diduduki beralun-alun dan mengeluarkan bunyi seolah-olah turut berzikir.

“Saya terkejut dan ketakutan terus berlari mendapatkan ayah. Namun beliau dan beberapa penduduk kampung cuma bersenyum dan meneruskan aktiviti beratib. Peristiwa itu kekal misteri hingga sekarang,” katanya.

Namun kegemilangan Masjid Lama Kampung Kuala Dal pudar apabila sebahagian strukturnya rosak teruk akibat dihempap dahan pokok durian sekitar 1976.


PEMANDANGAN tingkap Masjid Ihsaniah Iskandariah selepas kerja-kerja konservasi.


Kejadian itu menyebabkan sebuah masjid baru yang lebih besar dibina bersebelahannya di atas sebidang tanah yang diwakafkan oleh datuk Mohamad Anuar, Abdul Wahid.

Sebagai mengenang jasa dan pengorbanan Abdul Wahid yang juga pernah menjawat Ketua Kampung Kampung Kuala Dal, masjid baru itu dinamakan Masjid Al-Wahidiah.

Mohamad Anuar memberitahu, biarpun sudah mempunyai masjid baru, kenangan penduduk kampung terhadap Masjid Ihsaniah Iskandariah tidak pernah pudar.

Pelbagai ikhtiar dilakukan bagi menyelamatkan warisan kebanggaan penduduk kampung itu.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara, Profesor Emeritus Datuk Siti Zuraina Abdul Majid berkata, masjid berkenaan telah digazetkan sebagai bangunan warisan negara. Kerja-kerja konservasi dimulakan pada Disember 2008.

kredit : kosmo.com.my

Hari Orkid BCWA

Posted: 24 Mar 2010 03:53 PM PDT


SEBAHAGIAN daripada kakitangan Pusat Perubatan Prince Court Kuala Lumpur yang hadir pada majlis pelancaran Hari Orkid dan Kempen Kesedaran Kanser Payu Dara di pusat perubatan tersebut baru-baru ini.


TAHUKAH anda bahawa seorang daripada 20 wanita berisiko mendapat kanser payu dara? Persoalannya sejauh manakah kaum wanita mempersiapkan diri dengan maklumat atau kekuatan emosi sekiranya berdepan dengan penyakit itu?

Menurut Presiden Pertubuhan Kebajikan Kanser Payu Dara (BCWA), Ranjit Kaur, biasanya adalah sukar bagi seseorang wanita menerima kenyataan bahawa dirinya menghidap kanser payu dara.

“Bagi yang berpendidikan, mereka mungkin boleh menempuhnya kerana mereka tahu bagaimana hendak mendapatkan maklumat dan sokongan.

“Bagaimana dengan wanita di kampung-kampung yang kurang didedahkan dengan maklumat tentang penyakit ini?” soalnya.

Sehubungan itu, BCWA mengadakan Hari Orkid pada 5 hingga 8 Mac lalu bagi mengumpul kutipan dana untuk mengendalikan aktiviti sokongan bagi penghidap kanser yang akan diperluaskan ke kawasan luar bandar.

“Kami mahu memberitahu bahawa keperitan itu sementara sahaja dan mereka mampu meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Selain itu, kami mahu mendidik wanita di luar bandar mengenai pentingnya pemeriksaan awal kanser payu dara yang mampu menyelamatkan nyawa kerana peluang untuk pulih adalah tinggi,” ujarnya.

Peka dengan situasi tersebut, Pusat Perubatan Prince Court (PCMC) Kuala Lumpur mengambil inisiatif memberikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada BCWA bagi membolehkan pertubuhan tersebut melaksanakan aktiviti-aktiviti pemulihan yang dirancang.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PCMC, Stuart D. Rowley kepada BCWA sambil disaksikan mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz.

Menurut Stuart, wanita adalah aset dalam kehidupan kerana mereka memainkan peranan yang sangat penting.

“Sumbangan ini adalah salah satu cara kami menghargai dan menyokong wanita,” katanya.

Sempena Hari Orkid itu, PCMC mengadakan pertandingan menggubah bunga orkid yang melibatkan kakitangannya.

Kesemua 25 gubahan bunga tersebut diadili oleh Rafidah Aziz, Ranjit Kaur dan Ketua Pegawai Korporat PCMC, Edda Fischer.

Kumpulan yang berjaya menawan hati juri membawa pulang hamper bernilai RM350 dan wang tunai sebanyak RM1,000.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank, BCWA 512231338381 atas nama Breast Cancer Welfare Association. – NURUL IZZA ROSLY

kredit : kosmo.com.my

Kos baiki kereta sport RM1.4 juta

Posted: 24 Mar 2010 03:50 PM PDT


GAMBAR fail menunjukkan kereta sport Pagani Zonda.


