Johor Search

Custom Search

Followers

24 May 2011

IdrisTalu

IdrisTalu


Penguat kuasa syariah ikut hukum

Posted: 23 May 2011 05:54 PM PDT

Oleh Shamrahayu A Aziz

2011/05/24

Dua instrumen beri sokongan undang-undang laksanakan tugas


SELAIN daripada isu politik semasa, penguatkuasaan jenayah syariah juga menjadi topik yang tidak pernah sunyi daripada perbincangan. Walaupun kadangkala tenggelam dan kadangkala timbul, perkara ini sentiasa dekat dengan khalayak.

Pada minggu ini, saya ingin membuat sedikit ulasan mengenai undang-undang berkaitan penguatkuasaan jenayah syariah. Sebenarnya ada pembaca mahukan sedikit maklumat mengenai perkara ini. Walaupun pembaca itu merujuk kepada satu kes membabitkan kematian dalam serbuan mencegah maksiat dilakukan pegawai penguat kuasa agama Islam baru-baru ini, tulisan ini tidak merujuk kepada kes terbabit. Ia hanyalah sedikit perkongsian maklumat mengenai undang-undang dan peraturan berkaitan penguatkuasaan jenayah syariah secara umum.
Antara persoalan dikemukakan seorang pembaca ialah adakah penguat kuasa agama mempunyai kuasa undang-undang menguatkuasa jenayah syariah. Pembaca lain pula bertanya, sejauh manakah undang-undang berkaitan penguatkuasaan jenayah syariah diamalkan negara ini bertepatan dengan kehendak hukum syarak?
Bagi menjawab soalan pertama, saya ingin tegaskan bahawa setiap agensi penguatkuasaan sudah semestinya memerlukan undang-undang yang mencukupi. Sekiranya tidak, tidak mungkin suatu undang-undang itu (dalam hal ini undang-undang jenayah syariah) boleh dilaksana dan seterusnya mencapai matlamat penggubalannya.

Bagi penguat kuasa agama, secara keseluruhannya Badan Perundangan Negeri sudah meluluskan undang-undang Prosedur Jenayah Syariah (juga dikenali Undang-Undang Tatacara Jenayah Syariah). Prosedur bermaksud tatacara, dalam konteks ini ia adalah aturan mengenai proses penguatkuasaan. Undang-undang ini menggariskan kuasa dan had kuasa tertentu kepada penguat kuasa.

Selain undang-undang diluluskan Badan Perundangan ini. Penguat kuasa agama juga mempunyai Garis Panduan Penguatkuasaan Undang-Undang Jenayah Syariah melalui Arahan Tetap Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri 2007. Dengan adanya dua instrumen ini, penguat kuasa agama mempunyai sokongan undang-undang agak kukuh mengenai kuasa dan tatacara penguatkuasaan.

Oleh itu, bagi menjawab persoalan pembaca itu, kita mempunyai undang-undang tertentu bagi tujuan penguatkuasaan jenayah syariah. Namun, perkara yang sering dipersoalkan ialah adakah penguat kuasa agama mematuhi segala tatacara atau garis panduan yang ditetapkan undang-undang ketika menjalankan tugasan atau ketika mengendalikan kemungkinan ketika penguatkuasaan.
Saya tidak mahu berprasangka kepada penguat kuasa kerana saya akui, cabaran yang dihadapi oleh semua agensi penguat kuasa (termasuk penguat kuasa agama) adalah pelbagai. Mereka ada kalanya perlu membuat keputusan tepat dalam masa yang singkat serta dalam keadaan tertekan dan keliru.

Oleh itu, penguat kuasa hendaklah sentiasa memberi perhatian sewajarnya terhadap ketahanan mental. Sekiranya tidak, keputusan diambil dalam keadaan keliru itu mungkin tidak menepati kehendak undang-undang bertulis. Saya percaya, latihan fizikal lengkap dan persediaan mental yang mantap satu daripada cara boleh dipertimbangkan untuk dijadikan asas dalam lantikan dan perlu diperkukuh dari masa ke semasa.

Mengenai persoalan sejauh manakah prosedur diamalkan sekarang bertepatan dengan hukum syarak adalah sesuatu yang menarik untuk dibincangkan. Sebagai contoh, mantan mufti Perlis suatu ketika pernah mengaitkan penguatkuasaan jenayah syariah dengan perbuatan tajassus yang tidak dibenarkan syarak. Saya menerima komen mantan mufti ini dengan sedikit kesangsian kerana penyiasatan mempunyai perbezaan tertentu daripada tajassus. Seperti mana amalan, maklumat tertentu perlulah diperoleh sebelum suatu penyiasatan dimulakan.

