Johor Search

Custom Search

Followers

27 May 2011

IdrisTalu

IdrisTalu


Malaywood di Melaka

Posted: 26 May 2011 03:03 AM PDT

Oleh Zaidi Mohamad, zaidim@bharian.com.my

2010/12/19

Eurofine rancang bina kompleks studio filem di Ayer Keroh

BAYANGKAN kecanggihan dan keluasan kompleks studio filem terbesar di dunia, Ramoji Film City di Hyderabad India bakal didirikan di negara kita. Bukan lagi omong kosong, sebaliknya ia akan direalisasikan anak syarikat Eurofine, Fine Leisure Development Sdn Bhd selepas membuat perancangan selama 10 tahun.

Bakal dinamakan Laman Seni Film City, ia dijadual dibangunkan awal tahun depan di tapak seluas 21.6 hektar di Bandar Hijau, Hang Tuah Jaya, Melaka dengan kos kira-kira RM300 juta. Ramoji Film City yang dimiliki Ramaji Rao dan mula beroperasi pada 1996, dibina di tapak lebih 800 hektar dan keluasannya diiktiraf Guiness Book of World Records.

Pengarah Urusan Kumpulan Eurofine, Ida Rahayu Md Noor sendiri pernah melawat Ramoji Film City pada 2001, namun bagi projek di Melaka itu, tanah yang digunakan tidaklah sebesar kompleks studio filem di Hyderabad, tetapi fungsinya boleh dianggap sama.

Selain menawarkan kemudahan dan peralatan untuk penggambaran filem serta drama, projek kebanggaan Eurofine ini turut berfungsi menjana sektor pelancongan melalui perancangan membuka empat taman tema keluarga dipanggil Laman yang setiap satunya menggunakan watak animasi dan drama yang pernah diterbitkan Eurofine.


Nama yang dimaksudkan ialah karakter Yokies, Frootees, filem Putih dan drama Sara Akashah yang pernah disiarkan di kaca TV dulu. Empat hotel juga bakal dibangunkan yang keseluruhannya memuatkan 1,000 bilik, selain Akademi Filem dan sajian terbuka kepada rakyat yang bakal bebas belajar tanpa sebarang kelayakan tertentu.

"Pengunjung juga bakal berpeluang melihat aliran kerja pembikinan filem dan drama. Secara tak langsung, kita dapat terus menyemarakkan industri pembikinan filem dan drama tempatan. Kita sediakan kemudahan kepada penggiat seni dengan caj untuk penggunaan utiliti dan sebagainya.

"Kompleks studio ini nanti turut menempatkan studio suntingan, grafik dan audio digital terkini, pusat beli-belah laman rekreasi dan hiburan. Bayangkan pembikin filem boleh masuk ke situ dengan sebuah skrip dan keluar dengan segulung filem kerana segala kemudahan ada di situ," kata Ida yang juga aktif menerbit drama.

Majlis menandatangani perjanjian pembelian tanah bagi membangunkan projek terbabit diadakan pada 9 Disember lalu di Hotel Seri Malaysia, Ayer Keroh, dihadiri Ketua Menteri merangkap Pengerusi Yayasan Melaka, Datuk Seri Ali Rustam. Turut hadir rakan media dan artis seperti Dira Abu Zahar, Almy Nadia, Roy Azman dan Ezany.

Berita Minggu yang menjadi wakil tunggal akhbar dari Kuala Lumpur diundang ke sana turut berpeluang meninjau keseluruhan lokasi terbabit yang dibeli pada harga RM11.1 juta pada petang hari sama dengan menaiki kereta pacuan empat roda dan difahamkan sebuah pawagam terbuka turut dirancang dibina dalam kawasan kompleks berkenaan.

"Untuk menzahirkan projek ini bukan sekecil anak usahanya. Tahun ini kita hanya mampu melunaskan proses pecah tanah, tetapi harapnya ia satu permulaan yang baik. Kita akan usahakan projek ini dalam tiga fasa yakni selama tiga tahun sebelum dijangka memulakan operasi pada 2014.