ABERDEEN, Scotland – Sebuah firma insurans menanggung kerosakan sebanyak 300,000 (RM1.4 juta) sebuah kereta sport Pagani Zonda yang rosak di Britain, lapor sebuah akhbar semalam.

Kereta Pagani Zonda S itu rosak teruk apabila pemandunya hilang kawalan sebelum ia melanggar tiang telefon dan merempuh pagar semasa satu sesi uji pandu di sini, baru-baru ini.

Namun, kereta itu akan dihantar ke Itali iaitu tempat ia dikilangkan bagi kerja-kerja pembaikan yang dijangka siap pada Mei depan.

“Kos pembaikan ini adalah yang terbesar untuk kereta persendirian di Britain,” kata seorang jurucakap firma insurans kereta itu, Aviva.

Cuma 10 buah kereta Zonda yang setiap satunya berharga kira-kira 528,000 (RM2.6 juta) dan mampu mencapai kelajuan 352 kilometer sejam, dikeluarkan pada setiap tahun. – Agensi

kredit : kosmo.com.my

Tiga UFO di langit Sydney

Posted: 24 Mar 2010 03:48 PM PDT


GAMBAR yang dirakamkan oleh Hartigan disiarkan oleh sebuah akhbar di Australia semalam yang menunjukkan objek terbang tidak dikenali (dalam bulatan) di langit Sydney.


SYDNEY – Seorang wanita, Fiona Hartigan merakamkan gambar yang dipercayai beberapa objek terbang tidak dikenali (UFO), lapor sebuah akhbar semalam.

Objek berbentuk piring itu muncul di sebalik awan dan menjunam rendah di sebatang jalan raya yang sibuk di sini sebelum memecut ke ufuk barat.

Menurut wanita itu, dia baru sahaja keluar dari keretanya pada petang Ahad lepas untuk merakamkan gambar matahari terbenam apabila kejadian aneh itu berlaku.

“Semasa saya hendak merakamkan gambar, objek hitam ini (UFO) muncul dan mula bergerak pada jarak kira-kira 800 meter tetapi ia semakin dekat,” katanya.

“Setelah berada pada jarak kira-kira 400 meter, dua lagi piring terbang kecil muncul di langit tanpa mengeluarkan bunyi,” tambah wanita itu.

Menurutnya, UFO besar itu kemudian memecut ke satu arah manakala dua UFO kecil hilang daripada penglihatan. – Agensi

kredit : kosmo.com.my

Daimler bayar denda RM613j selesai kes rasuah

Posted: 24 Mar 2010 03:46 PM PDT


GAMBAR fail menunjukkan Ketua Pegawai Eksekutif Daimler AG, Dieter Zetsche berdiri dekat kereta Mercedes F 800 pada Pertunjukan Kereta Geneva, Switzerland pada 2 Mac lalu.


WASHINGTON – Syarikat pengeluar kereta Daimler AG akan membayar denda AS$185 juta (RM613.27 juta) bagi menyelesaikan siasatan jenayah dan sivil selepas dituduh membayar berjuta-juta dolar dalam bentuk rasuah kepada pegawai-pegawai di 22 buah negara, kata dua sumber kelmarin.

Fail di sebuah mahkamah persekutuan di Washington, Amerika Syarikat (AS) menyatakan syarikat beribu pejabat di Jerman itu dan tiga daripada anak syarikatnya terlibat dengan silap laku dari 1998 hingga 2008 di negara-negara termasuk China, Rusia, Mesir dan Greece.

Bayaran itu didakwa dilakukan untuk membantu mendapatkan kontrak dengan pelanggan kerajaan bagi membeli kenderaan Daimler yang bernilai berjuta-juta dolar.

Syarikat itu akan mengelak daripada dikenakan pendakwaan apabila dua daripada anak syarikatnya mengaku bersalah di mahkamah persekutuan pada 1 April ini.

Menurut sumber itu, penyelesaian itu melibatkan pembayaran denda AS$93.6 juta (RM310.28 juta) kepada Jabatan Kehakiman dan AS$91.4 juta (RM303.17 juta) kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Saham.

Di New York, jurucakap Daimler, Han Tjan berkata, syarikat itu tidak akan memberi sebarang kenyataan mengenai kes itu sehingga pendengaran di mahkamah pada 1 April depan.

Menurut dokumen mahkamah, Daimler menyediakan peruntukan AS$300,000 (RM995,100) hadiah hari jadi kepada seorang pegawai di Turkmenistan sebuah kereta penumpang Mercedes Benz kelas S.

Syarikat itu didakwa membayar wang sogokan kepada pegawai-pegawai sebuah kementerian Iraq untuk mendapatkan bisnes.

