IdrisTalu |
Rombakan Susilo Bambang Yudhoyono serba tidak kena Posted: 20 Oct 2011 11:48 PM PDT OLEH JOHARDY IBRAHIM, pengarang@utusan.com.my ROMBAKAN Kabinet Indonesia pada Selasa lalu, meletakkan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dalam kedudukan serba tidak kena. Ditukar menteri, rakan pakatan merajuk. Dilantik baru, dikritik sebagai tidak membawa makna. Di kalangan rakyat republik tersebut, rombakan Kabinet Susilo itu adalah sesuatu yang penting dan dirasakan perlu kerana kejadian-kejadian yang berlaku kebelakangan ini dianggap mencalar kredibiliti pentadbiran bekas jeneral itu. Kes utama yang menurunkan tahap keyakinan rakyat terhadap janji Susilo untuk menangani rasuah ialah pembabitan Bendahari Agung Parti Demokrat pimpinannya iaitu Mohammad Nazaruddin, dalam kes rasuah di Kementerian Olahraga dan Pemuda. Lebih membuka pekung dalam kes tersebut, Mohammad mengaitkan beberapa lagi tokoh dalam Demokrat termasuk Ketua Umumnya, Anas Urbaningrum yang didakwanya terbabit dalam beberapa kes rasuah yang merugikan negara. Kredibiliti Susilo terus menjadi tajuk perdebatan dengan keputusannya mengeluarkan pengampunan atau meringankan hukuman kepada beberapa individu yang telah dijatuhi hukuman penjara dan membebaskan mereka sebelum hukuman penuh penjara dilaksanakan. Dalam kes ini, ramai menyalahkan Menteri Keadilan sebagai bertanggungjawab. Beberapa menteri dalam Kabinet Susilo diseret ke mahkamah, juga kerana disyaki terlibat rasuah. Dua daripadanya iaitu Menteri Olahraga Andi Malarangeng dan Menteri Tenaga Kerja Muhaimin Iskandar, dipaksa untuk memberi keterangan di mahkamah bagi menjelaskan pembabitan mereka dalam kes rasuah. Seorang lagi iaitu Menteri Kewangan, Agus Martowardojo (bersama Muhaimin Iskandar) juga terpaksa berbuat demikian kepada Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah atau KPK. KPK yang berulang kali menerima dugaan dan ancaman, sedang menyiasat pembabitan beberapa parti politik dalam urus niaga lumayan untuk menipu atau merasuah belanjawan kerajaan. Rakyat Indonesia sedang memerhatikan kaedah sokongan Susilo terhadap KPK dalam melaksanakan peranan mereka. Semua kes di atas telah mendorong persepsi lemah di kalangan rakyat Indonesia. Setiap kaji selidik dan pendapat umum oleh badan bebas merumuskan populariti Susilo semakin menurun. Lebih teruk, Kabinetnya disifatkan berprestasi lemah di pandangan mata rakyat, sebagaimana terkandung dalam kaji selidik tersebut. Sokongan terhadap Susilo merosot kepada 42.6 peratus pada bulan ini, paras terendah dalam tempoh tujuh tahun, berbanding 60.7 peratus pada waktu sama tahun lepas, menurut Institut Tinjauan Indonesia. Secara umum, rakyat Indonesia kecewa dengan kaedah Susilo menunaikan janjinya untuk merombak Kabinet beliau. Pertama, ia mengambil masa yang terlalu panjang. Sebagaimana lazim, Susilo memerlukan terlalu banyak masa untuk berfikir dan membuat keputusan. Kekecewaan itu meruap-ruap apabila Susilo mengumumkan barisan baru Kabinetnya Selasa lalu. Penganalisis politik terkemuka Indonesia, Arbi Sanit membidas rombakan itu sebagai bersifat luaran semata-mata. "Beliau pengecut dan terlalu takut untuk menimbulkan kemarahan parti-parti politik dengan memecat menteri-menteri yang tidak menunjukkan prestasi memuaskan. "Menteri-menteri baru semuanya tidak berprofil tinggi, sedangkan terdapat