Johor Search

Custom Search

Followers

12 June 2009

Malaysia, Singapura sepakat jambatan ketiga

PUTRAJAYA 11 Jun - Malaysia dan Singapura sepakat untuk membina jambatan ketiga yang akan menghubungkan bahagian timur Johor dengan republik berkenaan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, hasrat itu dinyatakan sendiri oleh Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew semasa melakukan kunjungan hormat ke pejabatnya di sini, kelmarin.
Serentak itu, kata Najib, beliau telah mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berbincang mengenai perkara itu dengan rakan sejawatnya di Singapura secepat mungkin.
''Saya juga mengarahkan Tan Sri Nor supaya melantik perunding untuk membuat kajian kebolehlaksanaan termasuk kos yang mungkin perlu dibelanjakan bagi pembinaan jambatan itu," katanya.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Konsultasi Bajet 2010 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan timbalan-timbalannya, Datuk Chor Chee Heung serta Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin.
Najib ketika mengadakan lawatan dua hari ke Singapura Mei lalu, mengumumkan cadangan Malaysia untuk membina sebuah jambatan baru bagi menghubungkan bahagian timur Johor ke republik berkenaan.
Menurut Perdana Menteri, selain sebagai kemudahan awam, pembinaan jambatan itu juga dilihat mampu membangunkan kawasan timur Johor seperti Desaru dan Mersing hingga Kuantan, Pahang dan Terengganu.
Beliau menambah, jambatan tersebut juga akan merancakkan projek pembangunan Iskandar Malaysia di selatan Johor.
''Seperti mana kita tahu, pembinaan jambatan ketiga ada kaitan dengan Iskandar Malaysia.
''Apabila jambatan ini siap, banyak lagi inisiatif bersama Singapura yang dapat kita laksanakan di situ," katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat menjangkakan bila pembinaan tersebut dijadualkan bermula kerana perlu menunggu hasil kajian dan anggaran kos yang akan dikongsi bersama kedua-dua negara.
Johortoday

No comments:

Post a Comment

Informasi Anda..

Blog Pilihan