Berbalik kepada ketepatan prosedur dari sudut pandangan hukum syarak, perkara ini sebenarnya agak teknikal, tetapi cukuplah sekadar disebut di ruangan ini bahawa hukum syarak berkaitan prosedur penguatkuasaan tidak begitu terperinci perdebatannya berbanding perdebatan dalam undang-undang lain.

Cabang undang-undang ini disandarkan kepada beberapa prinsip dasar. Ia perlu dikembangkan menurut keperluan semasa. Saya katakan begini kerana dari aspek amalan, tatacara penguatkuasaan membabitkan perkara teknikal yang semakin hari semakin bertambah komplikasinya.

Dalam perkara berkaitan kita perlu memberi perhatian kepada satu seksyen dalam undang-undang prosedur jenayah syariah yang menyebut antara lain, mana-mana peruntukan atau tafsiran peruntukan di bawah undang-undang prosedur yang tidak konsisten dengan hukum syarak hendaklah terbatal setakat mana yang tidak konsisten. Sebagai contoh, pembaca boleh merujuk kepada Seksyen 230 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Akta 560.

Penulis ialah Penolong Profesor di Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM.

Source: Berita Harian Malaysia Online.

Muzium pusat mengupas sejarah tanah air

Posted: 23 May 2011 04:42 PM PDT

SEREMBAN 23 Mei - Fungsi muzium tidak hanya terhad sebagai tempat untuk memulihara serta menyimpan artifak khazanah negara, malah ia juga merupakan sumber ilmu untuk tatapan pelbagai lapisan masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan, Datuk Mohammad Razi Kail berkata, muzium juga medium terbaik bagi menyuburkan warisan untuk terus diingati oleh para pengunjung.

Malah, beliau juga menjelaskan, pengumpulan segala bahan warisan sejarah dilihat penting dalam mengenali identiti budaya dalam pembinaan serta tamadun sesebuah negara.

"Muzium juga boleh menyuntik kesedaran mengenai pentingnya menjaga serta mengingati peninggalan sejarah dalam kalangan masyarakat tanpa mengira apa jua bentuknya.

"Ia sebagai satu langkah ke arah pembinaan negara dan masyarakat yang intelektual dengan identiti satu bangsa Malaysia," katanya pada seminar antarabangsa Muzium dan Kenangan sempena Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Ibrahim Ismail; Pengerusi ICOM Malaysia (ICOMMAL), Datuk Dr. Adi Taha dan Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Shamsuddin Ahmad.

Menyentuh mengenai seminar berkenaan, Mohammad Razi berkata, ia merupakan satu platform yang tepat untuk mencurahkan segala ilmu dan kepakaran yang ada dalam memartabatkan muzium setanding dengan negara-negara lain.

"Selain pembentangan kertas kerja, seminar ini juga memberi peluang kepada peserta untuk memberi pandangan sekali gus menjadikannya sebagai wadah ilmu sesuai dengan fungsi muzium sendiri," katanya.

Seminar sehari itu disertai lebih 300 peserta turut menyaksikan lapan kertas kerja dibentangkan oleh pakar-pakar dalam bidang berkaitan muzium dari dalam dan luar negara.

Antara pembentang kertas ialah Ketua Pengarah Jabatan Arkib Negara, Dr. Samsiah Muhamad; Presiden Pertubuhan Muzium Thailand, Somlak Charoenpot; Pengarah Pusat Pemuliharaan Warisan Nasional Singapura, Loh Heng Noi serta Ketua Unit Budaya Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Masanori Nagaoka.

Turut mengambil bahagian ialah Pengarah Urusan Galeri Muzium Diraja Pucuk Rebung Kuala Lumpur, Henry Bong Lian Hin; Sukarelawan Jabatan Muzium Malaysia, Marie Tseng dan Pensyarah Pelancongan Hospitaliti Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Fauzi Mokhtar.

Source: Utusan Malaysia Online.

Kamera DSLR tidak lagi rumit

Posted: 23 May 2011 11:08 AM PDT

Oleh Afiq Hanif, afiq@hmetro.com.my

Foto ihsan Harian Metro Malaysia.

DI SEBALIK bencana tsunami dan gempa bumi di Jepun beberapa bulan lalu yang memberi kesan kepada pengeluaran kamera di negara matahari terbit itu, peranti terbabit masih mendapat sambutan hangat di kalangan peminat.

