Johor Search

Custom Search

Followers

19 October 2011

IdrisTalu

IdrisTalu


Lupakan PPSMI, gerakkan MBMMBI

Posted: 18 Oct 2011 03:07 PM PDT

Oleh Sidek Baba

ISU Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sepatutnya sudah selesai. Persiapan melancarkan program pendidikan Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) sedang rancak berjalan.

Sebelum pendekatan MBMMBI diambil, perbincangan dilakukan melibatkan banyak kelompok yang berkepentingan.

Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencari kebijaksanaan atas aspirasi Perlembagaan, Perkara 152 dan Akta Pendidikan 1996 memperkenalkan jalan keluar 'menang-menang' supaya bahasa Melayu diperteguhkan dan Bahasa Inggeris diperkukuhkan.

Amat pelik terdapat sebahagian kecil orang Melayu yang mencadangkan supaya persekolahan dua aliran bahasa iaitu satu bahasa Inggeris dan satu lagi bahasa Melayu supaya memberi pilihan kepada ibu bapa untuk menghantar sekolah mana yang mereka suka. Cadangan ini tidak mendukung aspirasi nasional yang menjadikan faktor bahasa Melayu sebagai faktor pemersatu.

Bakal berlaku jurang dan strata sosial yang amat ketara sekiranya perkara itu terjadi. Akan lebih terserlah golongan elitis seperti yang terjadi di awal 1970-an dahulu.

Ada juga kelompok yang ingin membawa isu ini ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu seolah-olah kepemimpinan negara ini dan pemimpin yang mempunyai kepentingan mengenai isu bahasa Melayu tidak memiliki kekuatan ilmiah yang tinggi dan tidak pandai membuat keputusan bijaksana sehingga perlu meminta bantuan pihak lain.

Ada juga yang berpendapat bahawa bahan-bahan rujukan mengenai sains dan matematik banyak dalam bahasa Inggeris dan usaha menterjemahkannya memakan masa. Bagaimana Cina, Korea Selatan dan Jepun mengatasi perkara ini harus memberi contoh kepada kita di Malaysia, bukan bersifat mengalah.

Lebih penting lagi seperti yang diungkapkan oleh Sapir 1949 dan Whorf 1956, dalam bahasa apakah kita hendak anak-anak melihat dan berfikir tentang dunia dan alamnya. Bahasa bukannya sekadar alat perantara ilmu dan kemahiran berfikir, ia membawa nilai dan budaya, mewarnai jati diri, memberi makna kepada hati budi dan turut mencorakkan pandangan kesemestaan yang akan memandunya dalam mengharungi kehidupan.

Muhyiddin baru-baru ini membuat penegasan bahawa MBMMBI akan diteruskan dan ia suatu ketegasan yang amat ditunggu-tunggu. Tekanan yang dihadapi oleh beliau memang tidak pernah reda. Tapi tekadnya untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memperkasa bahasa Inggeris adalah suatu tindakan yang betul dan berhemah.

Pelaksanaan PPSMI yang berlaku pada tahun-tahun terdahulu tidak dibuat dengan persiapan yang rapi. Terdapat guru Bahasa Inggeris yang mengajar bahasa Inggeris dan terdapat sebahagian besar guru Sains dan Matematik yang tidak cekap berbahasa Inggeris yang disuruh mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Dari sudut pedagogi ia adalah sesuatu yang salah. Akhirnya penguasaan ilmu di kalangan murid ibarat pakai kain singkat, tarik ke atas nampak lutut dan tarik ke bawah nampak pusat.

Dengan tekad Kementerian Pelajaran untuk mengambil guru-guru yang bahasa ibundanya bahasa Inggeris dari luar, melatih anak-anak yang berbakat dalam bahasa Inggeris menjadi guru bahasa Inggeris yang terlatih, menyusun semula kurikulum bahasa Inggeris supaya sesuai dengan etos Malaysia, menyediakan makmal bahasa yang mempercepatkan penguasaan bahasa Inggeris, menyemak kembali pendekatan pedagogi yang lebih dinamik adalah langkah-langkah berdaya maju yang boleh meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dengan berkesan.

