Johor Search

Custom Search

Followers

07 September 2011

IdrisTalu

IdrisTalu


Cacat tidak halang Aini Azlita ke menara gading

Posted: 06 Sep 2011 08:06 PM PDT

Rabu 07 September 2011.

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Kecacatan kaki yang memaksanya berkerusi roda tidak pernah menghalang Aini Azlita Ahmad Kamal, 19, untuk menjejaki menara gading malah kekurangan itulah yang membakar semangatnya untuk berjaya.

Pelajar yang baru mendaftar di Fakulti Alam Bina Universiti Malaya (UM) itu berharap kejayaannya menjejakkan kaki ke universiti berkenaan akan menjadi ikutan empat adiknya.

"Saya ingin menjadi contoh kepada adik-adik saya agar mereka juga dapat belajar hingga ke menara gading," ujar anak sulung dari Jalan Kaki Bukit, Kangar, Perlis itu.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Sulaiman itu memperoleh 9A, 1B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun menitiskan air mata apabila mengenangkan terpaksa berjauhan daripada keluarganya.

"Sebelum ini, saya belajar di Kolej Matrikulasi Perlis dan ini kali pertama saya berjauhan dengan ibu, ayah serta adik-adik," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian dan Upacara Lafaz Akujanji Pelajar Baru 2011/2012 UM di sini hari ini.

Dia bagaimanapun sangat bersyukur kerana mempunyai kawan-kawan yang membantu dan melayannya dengan begitu baik sepanjang berada di UM.

Aini Azlita berkata, pihak pengurusan universiti dan kolej juga menyediakan kemudahan yang lengkap dan selesa untuk pelajar kurang upaya.

"Saya rasa gembira kerana layanan yang diberikan oleh pihak universiti dan kolej amat memuaskan dan saya tidak rasa terasing dengan pelajar lain," katanya.

Seorang lagi pelajar baru UM, Hafiyyan Lali, 21, yang menghadapi masalah penglihatan berharap dapat melanjutkan pengajian hingga ke peringkat ijazah kedoktoran dan menjadi pensyarah.

"Saya mahu membantu penduduk kampung di Tawau terutama yang mengalami kecacatan seperti saya," katanya yang akan menuntut di Fakulti Sastera dan Sains Sosial.

Anak sulung daripada empat adik beradik itu memberitahu tiga lagi adiknya juga menghadapi masalah penglihatan sepertinya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Arshad Ayub berkata, universiti tersebut mempunyai kolej khas yang dilengkapi kemudahan untuk pelajar kurang upaya.

Source: Utusan Malaysia Online.

Universiti Malaya antara 500 IPT terbaik dunia

Posted: 06 Sep 2011 08:02 PM PDT

Rabu 07 September 2011.


KUALA LUMPUR 6 Sept. - Universiti Malaya (UM) menjadi institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan pertama disenaraikan dalam Ranking Akademik Universiti Dunia (ARWU) oleh Universiti Shanghai Jiao Tung pada kedudukan antara 401 hingga 500 IPT terbaik dunia bagi tahun ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Arshad Ayub berkata, kedudukan itu turut dikongsi bersama IPT terkemuka lain termasuk Universiti Kaherah di Mesir, Universiti Zagreb di Croatia dan Universiti Wollongong di Australia manakala Universiti Harvard berada di tempat pertama.

Katanya, ARWU yang bermula sejak 2003 itu menilai kredibiliti sesebuah IPT dalam melahirkan alumni yang memenangi Hadiah Nobel, mengemukakan penyelidikan bertaraf dunia dan prestasi keseluruhan pelajarnya yang lazimnya didominasi IPT dari Amerika Syarikat, Britain, Jepun dan Taiwan.

"Penyenaraian tersebut mengambil kira jumlah penerbitan jurnal dalam pangkalan data indeks jurnal Information Sciences Institute (ISI), mendapatkan perkhidmatan pensyarah antarabangsa dan kemasukan pelajar antarabangsa.

"Ia turut disusuli dengan kejayaan menduduki tangga 167 berbanding 207 pada tahun lalu oleh Quacquarelli Symonds (QS) (syarikat penarafan yang berpangkalan di London)," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Perasmian Minggu Haluan Siswa dan Upacara Lafaz Akujanji Mahasiwa Baru UM di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UM, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon dan Timbalan Presiden Persatuan Alumni UM, Tan Sri Profesor Emeritus Augustine Ong Soon Hock.

Seramai 3,154 mahasiswa termasuk 116 dari luar negara menghadiri majlis tersebut.