Kini, ramai yang tertarik dengan istilah fotografi yang disinonimkan dengan penggunaan kamera digital refleks kanta tunggal (DSLR).

Sebut saja fotografi, pengguna di Malaysia akan terbayang�kan DSLR dengan muncung ke depan (lensa) untuk merakam yang menghasilkan imej menakjubkan sehingga membuatkan perakamnya senyum ke pipi.

Malah, anak muda belasan tahun pun sudah menggendong kamera DSLR yang digantungkan di leher dan merakam apa juga objek melintas di depan mata.

Pengurus Khidmat Profesional Nikon (NPS) Nikon (M) Sdn Bhd, Mahfooz NR berkata, merakam gambar membabitkan pemandangan, objek statik atau pergerakan manusia memang mengasyikkan, namun ia memerlukan kamera berkuasa tinggi seperti model DSLR yang menjadikan hasilnya indah dipandang mata.
Foto ihsan Harian Metro Malaysia.

"Kalau mahu membeli kamera DSLR mungkin agak terlalu komplikated, tidak mudah digunakan, reka bentuk agak besar dan bukan murah.

"Namun, ia pilihan terbaik di pasaran bergantung kepada penggunaan kamera DSLR memandangkan ia mudah digunakan terutama kepada individu yang baru berjinak-jinak dengan fotografi melalui ciri yang khas ditawarkan," katanya.

Mahfooz berkata, walaupun dengan produk awalan seperti D3100, ia mampu menghasilkan gambar yang berkualiti tinggi, sekali gus membolehkan penggunanya terus bereksperimen.

"Perubahan teknologi bertambah kepada peningkatan fungsinya dengan kemampuan merakam video dalam format definisi tinggi (HD).

"Ia pastinya menjadikan kamera DSLR semakin diminati, apatah lagi harganya pula semakin murah berbanding ketika teknologi DSLR baru diperkenalkan satu ketika dulu," kata Mahfodz.

Mengulas mengenai kelebihan DLSR, beliau menjelaskan, penggunaan lensa kamera DSLR membolehkan kita bermain dengan bukaan lensa (apartur), sekali gus menghasilkan kesan lebih kreatif.

Berasaskan resolusi daripada 10 hingga 16 megapiksel, DSLR memudahkan operasi dan kawalan sepenuhnya terhadap kamera ketika rakaman gambar dilakukan dalam keadaan kritikal, termasuk ketika menggunakan unit lampu flash binaan dalamnya.

Bukan itu saja, ia menawarkan kadar zum hingga empat kali daripada 18mm sehinggalah 112mm menggunakan lensa tertentu dan ia boleh dilaraskan kalau anda berduit untuk menambah kuasanya.

Uniknya mengenai DSLR, ia mampu mengesan cahaya dengan baik untuk menghasilkan imej lebih bermutu.

Pendedahan model yang dikeluarkan syarikat tertentu mempamerkan kesungguhan mereka memenuhi keghairahan fotografi pengguna yang mencari kamera bagi menyokong kegunaan ketika percutian atau tugasan luar.

Beberapa mod diperkenalkan membolehkan pengguna mengendalikan secara manual seperti untuk menentukan warna latar belakang, kecerahan, darjah kekaburan latar belakang dan pergerakan.

Walaupun tanpa bantuan flash, kamera DSLR masih berupaya merakam imej dengan baik walaupun diletak pada mod automatik.

Tetapan seperti A, M dan S dikatakan nadi kepada DLSR, bermakna tahap dedahan cahaya dan kelajuan shutter boleh ditetapkan pengguna. Kalau tidak mahu, gunakan saja tetapan automatik dan anda masih mempunyai hasil menakjubkan.

Satu lagi aplikasi mudah digunakan yang kerap ditawarkan syarikat pengeluar kamera termasuk mod khas yang mampu memberi suatu pengalaman menarik dalam menghasilkan imej lebih kreatif kerana mempunyai kesan khas memberikan warna dan elemen berlainan.

Foto ihsan Harian Metro Malaysia.

Bagaimanapun, pengguna perlu memeriksa spesifikasi yang ditawarkan pada kamera DSLR sebelum membelinya.

Mengikut sejarah, perkataan fotografi dikatakan berasal daripada ungkapan Greek yang membawa maksud cahaya bagi perkataan 'foto' dan melukis bagi perkataan 'graphein.'