Mengapa tidak dibenarkan strategi ini mengambil tempat dan penilaian terhadapnya boleh dilakukan selepas ia dilaksanakan beberapa tahun akan datang. Ia adalah lebih adil dan demokratik.

Mengadakan referendum juga adalah tidak perlu. Strategi MBMMBI adalah selari dengan semangat Perlembagaan negara dan ia tidak bertentangan dengan Akta Pendidikan 1996. Melainkan dasar ini bercanggah dengan dengan Perkara 152 dalam Perlembagaan 152 dan Akta Pendidikan 1996 maka referendum boleh menjadi salah satu kayu ukuran terhadap isu ini.

Mengikut sumber yang saya petik daripada Prof. Dr. Ahmad Termizi, seorang sarjana fizik dari Universiti Teknologi Malaysia menyatakan penukaran bahasa pengantar di sekolah daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu telah menghampirkan kepada matlamat mewujudkan peluang yang lebih saksama.

Pencapaian pelajar bumiputera, secara keseluruhannya, lebih setara dengan pencapaian pelajar bukan bumiputera, jika dibandingkan dengan pencapaian sebelum 30 tahun yang lampau iaitu semasa pengajaran menggunakan bahasa Inggeris.

Buat pertama kalinya dalam sejarah, jumlah pelajar bumiputera yang memperoleh gred cemerlang dan kepujian dalam mata pelajaran Fizik telah melebihi jumlah pelajar bukan bumiputera dalam peperiksaan SPM 2001 iaitu bumiputera 23,157 orang dan bukan bumiputera 22,929 orang.

Kini jumlahnya setara dengan jumlah pelajar bukan bumiputera. Dari segi kuantiti, matlamat kesaksamaan ini hampir dicapai walaupun dari segi kualiti masih banyak usaha gigih perlu dilakukan.

Kestabilan relatif yang telah memberi peluang yang saksama antara pelajar bumiputera ini tidak wajar diganggu-gugat dengan sesuatu yang masih tidak menentu kesannya dan mengandungi unsur risiko yang tinggi.

Berdasarkan kelemahan penguasaan bahasa Inggeris yang masih berlaku kini di kalangan pelajar bumiputera, kerisauan bahawa penggunaan bahasa Inggeris secara tunggal bagi mata pelajaran Sains dan Matematik berkemungkinan akan merencatkan pencapaian pelajar bumiputera, mempunyai asas yang wajar diambil kira dan tidak boleh diketepikan begitu saja.

Kita memerlukan tekad politik dan azam memartabatkan bahasa Melayu yang tinggi supaya akhirnya bahasa Melayu mampu menempatkan diri sebagai bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa.

Kalaulah isu globalisasi dijadikan faktor utama bahasa Inggeris perlu didaulatkan betapa nanti Tanah Besar Cina bakal menjadi kuasa besar, apakah di waktu itu nanti kita bakal beralih kepada bahasa Cina pula dan meninggalkan bahasa Inggeris.

Mempelajari bahasa Cina tidak salah tetapi menolak pemartabadan bahasa Melayu dalam konteks negara Malaysia adalah suatu langkah yang silap. Ilmuwan Islam terdahulu menguasai berbagai bahasa tamadun tetapi penggunaan bahasa Arab tetap menjadi keutamaan.

Source: Utusan Malaysia Online.

Mahalnya harga makanan di China

Posted: 18 Oct 2011 03:05 PM PDT

DATUK RUHAIDINI ABD KADIR menulis dari Beijing Language and Culture University, China.

