Johor Search

Custom Search

Followers

11 July 2011

IdrisTalu

IdrisTalu


Pesara naikkan belontok 13.4 kg

Posted: 10 Jul 2011 08:31 AM PDT

TELUK INTAN 9 Julai - Seorang pemancing dari Kampung Bahagia Berjaya di sini berjaya menaikkan ikan belontok seberat 13.4 kilogram di pertemuan antara Sungai Pak Kalong dan Sungai Perak, petang semalam.

Osman Lizan, 63, pesara Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) berhempas-pulas selama 46 minit untuk menaikkan ikan belontok yang terbesar pernah dipancingnya di Sungai Perak.

"Pada mulanya saya ingatkan mata kail tersangkut pada dulang atau kayu kerana terasa begitu berat. Apabila dinaikkan baru saya sedar ia ikan belontok.

"Saya tidak sangka ada ikan belontok sebesar ini di Sungai Perak kerana tangkapan terbesar saya sebelum ini cuma seberat tujuh kilogram," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Osman, rakannya yang memancing bersamanya turut terkejut kerana terdapat ikan belontok sebesar itu di Sungai Perak.

"Saya dan rakan merakamkan gambar ikan tersebut sebagai bukti sebelum menjualnya kepada seorang peraih dengan harga RM35 sekilogram.

"Saya memperoleh sebanyak RM470 hasil jualan ikan belontok tersebut," katanya yang mula memancing secara serius sejak berusia 12 tahun.

Source: Mingguan Malaysia Online

Kesan akibat boikot filem Hollywood

Posted: 10 Jul 2011 07:16 AM PDT

Oleh Saharudin Musthafa dari Jakarta

TEMAN-TEMAN dari Malaysia di Jakarta serta rakyat tempatan merungut kerana tidak berpeluang menonton filem Transformers: Dark of the Moon di pawagam di Indonesia gara-gara pemerintah negara ini yang tidak membenarkan tayangan filem-filem Hollywood kelas A.

Itu belum lagi keluhan kaki wayang mengenai nasib filem terakhir Harry Porter yang direncanakan bakal ditayangkan di seluruh dunia pada 14 Julai ini. Nampaknya, pencinta filem di Indonesia terpaksa berputih mata dan hanya mampu menelan air liur mendengar ulasan filem berkenaan.

Akibat keputusan tegas kerajaan Indonesia tidak membenarkan tayangan filem Hollywood kelas A di negara ini, ia mendesak sebilangan besar rakyat negara ini terbang ke Kuala Lumpur atau Singapura untuk memastikan mereka tidak ketinggalan menonton filem-filem import terbaru itu.

Wang bukan lagi ukuran kepada penonton tegar filem kerana yang penting menonton wayang membebaskan minda daripada segala masalah selepas dibelenggu masalah kerja atau konflik peribadi.

Seperti kata Ratna Dewi, editor di sebuah majalah filem, kebiasaannya dia akan menghabiskan masa sebanyak tiga hingga empat kali seminggu untuk menonton wayang di pawagam.

Berbeza dengan teman-temannya yang lebih suka membeli pakaian dan kasut, hobi Ratna menonton filem-filem baru sebagai menambahkan pengetahuannya untuk kerjayanya serta membebaskan diri daripada tekanan kerja.

"Pada saya, kesihatan mental lebih baik daripada memiliki wang yang banyak. Menonton filem memberi kelegaan kepada saya," katanya yang semenjak kerajaan mengharamkan tayangan filem Hollywood dia sering berkunjung ke Singapura untuk menonton filem.

Ada juga seorang kaki filem yang terbang ke Kuala Lumpur awal pagi Sabtu dengan beberapa temannya dan kembali semula ke Jakarta pada hari Ahad menaiki pesawat terakhir semata-mata kerana mahu melepaskan gian menonton filem.

Merebut

Kedua-dua pencinta filem itu mungkin hanya satu daripada berpuluh atau mungkin beratus contoh rakyat Indonesia yang memilih jalan sendiri untuk merebut peluang menonton filem antarabangsa.

Barangkali juga, kepada mereka yang memilih untuk menonton wayang di luar negara tentunya selepas ini mempunyai sebab untuk memperbaharui pasport antarabangsa mereka!