Fotografi sudah bertapak di dunia pada 1820 dengan gambar pertama dikhabarkan dirakam pada 1826 oleh Nicephore Niepce, Perancis.

Kebanyakan kamera DSLR kini mempunyai teknologi pengesan imej yang dibangunkan di atas cip kecil dimuatkan dalam peranti terbabit bertujuan merakam imej.

Foto ihsan Harian Metro Malaysia.

Jika anda pengguna kamera DSLR, beberapa teknik asas boleh diamati untuk menghasilkan gambar yang terbaik, memuaskan hati dan menjadi tatapan yang hebat.

Teknik merakam gambar yang menarik termasuk:

Memilih latar belakang bersesuaian

Latar belakang yang indah mampu menarik 'mood' foto anda dan terbaik dengan memfokuskan kepada subjek utama seperti wajah atau suasana di meja makan bagi menampakkan kemeriahan hari raya.

Kalau boleh, buka lampu di bahagian atas atau belakang bagi mendapatkan warna foto yang asli selain menutup 'flash' sekiranya pencahayaan mencukupi.

Fokus kepada mata

Terdapat pepatah Inggeris menyatakan 'The eyes are the window to the soul' (Mata adalah tingkap jiwa). Bagi mengelakkan 'mata merah' (red eye) kelihatan pada skrin kamera, pengguna perlu memadam fungsinya dalam tetapan.


Pencahayaan

Pencahayaan yang cukup membantu meningkatkan kualiti foto menarik terutama penciptaan emosi. Ia boleh dilakukan sama ada menggunakan pencahayaan asli seperti lampu di rumah atau 'flash' yang terdapat pada kamera digital.

Mod kamera

Kebanyakan kamera DSLR di pasaran memiliki ciri yang sama iaitu merakam senyuman dengan automatik sebaik pengguna menekan butang klik (semak ciri yang disediakan terlebih dahulu).

Fungsi terbabit membenarkan rakaman lebih menarik dan mengelak 'aksi' kurang manis pada gambar. Untuk menetapkan fungsi terbabit, pengguna boleh menjenguk ruangan tetapan atau butang khas yang disediakan bagi setiap produk kamera DSLR.

Malah, teknologi masa kini memerlukan setiap kamera DSLR mempunyai mod dalaman seperti 'gambar bayi', landskap, parti dan sebagainya yang boleh digunakan ketika suasana tertentu.

Sudut

Secara amnya, dunia hanya memiliki dua sudut iaitu menegak atau melintang namun pengguna tidak seharusnya dihadkan dengan kedua-duanya saja. Gunakan kreativiti dalam menentukan sudut yang berlainan dalam mempelbagaikan memori dirakam.

Sementara itu, sekiranya anda menggunakan kamera DSLR, it@Metro ingin memberi sedikit tip untuk mendapatkan rakaman menarik.

# Eksperimen foto anda dengan suntingan menggunakan perisian Photoshop.
# Padankan tekstur individu dengan latar belakang.
# Muatkan subjek dalam 'frame.' Contohnya gambar menerusi tingkap, kotak dan sebagainya.
# Tidak perlu terlalu mengikut komposisi.
# Gunakan teknik pendedahan lebihan atau kurang terhadap subjek.
# Rakam foto secara kandid bagi mendapatkan suasana emosi berlainan.
# Minta subjek 'pose' dengan gaya berlainan.
# Rakam ciri menarik pada subjek. Contohnya baju.
# Gunakan bayang-bayang dan reflek subjek.
# Eksperimen foto anda dengan fotografi makro.
# Kaburkan imej mengikut kesesuaian dan keunikan gambar.
# Eksperimen foto dengan lensa atau 'filter' berlainan.

Untuk permulaan, sekiranya anda mahu berjinak-jinak dengan kamera DSLR, pelajari butang yang terdapat direka menempatkan beberapa ciri seperti kelajuan shutter, apertur, dedahan, manual malah jangan lupa mengkaji mod automatik.

Ia mungkin berguna sekiranya anda mahu mendapatkan bacaan yang dicadangkan mengikut suasana tertentu.

Kamera DSLR memang memuaskan dan pelaburan yang berbaloi sekiranya anda betul-betul berminat, namun ilmu mengenainya harus dimuatkan terlebih dahulu dan bukan sekadar merakam foto diri sendiri.

Kalau setakat mahu merakam foto sendiri, lebih baik guna kamera telefon saja.