BAGI saya, ada banyak rahmat yang tersembunyi di sebalik semua takdir yang saya lalui termasuklah keputusan melanjutkan pengajian ke China, sebuah negara di Asia Timur yang merupakan negara paling ramai penduduknya di dunia dengan jumlah lebih 1.3 bilion orang.

Hidup merantau pada usia sedewasa ini mendidik saya untuk menjadi lebih 'mengerti dan berani' menghadapi segala macam rintangan sementelah saya 'sebatang kara' di bumi China yang diperintah Parti Komunis China, di bawah sistem satu parti.

Antara rencam cabaran yang terpaksa saya hadapi ialah kesan harga makanan yang tinggi dan meningkat di China yang bukan sahaja menjadi masalah utama rakyat miskin di tanah besar ini tetapi tempiasnya turut dirasai oleh saya (yang mengambil cuti belajar tanpa gaji).

Ironinya, harga makanan yang tinggi di China meningkatkan inflasi dan menyumbang kepada penurunan yang ketara dalam pendapatan sebenar golongan miskin yang membelanjakan sebahagian besar daripada pendapatan mereka untuk makanan.

Terkini, indeks harga pengguna China (September) berada pada paras 6.1 peratus berbanding 6.5 peratus pada Julai lalu sekali gus mengakibatkan kadar inflasi China meningkat lebih 5 peratus untuk tiga bulan berturut-turut, lebih tinggi daripada sasaran kerajaan iaitu empat peratus setahun.

Menurut Biro Statistik Negara (NBS), harga makanan yang meningkat 14.8 peratus di China pada Julai lalu dan terbaru pada paras 13.4 peratus dilihat mampu menyusahkan rakyat berpendapatan rendah yang mana makanan merangkumi satu pertiga daripada perbelanjaan bulanan bagi purata pengguna di China.

Kos makanan melonjak, sebahagiannya berpunca akibat cuaca buruk misalnya ekoran banjir selama berminggu-minggu disebabkan hujan berpanjangan di seluruh selatan China mengakibatkan banyak kawasan di wilayah Hubei dan Zhejiang, termasuk lebih 432,200 hektar tanah pertanian ditenggelami air.

Banjir tersebut menyusuli kemarau buruk selama kira-kira 200 hari yang melanda tengah China di sepanjang Sungai Yangtze, menjejaskan lebih 1.3 juta hektar tanah pertanian di tujuh wilayah yang menjadi pengeluar utama makanan di China.

Justeru, dalam menghadapi kos sara hidup yang tinggi di Beijing, saya mengamalkan kehidupan bersederhana dan berjimat cermat dalam berbelanja. Setiap hari ke sekolah, saya membawa bekal makanan yang saya masak sendiri - nasi goreng, mi hon goreng atau paling tidak, roti telur (French Toast) sebagai sarapan pagi sekali gus menu makan tengah hari.

Boleh dibilang dengan jari berapa kali saya mengunjungi kantin atau menjamu selera di kedai-kedai makan (Muslim) sekitar kampus. Bukan kedekut, tetapi saya 'tidak sanggup' membayar harga makanan siap dimasak yang agak mahal jika dibandingkan dengan di Malaysia.

Pengalaman pertama kali makan di sebuah kedai makan (Muslim) memeranjatkan saya apabila saya terpaksa membayar RMB32 (sekitar RM16) untuk semangkuk nasi putih dengan lauk ayam dan sayur goreng.

Harga semangkuk 'lamian' (mi sup dengan campuran sayur dan 3,4 hiris daging lembu) ialah RMB22 (sekitar RM11) manakala harga secawan teh susu (paling murah) yang pernah saya jumpa di Beijing ialah RMB12 (RM6).

Harga makanan dan minuman yang saya sebut itu merupakan harga di kedai makan yang bertaraf 'biasa-biasa sahaja' bukan hotel atau restoran lima bintang.

Justeru, ada satu hal yang tidak boleh dinafikan bahawa rakyat Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertuah kerana kerajaan prihatin dalam memperluas dan mempromosi Menu Rakyat 1Malaysia.