"Kami yakin projek berpaksikan seni sebegini wajar diusahakan pihak berkaitan, baru ada 'feel'. Kami juga dalam perbincangan dengan beberapa rakan kongsi dari Amerika Syarikat untuk turut serta membangunkan projek ini," katanya, tetapi belum dapat mendedahkan identiti rakan kongsi yang bakal dipilih.

Ida berkata, projek itu juga penanda aras bagi Eurofine yang mula beroperasi pada 1991, sekali gus tidak mahu ia sekadar hangat-hangat tahi ayam atau melepaskan batuk di tangga, sebaliknya sebagai mercu tanda Malaysia dan industri seni negara sehebat Universal Studio, Disneyland dan Legoland di AS.

"Projek ini juga bagi membantu meningkatkan industri pelancongan negara, terutama di Melaka. Dengan adanya Laman Seni Film City, kita mensasarkan tambahan 1 juta lagi pelancong dan orang tempatan mengunjungi negeri ini.

Melaka sendiri dianggap bandar raya bersejarah dan kita mahu mencipta sejarah baru dengan penghasilan projek ini.

"Harapnya pelancong yang datang akan bercakap mengenai projek ini dan melakukan promosi mulut ke mulut kepada teman senegara. Siapa tahu selepas Hollywood dan Bollywood, akan muncul Malaywood atau Melakawood pula selepas ini," katanya peneraju syarikat penerbitan yang aktif menerbit program terbitan televisyen tempatan dan luar negara ini.

Info
Kumpulan Eurofine


•Beroperasi di Bandar Baru Nilai sejak 1991.

•Beberapa program animasi terbitannya berjaya dijual ke AS, Timur Tengah, Brunei dan Indonesia.

•Anak syarikat lain, Fine International Network, Fine Gallery Sdn Bhd, Fine Mobile Network Sdn Bhd, Fine Animation Sdn Bhd dan P T Fine Media Kreasi di Jakarta.

Source: Berita Minggu Malaysia Online.

Neraka dunia

Posted: 26 May 2011 02:48 AM PDT


Oleh Hazirah Che Sab, zeehan@bharian.com.my

2011/05/22

Lubuk bahaya: Pokok gergasi, landskap aneh, ekstrem dan gas beracun antara lokasi dilabel 'neraka' dunia


TANYALAH sesiapa saja - hatta manusia paling kejam sekali pun - tiada siapa yang ingin menjadi penghuni neraka. Ia yang dikaitkan dengan panas, api dan bentuk seksaan mengerikan sudah cukup membuatkan tempat itu tidak ingin dijejaki langsung walaupun sekadar dalam mimpi.

Tidak kira apa jenis gambaran yang timbul mengenai neraka, ia bukan sesuatu yang baik dan molek sesuai dengan kedudukannya sebagai kediaman tetap iblis. Sebagai umat Islam, gambaran neraka cuma diperoleh menerusi al-Quran.

Namun hakikatnya, ada beberapa tempat di dunia ini sebaliknya kerap dilabel atau diumpamakan neraka kerana pelbagai sebab dan pastinya bukan tempat pilihan untuk dikunjungi ketika bercuti. Alasannya, selain membahayakan akibat faktor pelepasan gas beracun, ia juga dikaitkan dengan bahaya berikutan geografi serta rupa fizikalnya yang ekstrem dan cukup menggerunkan.

Tidak ketinggalan, bentuk muka buminya yang pelik dan aneh dengan batuan serta tumbuh-tumbuhannya bersaiz gergasi dan tidak menepati aspek geografi fizikal pada masa kini. Namaskar Pass di Iceland, dikenali sebagai 'Pintu Masuk ke Neraka' mendapat gelaran itu kerana landskapnya yang aneh dan pelbagai. Jauh bertentangan dengan negara tempat letaknya yang sepatutnya sejuk, Namaskar Pass, pula dipenuhi kawah gunung berapi yang mendidih, air pancut panas, kolam lumpur malah pembentukan lahar.

Gabungan itu menjadi keseluruhan tempat berkenaan sentiasa hidup dengan tenaga yang mendidih berterusan.