Source: Harian Metro Malaysia Online

LPPKN pandang serius trend lewat kahwin di kalangan wanita

Posted: 23 May 2011 10:41 AM PDT

KUCHING: Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) memandang serius isu sosial yang berkaitan dengan trend melewatkan perkahwinan, terutama di kalangan wanita berpendidikan tinggi.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Dr Anjli Doshi Gandhi berkata fenomena itu boleh membawa implikasi kepada institusi perkahwinan.

Beliau berkata data terkini menunjukkan 30 peratus wanita di antara umur 25 dan 29 tahun belum berkahwin berbanding 25 peratus untuk lelaki di antara umur 30 dan 34 tahun yang masih bujang.

"Kami memberi perhatian serius trend perkahwinan yang semakin di lewatkan, khasnya di kalangan wanita yang memberi alasan bahawa mereka tidak ada calon yang sesuai," katanya pada taklimat dan bual bicara Dasar Keluarga Negara (DKN) peringkat negeri Sarawak, yang di hadiri Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah di sini hari ini.

Beliau berkata bagi lelaki pula, keadaan kewangan yang belum stabil adalah antara faktor yang menyebabkan lelaki dalam lingkungan umur awal 30-an belum berkahwin.

Source: Harian Metro Malaysia Online

Pelita Minyak Tanah

Posted: 23 May 2011 10:14 AM PDT

By Idris Ismail Talu.

Lampu minyak tanah @ pelita minyak gas.

Pelita minyak tanah ini banyak digunakan terutamanya di rumah-rumah kampong di seluruh negara sehinggalah kerajaan mampu menyediakan kemudahan elektrik keseluruh negara.

Pelita ini digunakan untuk menerangkan kegelapan malam hampir di setiap rumah kampong kerana ketiadaan bekalan elektrik. Bahagian botol kaca di bahagian bawah pelita diisikan dengan minyak tanah. Seurat tali yang diperbuat dari tali guni atau tali jute. Malah ada yang menggunakan bahan kain kapas sebagai sumbunya. Sumbu inilah yang akan dinyalakan pada kadar yang bersesuaian untuk menerangi bahagian-bahagain rumah yang perlu diterangkan pada waktu malam.

Cermin tipis di bahagian atas pelita digunakan untuk mengelakkan api sumbu yang menyala dari terpadam bila ada angin yang bertiup. Ianya perlu dibersihkan kerana biasanya berjelaga selepas digunakan.

Kini pelita ini hanya disimpan sebagai simpanan antik atau pun sebagai lampu ganti bila bekalan elektrik terganggu.

Utusan Melayu 23 Mei 2011

Posted: 23 May 2011 03:28 AM PDT

Guru popular

Pelajar MRSM Hafaz al Quran.

Hormat terhadap guru.

Jangan pilih kasih.

Kerjaya guru.

Ihsan Utusan Malaysia Online.

Papan tanda beca usang di Melaka

Posted: 23 May 2011 02:32 AM PDT


MELAKA 22 Mei - Sebagai sebuah negeri pelancongan, beca merupakan satu pengangkutan yang popular di negeri ini baik di kalangan pelancong asing mahupun tempatan.

Justeru tidak hairanlah, jika beca di negeri ini dihias begitu menarik berbanding pengangkutan warisan itu di negeri-negeri lain seluruh negara.

Boleh dikatakan, setiap beca di Melaka akan dipasang dengan bunga-bungaan hiasan lengkap dengan lampu neon warna warni dan sistem audio untuk menghiburkan pelancong.

Namun, tinjauan Utusan Malaysia di sini hari ini mendapati, keadaan sebaliknya berlaku di semua papan tanda beca yang menyediakan maklumat khusus kepada pelancong tentang aduan dan harga menaiki beca yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Keadaan papan tanda itu yang berkarat dan lusuh sekali gus telah menjejaskan imej pelancongan negeri ini.

Pada papan tanda tersebut tertera gambar beca, harga tambang beca iaitu RM40 untuk satu jam dan nombor telefon Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), 06-2326411 sekiranya mempunyai sebarang aduan.

Bagaimanapun, imej gambar beca tersebut langsung tidak dapat dilihat dan tulisannya juga kabur menyebabkan ia sukar dibaca seolah-olah papan tanda itu sudah bertahun-tahun tidak diganti.

Ini terbukti apabila wartawan menghubungi sendiri nombor telefon tertera dan seorang kakitangan MBMB memberitahu harga pada papan tanda itu merupakan harga lama sejak tiga atau empat tahun lalu.