Jelas Arshad, peningkatan 40 tangga pada QS ini merupakan sebuah kejayaan besar bagi IPT ini dan membuktikan kepimpinan serta staf UM sentiasa bekerja keras untuk mencapai tahap yang membanggakan.

Dengan perkembangan ini, katanya, hasrat untuk berada dalam senarai 100 universiti terbaik dalam QS pada 2015 akan tercapai.

Sementara itu, Ghauth pada sidang akhbar kemudiannya berkata, pengiktirafan tersebut membuktikan UM berada di landasan yang betul dalam meningkatkan kecemerlangan bagi bersaing dengan IPT terkemuka lain.

"Orang kata saya gila ranking, tapi dengan ranking inilah kita dapat menjamin prestasi sesebuah universiti sentiasa meningkat terutama melalui komitmen setiap warganya dalam memperbaiki diri di samping mengharumkan nama negara di mata dunia," jelasnya.

Dalam pada itu, QS turut menyenaraikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada kedudukan 279 terbaik diikuti Universiti Sains Malaysia (335) dan Universiti Putra Malaysia (358).

Antara penyelidik kedudukan IPT yang berprestij di dunia adalah ARWU, QS dan Times Higher Education Supplement (THES-QS).

Source: Utusan Malaysia Online.

Mubarak Majid mendaftar sebagai pelajar baru Universiti Sains Malaysia

Posted: 06 Sep 2011 07:38 PM PDT

Rabu 07 September 2011.
PULAU PINANG 6 Sept. - Biarpun sudah berusia 55 tahun, keinginan menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi tidak pernah pudar dalam diri Mubarak Majid.

Buktinya hari ini, pelakon drama dan teater terkenal itu turut bersama ribuan pelajar baru mendaftar sebagai mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Lakonan dan Pengarahan di Universiti Sains Malaysia di sini.

Beliau yang mengambil jurusan tersebut secara sepenuh masa merupakan antara 4,824 pelajar dalam dan luar negara yang berdaftar di universiti itu bagi sesi pengajian 2011/2012.

Mubarak atau nama sebenarnya Mohamad Mubarak Majid ketika ditemui melahirkan rasa gembira kerana diberi peluang menyambung pelajaran di universiti berkenaan.

"Sudah lama saya berkeinginan untuk menyambung pelajaran, namun hasrat itu terbantut akibat menguruskan keluarga dan anak-anak yang masih kecil. Saya pernah mencuba sekali, tetapi ternyata ia tidak dapat dilakukan.

"Alhamdulillah, sekarang semua anak saya sudah besar dan bekerja. Peluang untuk belajar pula datang secara tiba-tiba. Justeru, saya tidak akan mensia-siakan peluang untuk menambahkan ilmu yang ada dalam bidang lakonan dan pengarahan," katanya.

Mubarak yang telah melibatkan diri dalam bidang lakonan hampir 30 tahun berkata, pemilihan USM itu dianggap cabaran yang secara tidak langsung menjadi pendorong untuknya berusaha lebih gigih.

"Saya suka mencabar diri saya agar lebih kuat berusaha dan menjadi contoh kepada penggiat seni lain dalam usaha menjadikan ilmu sebagai sesuatu yang menarik untuk diteroka sepanjang hayat mereka.

"Kejayaan enam anak saya menamatkan pengajian mereka di institusi pengajian tinggi juga antara pendorong untuk saya berusaha lebih gigih. Dulu giliran mereka, sekarang tiba pula giliran saya untuk membuat mereka bangga," katanya selepas mendaftar sebagai pelajar baru di bangunan Palapes USM di sini, hari ini.

Sementara itu, pemain skuad hoki kebangsaan, Raja Mohd. Hafizi Raja Mohd. Effendi, 22, berkata, latihan intensif yang dilalui tidak akan dijadikan penghalang untuknya mencatatkan kejayaan yang cemerlang dalam pengajian.

Beliau yang mengambil jurusan Sains Sosial dan Kemasyarakatan berkata, ini kerana hanya melalui pelajaran sahaja, masa depan seseorang itu lebih terjamin.

"Bukan sukan tidak penting tetapi ia mempunyai tahap (bersara) dan apabila kita sudah sampai ke tahap tersebut, kita kena meninggalkannya. Berbanding dengan pelajaran, sampai bila-bila pun ia mampu memberi jaminan untuk masa depan kita," katanya.

Source: Utusan Malaysia Online.

Saringan kesihatan untuk elakkan penyakit kronik

Posted: 06 Sep 2011 06:58 AM PDT

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA, maria.zakaria@utusan.com.my
Gambar oleh JEFRI IRAN

SARINGAN kesihatan adalah kaedah perubatan pencegahan terkini yang menjadi perhatian kebanyakan masyarakat global.