tokoh-tokoh lebih baik di luar sana tetapi beliau memilih mereka kerana mereka boleh berkompromi untuk memenuhi kepentingan beliau," kata Arbi. Kegeraman itu terpancar pada pelantikan terlalu ramai Naib Menteri iaitu 13 jawatan baru kesemuanya. Malah, Susilo terpaksa mengubah peraturan untuk membolehkan anggota bukan birokrat untuk memegang jawatan Naib Menteri. Pejabat Presiden dan Parti Demokrat bertegas menyatakan bahawa jawatan-jawatan baru itu perlu diwujudkan. Penambahan itu 'tidak bermakna' kerajaan akan menanggung beban yang lebih daripada segi perbelanjaan negara. Walaupun sekadar Naib Menteri, secara umumnya ramai mengerti bahawa mereka menikmati kemudahan yang serupa seperti menteri penuh yang tentunya menambah beban pada perbelanjaan negara. Sesetengah pemerhati mempersoalkan ketiadaan peraturan atau kod kerja berhubung dengan hubungan atau persamaan tugas antara menteri dan naib menteri. Ia mungkin membuka konflik atau perbezaan pendapat yang baru di kalangan mereka. Jadi bila Susilo mengatakan rombakan itu akan memastikan Kabinetnya akan bekerja lebih cekap, nyata ia tidak tergambar dalam keputusannya. Kritikan paling tajam mengenai rombakan Kabinet Susilo ini ialah beliau didakwa meraih kembali kementerian-kementerian utama ke dalam cengkaman kawalannya. Semua individu yang dipilih memegang jawatan kementerian utama merupakan orang-orang yang setia dan rapat kepadanya. Benar, Parti Demokrat pimpinan Susilo 'kehilangan' satu kerusi menteri. Namun ia dilihat satu taktik untuk menenangkan PKS yang juga dicabut satu jawatan menteri. Tetapi kini, anggota parti Susilo memenuhi kementerian paling strategik termasuk kementerian perdagangan, tenaga dan sumber mineral, perundangan dan hak asasi manusia serta perusahaan negara. Golkar mengekalkan tiga wakilnya dalam Kabinet tetapi menyaksikan bekas Menteri Hal Ehwal Maritim dan Perikanan, Fadel Muhammad digugurkan. Dia diganti oleh Timbalan Pengerusi Golkar, Syarif Cicip Sutardjo. Memandangkan pengaruh kuasa yang masih tebal pada Golkar dalam Majlis Perwakilan Rakyat, Susilo mungkin berasakan sokongan Golkar adalah sangat penting untuk memastikan kestabilan baki tempoh tiga tahun beliau sebagai presiden Indonesia. Seorang lagi penganalisis politik, Krinasdi Yuliawan memberitahu Utusan Malaysia, sentimen rakyat yang mahu Susilo menggugurkan beberapa menteri yang telah dikaitkan dengan kes-kes rasuah berprofil tinggi tetapi ia 'hilang' dalam skrip rombakan Kabinet. ''Malah pelantikan Amir Syamsuddin sebagai Menteri Perundangan dan Hak Asasi Manusia memberi mesej kuat bahawa Susilo tidak mahu seorang individu bebas daripada kepentingan parti politik berada di situ, ketika parti Demokrat sedang menghadapi siasatan yang kuat berhubung dakwaan rasuah," ujarnya. Tatkala rakyat Indonesia mempersoalkan bagaimana parti politik boleh 'mendorong' bajet kerajaan bagi dijadikan dana untuk pilihan raya 2014, kini mereka melihat kementerian-kementerian 'lumayan' selamat dalam cengkaman Susilo. ''Saya berpendapat rombakan ini hanya menimbulkan lebih banyak persoalan dan masalah. Ia seperti bila anda mengalami sakit kepala, anda memilih untuk membalut kepala lutut pula," kata Krisnadi. Source: Utusan Malaysia Online. |