Dengan harga maksimum RM2 bagi sarapan pagi dan RM4 bagi makan tengah hari, Menu Rakyat 1Malaysia menawarkan pakej menu makanan popular pada harga yang sangat berpatutan yang tidak mungkin kita jumpa di mana-mana negara di dunia ini termasuk di Beijing.

Pada waktu ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sedang giat berusaha memastikan penglibatan 700 pengusaha yang telah mengambil bahagian dalam projek Menu Rakyat 1Malaysia diperluaskan kepada 3,000 pengusaha pada akhir 2012.

Untuk mengembangkan lagi langkah ini, kerajaan menggalakkan semua pengusaha kafeteria di pejabat kerajaan dan swasta melaksanakan inisiatif Menu Rakyat 1Malaysia. Bertuahnya kita!

Hakikatnya, makanan merupakan bahagian yang besar dalam perbelanjaan sesebuah keluarga termasuklah sesebuah keluarga yang miskin di sesebuah negara. Justeru, peningkatan harga makanan merupakan ancaman kepada pembangunan sedunia dan kestabilan sosial.

Melalui cabaran besar ini, saya tidak dapat bayangkan bagaimana sesebuah keluarga yang miskin di China menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat dengan harga barangan keperluan harian yang sangat tinggi.

Di China, harga sekilogram gula ialah RMB21 (sekitar RM10.50) dan angka itu berkali-kali ganda lebih mahal berbanding di Malaysia iaitu RM2.30 sekilogram (harga pasaran RM2.50 - subsidi kerajaan 20 sen bagi setiap kilogram). Bagi sekilogram tepung di China dijual pada harga RMB5 (RM2.50) berbanding RM1.35 dijual di Malaysia (harga pasaran RM1.90 - subsidi kerajaan 55 sen).

Minyak masak berasaskan sawit seperti skim subsidi kerajaan Malaysia yang dijual RM2.50 sekilogram (harga pasaran RM3.90 - subsidi kerajaan RM1.40 bagi setiap kilogram) tidak popular di China berbanding minyak masak berasaskan kacang soya yang dijual pada harga RMB16 sekilogram (RM8) atau minyak masak berasaskan kacang tanah RMB23 sekilogram (RM11.50).

Jika dibandingkan dengan China, harga petrol di Malaysia juga masih jauh lebih murah. Harga Petrol RON95 di Malaysia dijual RM1.90 seliter (harga pasaran RM2.75 subsidi kerajaan 85 sen bagi setiap liter) manakala Petrol RON97 dijual pada harga RM2.80 seliter. Harga Petrol RON93 di China dijual RMB7.79 seliter (kira-kira RM3.90 seliter) manakala Petrol RON95 dijual pada harga RMB8.29 seliter (kira-kira RM4.15 seliter).

Sebagai bukti keprihatinan kepada rakyat Malaysia terutama golongan berpendapatan rendah, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mewujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia juga salah satu langkah membantu meringankan beban rakyat khususnya golongan miskin.

Hakikatnya, kenaikan harga barangan dan petrol merupakan satu fenomena global. Pun begitu, kerajaan sentiasa prihatin memberi perhatian kepada isu-isu yang menjadi keluh-kesah rakyat terutama mengurangkan bebanan peningkatan kos sara hidup di Malaysia.

Source: Utusan Malaysia Online.

Sentimen serumpun tapi satu pihak kena mengalah

Posted: 18 Oct 2011 03:04 PM PDT

Oleh IRMAN HASHIM
(Yang mengikuti Seminar Internasional Pemerkasaan Persaudaraan Dua Bangsa Serumpun di Medan baru-baru ini)

PERSAUDARAAN dua bangsa Malaysia dan Indonesia memiliki akar yang sangat rapat dan kuat sejak sebelum berlakunya penjajahan ke atas kedua-dua negara.