Tidak kurang ngeri ialah Bisti Badlands, padang pasir tandus di New Mexico yang digambarkan seolah-olah memasuki pintu masuk ke satu dunia lain sebaik menjejakkan kaki ke situ. Hampir 70 juta tahun dulu, ia adalah hutan hujan tetapi hari ini tempat itu kekal sebagai kawasan perkuburan kepada haiwan prasejarah, dinosaur.

Satu lagi Pintu ke Neraka terletak di pekan kecil Darvas di Uzbekistan. Kisah mengenai tempat itu sudah tersebar 35 tahun lalu apabila pakar geologi mula menggali untuk mencari gas. Dalam proses itu mereka menemui gua bawah tanah yang cukup besar untuk memuatkan peralatan menggali.
Namun tiada siapa berani memasukinya kerana dipenuhi gas. Mereka membakarnya untuk menghalang gas beracun daripada terlepas dan sejak itu ia tidak pernah terpadam. Tiada siapa tahu berapa tan gas yang dibakar sejak 35 tahun lalu tetapi kelihatannya ia mungkin tidak akan habis.

Satu daripada padang pasir paling ekstrem di dunia - Victoria Dry Valley atau Lembah Kering Victoria di Antartika, adalah kawasan bebas ais paling besar yang ada di benua itu. Paras kelembapan yang amat rendah dan kekurangan liputan ais menjadi sebab utama berlakunya tiupan angin katabatic yang boleh mencecah kelajuan 321 kilometer sejam.

Satu lagi kawasan digelar 'neraka dunia' adalah Socotra. Sebagai pulau terbesar daripada empat pulau di Lautan Hindi, Socotra terletak kira-kira 240 kilometer ke timur Afrika Timur. Ia pulau terpencil dan satu pertiga daripada tumbuhan di situ, termasuk pokok gergasi tidak akan ditemui di tempat lain. Socotra amat aneh sehingga digambarkan sebagai tempat paling pelik di bumi.

Bukan sukar untuk berasa tiba-tiba saja kita berada di satu planet lain yang lebih kasar dan lebih mengelirukan apabila melawat Vale de Lua, Brazil. 'Lembah Bulan' itu menjadi kawasan paling dilawati di Taman Negara Chapadea de Veadeiros dan dikatakan sudah berusia 1.8 juta tahun. Pembentukan batu yang dihakis oleh air Sungai San Miguel, adalah antara yang tertua dan paling aneh di dunia.


Cuma boleh dilihat daripada angkasa lepas, Richat Structure, adalah paparan pusingan di Gurun Sahara Mauritania berhampiran Ouadane. Ia menarik perhatian sejak misi ke angkasa lepas terawal kerana mudah dilihat dan mempunyai berbentuk mata lembu.

Sementara itu, Mata Air Panas Mammoth di Yellowstone, Amerika Syarikat adalah mata air yang menyimpan karbonat paling besar. Ciri mata air itu yang paling popular, Minerva Terrace, adalah hasil ribuan tahun air panas yang turut kaya hasil kalsium karbonat. Lebih dua tan mengalir ke dalam kawasan ini setiap hari.

Satu lagi lokasi yang digeruni adalah padang geotermal paling aktif di kawasan Rotorua, New Zealand. Ia diberi gelaran Pintu Neraka kerana bau busuk air dicemari belerang dan kolam lumpur. Di sekitar gunung berapi di Pulau Utara New Zealand dan kawasan geotermal, hampir 1,000 spesies bakteria paling pelik ditemui di sebalik suhu, paras asid, alkali, tekanan dan kerapnya tanpa cahaya matahari atau oksigen.

Hakikatnya, semua lokasi ini sememangnya jauh tersasar daripada definisi neraka seperti yang disebutkan dalam al-Quran. Tetapi mungkinkah kewujudannya boleh dijadikan peringatan kepada manusia betapa neraka akhirat jauh lebih menakutkan?

Source: Berita Minggu Malaysia Online.

No comments:

Post a Comment

Informasi Anda..

Blog Pilihan