"Kalau encik hendak naik beca, kena runding sendiri dengan penarik beca sebab harga itu sudah tiga atau empat tahun lalu.

"Macam saya pun pernah satu malam naik dari Menara Taming Sari ke Jonker Walk perlu bayar RM30 dan ia tidak sampai satu jam," katanya menjawab panggilan itu.

Berdasarkan maklumat tersebut, jelas sekali papan tanda terbabit perlu segera ditukar bukan sahaja disebabkan keadaannya yang lusuh, lebih penting, untuk memberi panduan dan maklumat tepat kepada pelancong.

Jika tidak, apa gunanya jika MBMB yang telah menetapkan harga RM40 untuk satu jam, tapi tidak dipatuhi penarik baca sehingga akhirnya menyebabkan pelancong yang menjadi mangsa.

Sebelum ini, akhbar ini juga pernah menyiarkan kekecewaan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam apabila beliau menerima aduan daripada pelancong yang mendakwa mereka dikenakan bayaran RM420 bagi perkhidmatan beca dari Banda Hilir ke Kampung Morten.

Katanya, kadar bayaran biasa yang dikenakan pengusaha beca di negeri ini adalah antara RM10 hingga RM50 mengikut jarak perjalanan di sekitar Banda Hilir.

Source: Utusan Malaysia Online.

Didik dengan amanah, ikhlas - Tokoh Guru Melaka

Posted: 23 May 2011 02:24 AM PDT


JASIN 22 Mei - Tiga Tokoh Guru peringkat negeri, menasihatkan generasi guru hari ini mengamalkan peribadi mulia iaitu amanah dan ikhlas dalam mendidik anak-anak bangsa sekiranya mahu menjadi guru cemerlang.

Menurut Hamidah Baba, 63, pelajar yang meraih keputusan cemerlang dalam pelajaran mereka adalah hasil daripada didikan guru yang ikhlas memberi ilmu pengetahuan kepada anak-anak muridnya.

''Ilmu pengetahuan yang diberi oleh guru yang ikhlas mendidik ini juga mudah diterima pelajar malah segala usaha yang disumbangkan oleh guru seperti ini tidak akan menjadi sia-sia kerana jasanya akan sentiasa dikenang oleh masyarakat," katanya selepas ditemui pada majlis sambutan Hari Guru peringkat negeri yang dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di sini, semalam.

Hamidah anak kelahiran Kuala Sungai Baru, Alor Gajah dan memiliki pengalaman selama 32 tahun sebagai guru menerima kalung pingat, wang tunai RM3,000, sijil dan plak penghargaan sumbangan kerajaan negeri.

Selain Hamidah, turut diumumkan sebagai Tokoh Guru Melaka tahun ini ialah Ahmad Mohamad Said, 66 dan Ab. Rasid Yaakop, 61, masing-masing mengabdikan diri selama lebih 35 tahun dalam profesion perguruan.

Kata Hamidah, keikhlasan sepanjang berkhidmat sebagai guru telah merapatkan hubungannya dengan murid dan kakitangan sehingga mereka lebih selesa mengelar beliau sebagai ibu.

Bagi Ahmad yang kini memegang jawatan Pengarah Al-Hikmah Training dan Consultancy, sesiapa yang pernah bergelar guru tidak akan mudah meninggalkan profesion tersebut walaupun sudah bersara dalam perkhidmatan.

''Walaupun sudah lama meninggalkan tugas mengajar, saya tetap tidak mahu berhenti dalam profesion ini kerana tugas mengajar amat seronok dan membahagiakan saya.

''Saya sendiri, walaupun sudah bersara menjadi guru, saya masih bekerja mendidik dan kini menjadi pensyarah di salah sebuah kolej swasta," katanya.

Bagi Ab. Rasid, yang menjadi guru Melayu pertama mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Yok Bin pada 1974, tugas sebagai guru amat berat kecuali kepada mereka yang mencintai profesion tersebut.

Katanya, tugas guru amat besar kerana ia memikul amanah daripada ibu bapa dan masyarakat yang mengharapkan murid yang dididik menjadi insan cemerlang.

''Oleh itu, guru perlu sentiasa ingat pada amanah itu, saya yakin, jika setiap guru mengingati amanah yang diberikan, mereka tidak akan sukar menyelamat profesion perguruan," katanya.

Source: Utusan Malaysia Online.

No comments:

Post a Comment

Informasi Anda..

Blog Pilihan