Ikatan 'serumpun' itu dapat dilihat melalui ikatan sejarah dan budaya antara kedua-dua bangsa yang terus dapat disaksikan sehingga saat ini.

Namun, seperti semua hubungan yang wujud di dunia ini, perasaan negatif termasuk cemburu dan tidak puas hati membayangi hubungan itu menyebabkan ia tidak membantu dalam memperkukuhkan hubungan berkenaan. Ia ditambah pula dengan faktor persekitaran, sosioekonomi dan politik antara kedua-dua negara.

Justeru, perkara itu merupakan antara isu yang dibangkitkan di Seminar Internasional Pemerkasaan Persaudaraan Dua Bangsa Serumpun di Institut Agama Islam Negeri Sumatera Utara (IAIN), Medan baru-baru ini.

Seminar tersebut dianjurkan oleh IAIN, Konsulat Malaysia di Medan dan dipengerusikan oleh Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Datuk Seri Abdul Aziz Rahman.

Pengarah Program Mengubah Destinasi Anak Bangsa, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Prof. Madya Mohd. Hanafiah Harun, Pensyarah Kanan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPS) Perak, Datuk Ahmad Mokhtar Selat dan dua pensyarah IAIN, Prof. Dr. H. Syahrin Harahap dan Prof. Dr. H. Haidar Putra Daulay merupakan ahli panel dalam seminar berkenaan.

Ahmad berkata, keadaan itu timbul ekoran sentimen dan romantisisme serumpun menimbulkan perasaan tidak puas hati antara kedua-dua pihak kerana berlaku jangkaan bahawa satu pihak perlu mengalah.

Katanya, terdapat jangkaan di mana dalam persaudaraan sudah tentu yang tua harus didahulukan manakala yang muda harus mengalah dan memberi laluan. Selain itu, beliau berkata, ia juga menimbulkan pelbagai harapan dan jangkaan bagi memastikan hubungan tersebut terjalin.

Dalam pada itu, seminar berkenaan telah merumuskan bahawa masalah komunikasi antara kedua-dua negara merupakan antara punca mengapa timbulnya konflik.

Rumusan itu antaranya menyatakan komunikasi yang tidak lancar akan mengakibatkan hubungan tidak harmoni.

Peningkatan pengetahuan dan komunikasi adalah strategi terbaik bagi memperkuatkan persaudaraan antara kedua-dua negara.

Ahmad turut mencadangkan kedua-dua memperkembangkan sentimen serumpun itu dengan memperkukuhkan hubungan ekonomi. Ini kerana ia boleh membantu memperkuatkan perasaan saling kebergantungan antara satu sama lain.

Dalam era globalisasi ini, persaingan dan konflik akan berpunca dari isu ekonomi. Konflik berpunca dari ideologi dan perluasan wilayah sudah kurang relevan ketika ini, jadi pelaburan dan perdagangan dua hala perlu dipertingkatkan.

''Sebagai contoh, Malaysia boleh meneroka bidang perbankan dan perladangan di Indonesia manakala syarikat cari gali minyak dari kedua-dua negara, Pertamina dan Petronas boleh bekerjasama menembusi peluang pelaburan yang lebih jitu berdasarkan sentimen serumpun," ujarnya.

Ia adalah sangat merugikan jika hubungan baik dan perpaduan antara kedua-dua bangsa tidak diperkukuhkan terutama ketika dunia menghadapi pelbagai cabaran dari pelbagai sudut termasuk ekonomi dan politik.

Pengukuhan hubungan serumpun kini juga dilihat sangat penting ketika kedua-dua menghadapi pelbagai isu yang timbul kebelakangan ini.

Pengukuhan ikatan bangsa bukan sahaja akan membantu menyelesaikan pelbagai masalah malah menambah kekuatan kedua-dua negara dalam menghadapi cabaran akan datang.