Ia bertujuan untuk mengesan penyakit lebih awal dan mendapatkan rawatan yang sesuai di peringkat awal sebelum ia menjadi kronik.

Sekarang ini, masyarakat bukan lagi menunggu datangnya penyakit untuk mencari rawatan. Malah sebelum timbulnya simptom saringan kesihatan mampu memberi maklumat sebelum terbentuknya penyakit tersebut.

Oleh itu, saringan kesihatan amat penting kerana lebih awal kita mendapat diagnosis yang tepat, maka lebih berjaya untuk menangani sesuatu penyakit itu sebaik mungkin.

Sebagai contoh, serangan jantung merupakan penyakit yang makin menular dalam masyarakat.

Sebanyak 50 peratus kes penyakit jantung hanya diketahui setelah mendapat serangan yang pertama dan seterusnya menyebabkan kematian mengejut akibat kegagalan fungsi jantung.

Situasi itu dapat dicegah sekiranya pesakit melakukan saringan kesihatan yang lebih awal.

Menurut Pakar Radiologi, Pusat Perubatan Iheal, Kuala Lumpur, Dr. Haniza Abdul Jalil, saringan kesihatan membolehkan seseorang itu mencegah penyakit kronik lebih awal.

Dari situ mereka boleh mendapatkan rawatan yang sesuai di peringkat awal sebelum ia menjadi kronik dan menyebabkan kematian.

Tambah beliau, saringan kesihatan lengkap terdiri daripada pelbagai aspek dengan pemeriksaan klinikal oleh pakar perubatan.

Ujian-ujian yang asas termasuk ujian darah dan parameter-parameter yang tertentu seperti tahap gula/kolesterol, tekanan darah, ECG dan lain-lain.

"Masa kini, terdapat banyak pakej-pakej saringan kesihatan yang menyeluruh dengan melaksanakan ujian-ujian tertentu termasuk pengimejan diagnostik.

"Pengimejan diagnostik merangkumi imbasan seperti x-ray, mesin ultrasound, mamogram, pengimbas CT serta MRI.

"Ia adalah langkah yang tidak bahaya cuma menggunakan imej imbasan untuk mengetahui apakah penyakit dalaman tanpa membedah buka badan seseorang," ujarnya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, secara tidak langsung ia merupakan satu cara di mana saringan kesihatan mampu memberi maklumat mengenai dalaman seseorang itu.

Berbicara lanjut mengenai saringan kesihatan, menurut Dr. Haniza, kini di Pusat Perubatan Iheal, mereka menggunakan mesin pengimbas CT yang terkini iaitu pengimbas CT 640 hirisan untuk imbasan spesifik mengikut penyakit setiap pesakit.

Mesin ini merupakan yang pertama dan satu-satunya seumpamanya di Malaysia dan ia berupaya memberi imbasan yang tepat, tangkas dan mengurangkan dos dedahan radiasi ke aras yang minimum.

Kelebihan itu tidak dapat ditandingi oleh mesin pengimbas CT yang lain.

Ulas Dr. Haniza, mesin tersebut setanding dengan yang terdapat di negara-negara maju dan kini rakyat Malaysia juga boleh mendapatkan diagnosis dengan dos sinaran yang rendah.

Apabila bercakap mengenai imbasan CT, umum pastinya takut terdedah dengan radiasi.

Bagaimanapun, jelas Dr. Haniza, pengimbas CT 640 membolehkan dos radiasi menjadi amat rendah apabila imbasan dilakukan dengan cukup pantas, secepat 1/3 saat.

Ini bermakna dalam sekelip mata imbasan itu siap. Dengan kepantasan itu pendedahan pada radiasi amat singkat dan dos radiasi juga menjadi amat rendah.

Selain itu menurut, Dr. Haniza, CT640 berupaya mengimbas dalam satu putaran dan dapat memberi satu gambaran sesuatu organ dengan jelas dan amat tepat.

"Contohnya, CT koronari arteri di mana saluran darah kepada jantung dapat dianalisis dengan dos serendah 1-2 msv sahaja. Pesakit jantung berupaya mendapatkan diagnosis yang tepat dan pesakit juga didaftar sebagai pesakit luar tanpa perlu dimasukan ke hospital dan tidak invasif.

"Keputusan ujian akan terus diberi kepada pesakit pada hari yang sama. Selain untuk saringan jantung, mesin ini mempunyai keupayaan untuk melihat perfusi otak yang merangkumi keseluruhan otak dalam satu ujian.

