Iskandar Malaysia Potensi Pusat Pembangunan Ekonomi Baru.
NUSAJAYA, 21 Mei: Kerajaan Pusat akan terus memberikan sokongan kepada pembangunan Iskandar Malaysia sebagai salah satu koridor wilayah yang berpotensi menjadi pusat pertumbuhan baru ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata, kemelesetan ekonomi global yang dihadapi dunia kini tidak akan menjejaskan aliran kemasukan Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke Iskandar Malaysia.
"Konsep mesra alam yang ditawarkan oleh Iskandar Malaysia mampu membantu menarik lebih ramai pelabur sekali gus mewujudkan kegiatan ekonomi yang pelbagai.
"Perancangan wilayah ini juga tidak mengabaikan kepentingan rakyat tempatan dan walaupun kerja-kerja pembangunan fizikal sedang rancak dilaksanakan," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Bangunan Sistem Lingkaran Pendingin Berpusat di Kota Iskandar hari ini.
Najib merangkap Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) berkata, pembangunan di kawasan ini sangat teratur dan segala perancangan dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan.
"Sejak pelancarannya akhir 2006, Iskandar Malaysia ini sudah berjaya menarik pelaburan dari luar dan dalam negara sebanyak RM42.6 bilion.
"Sebanyak 30 peratus daripada jumlah itu telah dibelanjakan bagi kerja-kerja pembinaan bangunan dan kawasan sekitarnya.
"Saya percaya, pembangunan infrastruktur yang diluluskan oleh Kerajaan, bakal mengubah wajah kawasan ini menjadi pusat pertumbuhan negara yang boleh dibanggakan," katanya.
Sebelum itu, Najib diberikan taklimat di dewan banquet Dewan Negeri oleh Menteri Besar, Dato' Abdul Ghani Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif IRDA, Harun Johari mengenai perkembangan pembangunan Iskandar Malaysia.
Najib turut membuat tinjauan udara membabitkan kawasan pembangunan di Medini, Hab Kewangan, Hab Pendidikan dan Puteri Harbour yang dibangunkan sebagai kawasan marina bersepadu di persisiran pantai.
Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Pengarah Urusan Khazanah Malaysia, Tan Sri Azman Mokhtar.
Sumber: Laman web Rasmi Pejabat Menteri Besar
No comments:
Post a Comment
Informasi Anda..