Source: Utusan Malaysia Online.

Manis bergelar pelajar semula

Posted: 17 Oct 2011 10:07 PM PDT

Oleh Ruhaiza Rusmin, ruhaizarusmin@hmetro.com.my

JARANG ada warga emas ingin melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi kerana kekangan usia dan kudrat namun ada yang sanggup berdepan cabaran dunia pengajian sekali lagi biarpun sudah berdekad meninggalkan alam persekolahan.

Bagi mereka, umur hanya angka dan tidak melambangkan semangat perjuangan menuntut ilmu biarpun masyarakat melihatnya dari sudut berbeza.


Timbul persoalan mengapa golongan ini masih mahu belajar biarpun sudah berusia? Mengapakah sanggup berkorban dan meninggalkan waktu bersama keluarga semata-mata mahu memperoleh ijazah yang tidak mampu lagi menjamin pekerjaan?

Apakah matlamat yang dicari golongan ini?

Ab Hamid Yunos, 74, yang baru menerima Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, baru-baru ini, berkata semangat cintakan ilmu menjadi titik tolak dia melanjutkan pelajaran.

Meskipun meninggalkan alam persekolahan sejak 1954, hasratnya tidak pernah padam dan peluang itu tiba selepas bersara.

"Sejak kecil, saya suka belajar namun keadaan hidup yang sukar, terpaksa diketepikan sementara. Bagaimanapun tidak bermakna saya melupakan biarpun usia menginjak senja.

"Selepas bersara peluang itu tiba dan tiada istilah terlambat jika ingin menuntut ilmu. Saya teruja dan tidak sabar memulakan pengajian biarpun terpaksa menunggu begitu lama.

"Saya puas menyempurnakan impian sebelum menutup mata. Kejayaan menggenggam segulung ijazah ini, membalas segala penat lelah dan penantian selama ini," katanya.

Berasal dari Melaka, dia mengakui pengalaman pertama bergelar pelajar semula sangat manis biarpun terpaksa berhempas pulas dari bawah dan bersaing dengan mereka lebih muda.

Beliau memulakan pengajiannya selepas bersara dalam dunia ketenteraan di sekolah pondok di Kelantan selama lima tahun sebelum mengambil keputusan melanjutkan pengajian peringkat sijil dalam bidang hadis dan sunnah di kampus Nilam Puri, Universiti Malaya (UM).


Kemudian ke peringkat diploma dalam bidang sama sebelum ditawarkan tempat di USM.

Antara cabaran paling sukar apabila terpaksa menyesuaikan diri dengan peralihan penggunaan bahasa Melayu lama kepada moden.

"Sebagai orang lama yang bersekolah pada zaman sebelum merdeka, banyak perbezaan dari segi lenggok dan penggunaan bahasa. Penggunaannya kini cukup 'warna-warni' dan 'advance.'

"Peringkat permulaan sukar namun sokongan rakan dan pensyarah, banyak membantu selain saya menganggapnya cabaran belajar di alaf baru.

"Selepas lama meninggalkan alam persekolahan, janggal belajar semula. Namun jika ada disiplin dan kemahuan segalanya boleh diatasi," katanya.

Biarpun memperoleh keistimewaan dan kelonggaran, dia tidak menggunakannya bagi kepentingan diri sendiri.

"Apa yang diberikan bukan alasan menggunakannya sesuka hati. Perhubungan dijalin atas landasan saling menghormati dan membantu.

"Biarpun ada jarak usia antara rakan sekuliah dan pensyarah, saya tetap profesional serta tahu meletakkan batas tertentu dalam pergaulan. Saya menghormati pensyarah kerana ilmu dan mereka juga menghormati saya kerana usia dan pengalaman," katanya.

Beliau mengakui sebagai bekas tentera, hidupnya penuh disiplin dan tugasan perlu dilakukan dengan sempurna.