"Dengan mesin pengimbas CT 640 ini, kesemua ujian seperti CT arteri otak, CT vena otak dan CT perfusi otak dapat dilaksanakan serentak dengan dos radiasi yang rendah dan inilah kelebihan lain yang terdapat pada mesin pengimbas ini,'' katanya.

Sebilangan masyarakat hari ini akan bertanya, adakah radiasi boleh menyebabkan kanser?

Jelas Dr. Haniza, dos radiasi yang rendah yang digunakan dalam pengimejan diagnostik adalah amat rendah untuk dikaitkan dengan risiko kanser.

Malah katanya, jika dibandingkan dengan risiko-risiko relatif, penghisap rokok mempunyai risiko kanser yang jauh lebih tinggi.

Dengan itu harus sedar ketakutan terhadap radiasi dibandingkan dengan faedah mengetahui diagnosis yang mampu mencegah penyakit merupakan perspektif yang harus diatasi.

Dr. Haniza turut merumuskan, saringan kesihatan yang dilaksanakan dengan dos sinaran paling rendah lebih mendatangkan faedah kerana ia dapat mengesan penyakit lebih awal dan dapat diberi rawatan sebelum ia terlewat.

Source: Utusan Malaysia Online.

Universiti India labur RM145j di Perak

Posted: 06 Sep 2011 06:51 AM PDT

Oleh Shamsul Kamal Amarudin, shaka@bharian.com.my

Arkib: 2011/09/06


Jaipur National University bakal buka kampus cawangan di Perak

IPOH: Jaipur National University, antara universiti terkemuka di India, bakal membuka kampus cawangannya di Perak membabitkan pelaburan awal bernilai AS$50 juta (RM145 juta).
Kampus berkenaan yang akan menawarkan pengajian dalam bidang kejuruteraan, bioteknologi, kejururawatan dan hospitaliti dijangka dibangunkan di kawasan segitiga pendidikan Perak di jajaran Ipoh-Kampar-Seri Iskandar.

Canselor yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan universiti itu, Sandeep Bakshi, berkata kemasukan pertama pelajar antara 800 hingga 1,000 orang merangkumi pelajar tempatan dan antarabangsa di kampus sementara yang akan diputuskan sebelum akhir tahun ini.

"Beberapa perbincangan lanjut akan diadakan dengan kerajaan negeri selepas ini. Kami berhasrat ingin membina kampus tetap di Perak kerana yakin dengan potensi yang ada di sini serta kerjasama dan sokongan kerajaan negeri," katanya pada sidang media selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Perak Educity, di sini, semalam.

Memorandum itu ditandatangani antara Sandeep dengan Pengarah Perak Educity, Abd Latif Abd Ghani yang disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, ICT, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Perak, Datuk Zahir Khalid; Pengerusi Perak Educity, Datuk Abdul Rashid Ghani serta Pro Naib Canselor Jaipur National University, Prof H N Verma.

Sementara itu, Zambry berkata, pemeteraian MoU itu adalah sebahagian daripada strategi kerajaan negeri untuk memperkembang pelaburan tenaga profesional bagi keperluan pelbagai sektor industri dan perkhidmatan di negeri ini.

"Justeru, kita mengharapkan lebih ramai pakar akademik serta Institut Pengajian Tinggi (IPT) datang ke Perak bagi memenuhi keperluan itu selain menjadikan Perak antara hub pendidikan yang terulung di negara ini," katanya.

Source: Berita Harian Malaysia Online.

Ziarah Ke Kubur Ibu

Posted: 06 Sep 2011 04:41 AM PDT

By Idris Ismail Talu.

Jenazah ibu selamat dikebumikan pada petang hari Selasa 01 Syawal 1432 Hijriyah bersamaan 30 hb Ogos 2011, selepas disembahyangkan di Masjid Kampung Gua Badak pada sekitar jam 5.58 petang.

Besoknya, pada hari raya kedua (02 Syawal 1432H), sekitar jam 10.00 pagi, sebahagian dari anak-anak, menantu-menantu, cucu-cucu serta cicit-cicit aruah ibu menziarahi pusara ibu yang masih merah tanah kuburnya.

Kami membaca al Quran dan bertahlil beramai-ramai untuk aruah ibu.


Sebahagian dari anak-anak, menantu-menantu, cucu-cucu serta
cicit-cicit aruah ibu.


Membaca al Quran dan bertahlil.






Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas ruh ibu.

http://idristalu.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

Informasi Anda..

Blog Pilihan