Dari satu aspek lain, apabila rakyat tempatan memilih untuk menonton filem di luar negara ia memberikan satu petunjuk bahawa dasar pemerintah benar-benar tidak berpihak kepada industri filem serta memberi kejutan yang luar biasa kepada masyarakat.

Keluhan demi keluhan disuarakan peminat filem Indonesia terhadap keputusan yang diambil oleh pemerintah negara ini sejak Mac lalu. Kepada mereka, ini merupakan tindakan paling kurang bijaksana.

Semua ini berlaku akibat daripada tercetus perdebatan di antara jabatan percukaian negara dengan Motion Picture Association (MPA) berhubung isu levi ke atas filem antarabangsa yang ditetapkan oleh pemerintah.

Sebetulnya, dalam mencari titik penyelesaian untuk merungkai persoalan itu haruslah dengan cara melihat isu berkenaan dari perspektif yang lebih besar dan hasil kajiannya kelak akan memberi manfaat yang besar kepada kedua-dua pihak.

Lalu, kerana masalah tidak dapat diselesaikan sejak berbulan-bulan ia sekali gus membuatkan industri pawagam Indonesia berhadapan dengan masalah untuk menarik perhatian penonton.

Realitinya, boikot filem Hollywood hanya membawa keperitan kepada rakyat tempatan sendiri kerana ia menyaksikan betapa hal ehwal pengurusan industri ini tidak ditangani dengan berhemah dan bijaksana.

Pada masa sama, dalam memberi tumpuan khusus isu ini, tentunya pihak yang paling gembira dan meraikan kemenangan ialah usahawan cetak rompak yang khabarnya menyaksikan peningkatan jualan secara haram yang semakin mendadak.

Berdasarkan laporan media tempatan, jualan DVD cetak rompak filem antarabangsa meningkat sehingga 50 peratus semenjak boikot itu dilancarkan awal tahun ini.

Namun, yang berhadapan dengan kegelisahan tentunya pula pengusaha pawagam tempatan yang terpaksa menerima hakikat bisnes mereka menjunam sehingga 60 peratus hanya kerana filem Hollywood kelas A tidak dapat ditayangkan di Indonesia.

Kesan lain yang cukup ketara berlaku juga ialah, sebilangan besar para pemilik pawagam di pelbagai pusat membeli-belah sudah mula melakukan usaha mengurangkan kos operasi dengan memberhentikan kakitangan misalnya kerana tidak mahu lagi terbeban dengan perniagaan yang tidak mendatangkan hasil.

Ketika filem Hollywood kelas A tidak dibenarkan ditayangkan di pawagam, seharusnya inilah ruang terbaik untuk filem-filem tempatan menguasai pawagam ketika tiada saingan dari luar. Sayang sekali tidak pula kedengaran laporan filem-filem Indonesia mencipta rekod kejayaan yang besar di pawagam.

Atau mungkin juga rakyat Indonesia lebih suka duduk di rumah menonton televisyen kerana sinetron-sinetron yang ditayangkan di sebilangan besar stesen televisyen tempatan juga sudah cukup untuk membuatkan masyarakatnya tidak perlu berbelanja untuk menikmati hiburan di luar.

Source: Mingguan Malaysia Online

Rahmat menjelang Ramadan

Posted: 10 Jul 2011 07:11 AM PDT


Oleh Nasir Abd Wahab dan Zulhilmi Hat, bhnews@bharian.com.my
2011/07/09

Doa isteri, pengalaman bantu dua muncul juara

"SAYA percaya kejayaan ini berkat doa isteri selain usaha dan tawakal menyertai pertandingan memancing berprestij ini," kata Mohamad Roddy Shalim Miskan, 31, yang menjuarai Karnival Memancing GP Joran Pusingan Ketiga bagi Kategori Laut di Kuala Pahang, Pekan, Ahad lalu.

Ikan ebek seberat 10.28 kilogram (kg) yang ditawan menggunakan umpan sotong hidup membolehkan Mohamad Roddy dari Johor membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 serta hadiah iringan daripada penaja.

Beliau berkata, linangan air mata isteri yang menemani sehingga ke jeti seolah-olah memberi kekuatan kepadanya memancing ke tengah laut dengan bersungguh-sungguh bersama rakan lain untuk memastikan mampu memperoleh tangkapan besar.