Posted: 20 Oct 2011 11:30 PM PDT Oleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN, aida.kamaruddin@utusan.com.my Gambar MOHD NOOR AMIN MENGGENGGAM Ijazah Sarjana Muda Komunikasi ketika umur mencecah 39 tahun, pelakon Rashidi Ishak percaya ini merupakan hadiah terbaik buat dirinya dan keluarga. Mengambil masa sehingga enam tahun sebelum bergelar graduan Universiti Putra Malaysia (UPM), Rashidi mengakui tempoh waktu itu memang lama. Namun apa yang dilakukannya adalah satu pengorbanan yang harus dilaluinya sebagai anak seni. "Bukan mudah sebenarnya untuk mengimbangi waktu bekerja dan belajar di mana saya terpaksa menangguhkan waktu pengajian saya untuk memenuhi undangan berlakon. "Itu juga antara sebab mengapa tempoh pengajian saya agak lama berbanding pelajar lain. Apa pun saya bersyukur kerana usaha saya berhasil," katanya ketika ditemui di majlis konvokesyen ke-35, UPM Serdang, Selangor, baru-baru ini. Menurut Rashidi, faktor utama mengapa dia memilih jurusan komunikasi adalah untuk memperbaiki skil berkomunikasi dan berhadapan dengan orang ramai. "Walaupun saya seorang pelakon tetapi saya akui ada sedikit masalah di dalam berkomunikasi. "Sepanjang saya mengikuti kursus ini, saya bukan sahaja menimba lebih banyak ilmu tetapi juga dapat memperbaiki cara saya berinteraksi dengan orang ramai. "Lagipun saya menyimpan impian untuk bergelar anak seni yang berilmu dan buktinya, segulung ijazah dalam genggaman memberi saya kepuasan dan satu pencapaian peribadi yang membanggakan," kata Rashidi, ayah kepada dua orang anak, Mikail Aimran,8, dan Mariyam Rashika,7 tahun. Setia ditemani isterinya, pelakon serta pengacara Nona, Vanidah Imran, Rashidi sebenarnya lewat tiba di UPM pada hari konvokesyennya. Bagaimanapun, dia kelihatan tenang dan riang sewaktu mengenakan jubah konvokesyen. Sambil membetulkan jubah yang dipakainya, Rashidi berkata, kunci kejayaannya adalah kerana keluarga. "Dorongan serta motivasi daripada keluarga terutamanya isteri saya, merupakan penyumbang utama kejayaan saya hari ini. "Saya amat bersyukur kerana dikurniakan sebuah keluarga yang banyak menyokong saya dari belakang. "Saya juga berterima kasih kerana mempunyai rakan-rakan yang banyak menyuntik semangat untuk saya memperbaiki diri. "Terus terang saya katakan, tanpa sokongan mereka semua, belum tentu saya mampu menghabiskan pengajian saya di sini," katanya sambil ketawa. Menjadikan beberapa tokoh negara sebagai sumber inspirasi, Rashidi turut mengakui bahawa ayahnya turut menjadi pendorong kejayaannya hari ini. "Ayah adalah contoh terdekat yang membakar semangat saya untuk menggenggam segulung ijazah. "Dia graduan dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia ketika umurnya dalam lingkungan 40-an. "Melihat kesungguhan ayah dan berdasarkan pengalaman beliau, saya percaya proses pembelajaran adalah satu proses yang tidak pernah tamat buat kita sebagai manusia," katanya. Menyimpan impian untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, Rashidi berharap kejayaan itu membuka peluang yang lebih cerah buat dirinya untuk mengikuti pengajian di peringkat sarjana. "Jika diizinkan saya ingin menyambung pegajian saya ke peringkat yang lebih tinggi. "Impian saya suatu hari nanti untuk menyambung pengajian dalam bidang Kewangan Islam," katanya. Source: Utusan Malaysia Online. |
You are subscribed to email updates from IdrisTalu To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
No comments:
Post a Comment
Informasi Anda..