Dokumen itu menyatakan, hadiah hari jadi diberikan kepada anak-anak seorang pegawai kanan di Indonesia daripada sebuah syarikat tempatan bersekutu dengan Daimler.

Antara negara-negara yang terlibat dengan bayaran tidak sah itu ialah di Hungary, Ivory Coast, Latvia, Nigeria, Rusia, Serbia, Montenegro, Thailand, Turki, Uzbekistan dan Vietnam. – AP

kredit : kosmo.com.my

Britain arah ketua operasi Mossad pulang

Posted: 24 Mar 2010 03:44 PM PDT


GAMBAR menunjukkan Prosor (tengah) berada di luar Kedutaan Israel di London kelmarin.


LONDON – Seorang diplomat Israel merangkap ketua operasi agensi perisikan Mossad di sini diarahkan meninggalkan Britain, lapor sebuah akhbar semalam.

Arahan itu dibuat setelah kerajaan Britain mendapati Mossad memalsukan sejumlah pasport Britain dalam komplot membunuh seorang pengasas sayap ketenteraan Hamas.

“Penyalahgunaan pasport Britain tidak boleh dibiarkan. Ia membahayakan keselamatan rakyat Britain dan kedaulatan negara,” kata Setiausaha Luar Britain, David Miliband.

Beliau mengesahkan pengusiran itu disasarkan kepada lelaki berkenaan yang bertugas sebagai diplomat kanan Israel tetapi sebenarnya dia ialah ketua operasi Mossad di Britain

Miliband turut menuntut surat jaminan rasmi daripada rakan sejawatannya di Israel, Avigdor Lieberman bahawa penyalahgunaan pasport Britain oleh perisik Israel tidak akan berulang.

Pada Isnin lepas, Duta Israel ke Britain, Ron Prosor dipanggil ke Pejabat Luar Britain dan diberitahu supaya menghantar pulang diplomat tersebut.

Ketua operasi Mossad itu diberikan tempoh dua minggu untuk meninggalkan Britain.

Kerajaan Britain marah kerana Israel yang dianggap sebuah negara sahabat menyalahgunakan persahabatan tersebut dalam kes berkenaan.

“Mossad boleh menggunakan pasport negara lain,” kata seorang pegawai keselamatan.

Pada 20 Januari lepas, skuad pembunuh Mossad memasuki Dubai dengan menggunakan sekurang-kurangnya 26 pasport palsu dari Eropah dan Australia bagi membunuh ketua sayap bersenjata Hamas, Mahmoud al-Mabhouh. – Agensi

kredit : kosmo.com.my

Arshavin tidak yakin julang trofi

Posted: 24 Mar 2010 03:41 PM PDT


ARSHAVIN (kiri) mendesak Arsenal membeli beberapa pemain baru musim depan.


LONDON – Tatkala pengurus Arsenal, Arsene Wenger mula berkeyakinan mereka mampu muncul juara Liga Perdana England musim ini, salah seorang pemainnya, Andrey Arshavin pula berpendapat sebaliknya.

Menurut Arshavin, dia tidak yakin pasukannya mampu menghadapi cabaran pada baki saingan musim ini sambil menganggap Arsenal terpaksa membayar harga yang tinggi kerana tidak menandatangani beberapa pemain baru.

Satu-satunya pemain yang dibeli Arsenal musim ini ialah Thomas Vermaelen dari Ajax Amsterdam manakala Sol Campbell menyertai skuad The Gunners secara percuma pada Januari lalu.

Biarpun tanpa beberapa tonggak utama yang masih cedera seperti Robin van Persie, William Gallas, Aaron Ramsey dan Kieran Gibbs, Arsenal tetap berjaya menduduki tangga kedua liga ketika ini.

“Saya masih dengan pendapat saya bahawa untuk menjulang trofi, Arsenal memerlukan lebih ramai pemain.

“Ia fakta yang mudah apabila kami menjual dua pemain tetapi membeli seorang pemain. Kemudian kami kehilangan van Persie, Gibbs dan Ramsey untuk tempoh lama. Jadi jelas kami perlukan pemain baru.

“Tanpa kepelbagaian barisan pemain, kami kurang variasi di bahagian serangan.

“Secara idealnya, kami memerlukan tiga atau empat pemain baru berpengalaman dan bagi barisan pemain muda kami pula, mereka bukan saja perlu pandai bermain bola tetapi perlu memiliki karakter.” – Agensi

kredit : kosmo.com.my

Olahraga negara semakin kelam

Posted: 24 Mar 2010 03:39 PM PDT


RABUAN PIT antara bekas jaguh negara yang lahir daripada Kejohanan Olahraga MAKSAK.