Katanya, sikap berhati-hati mengawal setiap tali kail tanpa putus membantu menaikkan ikan itu dan lebih bermakna, ebek yang ditawan melayakkannya muncul juara sekali gus mengubah sedikit corak kehidupan keluarga, lebih-lebih lagi bagi menyambut kedatangan Ramadan tidak lama lagi.

"Ketika di laut, sayu terkenang wajah isteri yang tidak putus-putus mendoakan kejayaan saya. Terima kasih kepada isteri yang memahami minat saya selama ini... wang kemenangan ini untuk keluarga kita," katanya yang bakal menggunakan wang kemenangan itu untuk membuat persiapan bagi menyambut Ramadan dan Aidilfitri, bulan depan.

Bercerita lanjut pengalaman menaikkan ebek, Mohamad Roddy berkata, umpan sotong hidup digunakannya sekitar lubuk Karang Batu tidak mengecewakan apabila terus diragut ikan yang terkenal dengan daya juang cukup tinggi itu.
"Selepas tekong memberitahu lubuk Karang Batu mempunyai ikan pelagik seperti ebek dan gerepoh, saya pantas menurunkan umpan sotong di lubuk itu dan tidak menunggu lama apabila umpan terus dilarikan ikan. Hampir 15 minit bertarung dengan ebek sebesar gitar berwarna perak itu yang mengelilingi hampir separuh bot kami," katanya.

Sementara itu, pengalaman serta kelebihan beraksi di gelanggang sendiri membolehkan gelaran juara Kategori Pantai menjadi milik Faudzi Mohamed, 53, dari Pekan dengan tangkapan pari seberat 19.38kg.

Kemenangannya nyata dikagumi kira-kira 700 pemancing lain kerana begitu arif memikat selera pari di Pantai Kuala Pahang tanpa perlu menunggu lama. Hanya selepas 20 minit hon pertandingan dibunyikan, jorannya sudah melentur hebat tanda mangsa besar sudah mengena.

Tanpa berahsia, Faudzi mendedahkan resipi mujarabnya adalah menggunakan udang hidup yang disauk sekitar Pantai Tanjung Selangor beberapa jam sebelum mendaftar sebagai peserta.

"Kelebihan sebagai anak jati daerah ini yang tahu seelok belok selera ikan membawa kejayaan paling bermakna kepada saya dan keluarga," kata pesara berkenaan.

Hadiah kepada pemenang utama disampaikan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail pada majlis turut dihadiri Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A Talib dan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid.

Hadir sama, Ketua Penolong Pegawai Daerah Pekan, Shahid Ismail; Penghulu Mukim Kuala Pahang, Ismail Othman dan Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan Pekan, Zamri Mohamad.

Pemenang kedua Kategori Laut ialah Zulkarnain Mohd Ali, 32, dengan tangkapan tenggiri 7.32kg dan ketiga, Mohd Nazli Md Dali, 35, juga tenggiri seberat 7.3kg, manakala naib johan Kategori Pantai milik Asram Abas, 42, dan ketiga, Yuswady Adam, 41, dengan masing-masing menawan pari.

Tempat kedua dan ketiga kedua-dua kategori, masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan RM4,000 bersama hadiah iringan daripada penaja.

Antara penaja Karnival Memancing GP Joran Pusingan Ketiga 2011, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), TCE Tackles Sdn Bhd, Nestle Product Sdn Bhd (Nestle/Maggi), Universal Fitness & Leisure (UFL-COLEMAN), Adabi Consumer Sdn Bhd (ADABI), Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd, Axis Kay Trading Sdn Bhd dan Sar Technologies & Trading.

Karnival kali ketujuh di Kuala Pahang ini dijayakan dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Pekan, Pejabat Daerah Pekan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), disertai hampir 1,500 peserta bagi kedua-dua kategori. Pusingan akhir Grand Slam GP Joran akan menemui pemancing di Teluk Lipat, Kuala Dungun, Terengganu, Oktober ini.

Source: Joran – Berita Harian Malaysia Online.

No comments:

Post a Comment

Informasi Anda..

Blog Pilihan