"Malangnya bukan semua boleh mengikut rentak itu, saya mesti 'bertolak-ansur.'
Golongan muda hari ini banyak kerenahnya dan memerlukan pendekatan boleh diterima kelompok mereka," katanya yang mengakui banyak 'benda' berubah terutama penggunaan teknologi moden.

Dari sudut lain pula menganggap pelajar hari ini tidak pandai memanfaatkan peluang dengan baik selain gemar melakukan tugasan di saat akhir.

"Perubahan zaman dan penggunaan teknologi seperti Internet memudahkan proses pembelajaran namun turut menyumbang kepada penurunan tahap disiplin.

"Ada pelajar hanya belajar sambil lewa dan kurang memanfaatkan peluang selain gemar membuat tugasan atau ulang kaji di saat akhir.

"Gaya hidup seperti itu tidak sihat. Untuk berjaya, perlukan disiplin serta percaturan hidup yang teratur," katanya yang mengikuti pengkhususan sejarah.
Beliau memperoleh gred purata kumulatif (CGPA) 2.5.

Keinginan yang meluap-luap menjadikan bapa kepada dua orang cahaya mata ini bersedia memulakan kembali perjuangannya di menara gading dengan mengikuti program peringkat sarjana pula.

"Selagi ada hayat, saya akan terus belajar biarpun semakin sukar. Ini adalah perjuangan dan jika saya boleh melakukannya, kenapa tidak orang lain lebih muda?," katanya.

Rakannya, Musa Jaafar, 79, berkata keputusan kembali belajar didorong cita-citanya yang tidak kesampaian untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi sebaik menamatkan pengajian sekolah Inggeris pada 1955.

Menurutnya, pada waktu itu, dia perlu memberi laluan kepada alam pekerjaan kerana keputusan peperiksaan Cambridge (setara Sijil Pelajaran Malaysia kini) kurang memberangsangkan.

"Saya mempunyai cita-cita tinggi memasuki institusi pengajian tinggi namun disebabkan dapat gred tiga, terpaksa melupakan impian itu.

"Keinginan untuk terus belajar tidak pernah luput, tetapi keadaan memaksa melupakannya seketika dan memberi fokus pada pekerjaan.

"Peluang itu diperoleh selepas bersara manakala keluarga juga tiada halangan.
Akhirnya pada usia senja, saya menggenggam segulung ijazah," katanya.

Berasal dari Kota Kuala Muda, Kedah, bekas pengurus Felda ini cukup bertuah kerana memperoleh sokongan padu keluarga apatah lagi semua sembilan anaknya berpendidikan tinggi.

Mengambil jurusan sains sosial dengan pengkhususan sains politik, dia menganggap cabaran paling sukar dihadapi apabila terpaksa berulang alik antara Sungai Petani, Kedah ke USM bagi menghadiri kuliah.

"Itulah kesukarannya kerana terpaksa memandu sendiri ke kampus. Sebagai orang tua kadang kala ada masalah kesihatan. Namun, itu bukan alasan tidak hadir ke kuliah, malah terasa rugi jika ponteng.

"Pada waktu ini, saya boleh memberikan tumpuan sepenuhnya pada pelajaran tanpa perlu memikirkan soal tanggungjawab. Disebabkan usia, ramai pensyarah sudi membantu.

"Ia meningkatkan penguasaan terhadap subjek sukar, tetapi saya juga terpaksa menggandakan usaha membuat ulang kaji dengan belajar pada waktu malam selama empat hingga enam jam.

"Ini pengalaman manis kerana saya mengulang semula saat-saat belajar seperti waktu kecil dulu. Bezanya sekarang ia lebih mudah kerana dipacu penggunaan teknologi seperti komputer," katanya yang berhasrat menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana jika keadaan kesihatan mengizinkan.

Source: Harian Metro Malaysia Online.

No comments:

Post a Comment

Informasi Anda..

Blog Pilihan