SELEPAS sekian lama tidak dianjurkan, masa depan Kejohanan Olahraga Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) mula dipersoalkan.

Meskipun ada pihak mendesak supaya kejohanan yang penuh tradisi itu dianjurkan semula, ia masih menemui jalan buntu dan sehingga kini, belum ada perkembangan positif.

Untuk rekod, kejohanan itu pernah melahirkan nama-nama besar dalam lapangan olahraga seperti Rabuan Pit, Zaiton Othman, P. Rajakumari dan Datuk Dr. M. Jegathesan.

Malah kejohanan tersebut dianggap temasya terbesar kerana ia menghimpunkan 14 negeri selain penyertaan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Penjara.

Melihatkan senario itu, jurulatih maraton negara, P. Sidamparam (gambar) adalah individu yang paling kecewa apabila kejohanan ini semakin dipinggirkan.

Sidamparam berkata, beliau tetap dengan pendirian untuk melihat kejohanan tersebut kembali dianjurkan demi masa depan atlet dan sukan olahraga negara.



“Olahraga adalah asas kepada sukan negara dan saya amat sedih jika kejohanan ini dibiarkan ‘berkubur’,” kata Sidamparam kepada Kosmo! baru-baru ini.

“Saya difahamkan, ramai bakat muda yang berada dalam sektor kerajaan memerlukan satu kejohanan khas yang boleh membuka peluang mereka untuk membuktikan kemampuan masing-masing.

“Jadi, saya harap Kejohanan Olahraga MAKSAK akan diletakkan semula dalam kalendar tahunan MAKSAK pada masa akan datang.”

Menurut Sidamparam lagi, dia telah berusaha untuk mengembalikan semula kejohanan ini sejak tahun 2004 tetapi sehingga kini ia masih belum terlaksana.

Katanya, terdapat ramai atlet-atlet berbakat yang berada dalam agensi kerajaan tetapi mereka tidak mendapat peluang untuk tampil membuktikan kehebatan.

Sementara itu, Penolong Penyelaras MAKSAK Malaysia, Nor Azlan Zainal berkata, Kejohanan Olahraga MAKSAK terpaksa dihentikan sementara kerana kurang mendapat penyertaan daripada badan gabungan.

“Peserta hanya ramai daripada kalangan angkatan tentera sahaja, seolah-seolah kejohanan itu seperti acara ATM pula,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Nor Azlan, sehingga kini, belum ada tanda-tanda kejohanan tersebut yang kali terakhir diadakan pada 2003 akan dianjurkan semula.

kredit : kosmo.com.my

Mercedes SLS AMG RM2j seunit

Posted: 24 Mar 2010 03:36 PM PDT


MERCEDES SLS AMG yang akan dipasarkan di Malaysia tidak lama lagi.


KUALA LUMPUR – Bercadang untuk memiliki kereta mewah yang berharga lebih RM2 juta? Jika ya, anda boleh merealisasikan impian tersebut dengan mengunjungi salah sebuah pusat pameran Mercedes-Benz Malaysia Sdn. Bhd. (Mercedes-Benz Malaysia) awal bulan depan.

Model kereta sport terbarunya, SLS AMG yang memiliki pintu Gullwing itu ditawarkan pada harga RM1,999,999 tanpa insurans.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini bersempena media previu model terbaru itu, model berkenaan berenjin V8 AMG 3.6 liter dengan transmisi Speedshift DCT tujuh kelajuan yang mampu mencapai kelajuan 100 kilometer sejam (km/j) dengan hanya 3.8 saat dan kelajuan maksimum 317 km/j.

Kereta berkenaan merupakan model pertama keluaran Mercedes-Benz yang dibangunkan menggunakan logam aluminium pada bahagian casis dan bahagian badan kenderaan berbanding penggunaan reka bentuk keluli.

kredit : kosmo.com.my

Penduduk tangkap ular sawa 100kg

Posted: 24 Mar 2010 03:32 PM PDT


ANGGOTA JPAM menunjukkan ular sawa yang ditangkap di Kampung Kolek, Sungai Lembing, Kuantan semalam.


KUANTAN – Penduduk Kampung Kolek di Sungai Lembing dekat sini gempar apabila seekor ular sawa sepanjang lebih lapan meter ditemui berkeliaran di sebuah kawasan paya di kampung itu malam kelmarin.

Ular seberat hampir 100 kilogram itu bagaimanapun berjaya ditangkap oleh penduduk kampung dengan bantuan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) pada pukul 8.30 malam.

Pembantu Operasi JPAM, Abu Bakar Omar, 22, berkata, ular tersebut yang mengalami kecederaan di perut mungkin sedang mencari makanan sebelum ditangkap penduduk kampung.

kredit : kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment

Informasi Anda..

Blog Pilihan