Johor Search

Custom Search

Followers

13 May 2011

IdrisTalu

IdrisTalu


VCD Minang

Posted: 12 May 2011 12:22 PM PDT

Kepada para peminat lagu-lagu Minang di Malaysia khususnya mereka yang berketurunan Minang, belilah VCD yang asli (original).








Kepada para penjual VCD pula, menjual VCD cetak rompak adalah suatu perbuatan yang jijik. Biasanya penjual dan dan pembeli VCD Minang ialah orang Minang sendiri, orang lain tidak membelinya. Sepatutnya kedua-duanya saling bantu-membantu perusahaan perniagaan orang Minang sendiri bukan sebaliknya.

Portal ADUN Melaka dilancar

Posted: 12 May 2011 11:58 AM PDT


MELAKA 12 Mei - Penduduk negeri ini boleh menyalurkan sebarang maklumat dan masalah yang dihadapi menerusi portal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing berkuat kuasa hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, menerusi portal tersebut, orang ramai juga boleh mengetahui sebarang maklumat dan aktiviti yang dijalankan wakil rakyat mereka.

Menurutnya, lebih penting, laman tersebut boleh digunakan oleh wakil rakyat untuk menangkis sebarang tohmahan dan laporan palsu yang disebarkan pembangkang.

''Dengan pelancaran portal ADUN ini, saya harap penduduk dapat menggunakan perkhidmatan terbaharu itu yang lebih efektif dan mendekatkan masyarakat kepada ADUN masing-masing.

''Secara tidak langsung membolehkan masyarakat berkomunikasi dengan ADUN di kawasan masing-masing sekiranya menghadapi kesukaran untuk bertemu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Latihan Penggunaan Portal ADUN di bangunan Inkubator K-Ekonomi di Ayer Keroh di sini hari ini.

Menurutnya, portal yang dilancarkan itu bertujuan untuk memperbaiki mutu penyampaian maklumat kerajaan sejajar dengan gagasan 1Malaysia.

''Saya juga harap semua wakil rakyat dapat memanfaatkan portal tersebut bagi membolehkan masyarakat berinteraksi dan mendapat maklumat terkini mengenai aktiviti semasa di DUN masing-masing," katanya.

Sehubungan itu, katanya, kakitangan Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) di setiap kawasan perlu memantau portal tersebut untuk memasukkan data, maklumat program, sisipan akhbar, memuat naik gambar-gambar dan mengurus maklum balas aduan daripada masyarakat.

Ujarnya, orang ramai boleh melayari laman web di http://adun.melaka.gov.my

Source: Utusan Malaysia Online.

13 Mei bawa mesej perpaduan

Posted: 12 May 2011 11:43 AM PDT

Oleh NIZAM YATIM, nizam.yatim@utusan.com.my

HARI ini genap 42 tahun peristiwa berdarah 13 Mei yang berlaku tiga hari selepas Pilihan Raya Umum 1969.

Tragedi itu diceritakan dengan panjang lebar oleh bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Aishah Ghani dalam bukunya bertajuk Memoir Seorang Pejuang.

Ia diceritakan daripada perspektif beliau sebagai penduduk Kampung Baru, Kuala Lumpur, antara kawasan utama berlaku rusuhan kaum yang menakutkan itu.

Yang cukup menarik, dalam memoirnya Aishah, 88, menceritakan semangat perpaduan yang ditunjukkan penduduk berbilang kaum dalam menghadapi situasi mencemaskan itu.

Menurut bekas Menteri Kebajikan Am itu, seorang setiausaha di ibu pejabat UMNO telah diselamatkan seorang penjaga kedai Cina di Chow Kit dengan disorokkan di celah gulungan kain apabila beberapa orang yang memegang kayu mahu memukul wanita itu, sehinggalah dia diselamatkan oleh askar pada lewat tengah malam.

Suasana ketika itu memang cukup menakutkan dan Aishah menceritakan bagaimana kumpulan yang dikaitkan dengan DAP telah mengadakan perarakan tanpa permit di kawasan majoriti Melayu di Jalan Hale (Jalan Raja Abdullah), Kampung Baru sambil mengeluarkan kata-kata kesat 'Melayu bodoh'. Terdapat juga samseng yang memukul dan menahan kereta yang dipandu orang Melayu.

Apa yang dilakukan kumpulan itu kemudiannya mencetuskan tindak balas daripada beratus-ratus pemuda Melayu. Tulis Aishah: ''Menjelang senja, rumah saya di Jalan Daud didatangi orang ramai yang mencari perlindungan. Saya masih teringat bagaimana seorang pemuda Cina lari lintang-pukang dengan tidak berkasut masuk ke rumah saya.

''Dalam masa kira-kira 10 minit selepas itu, keadaan semakin menakutkan kerana di hadapan rumah saya telah muncul beberapa orang yang tidak saya kenali dengan parang panjang di tangan, tidak memakai baju hanya berseluar panjang hitam. Mata liar bagai mencari sesuatu.

''Saya terus meminta pemuda Cina itu supaya jangan keluar rumah sehingga saya dapat menghubungi polis atau kenderaan askar yang boleh membawanya keluar dengan selamat.

''Dalam pada itu, saudara mara yang datang berkumpul di rumah saya telah membawa bersama-sama beberapa kanak-kanak Cina, mereka disuruh memakai baju kurung supaya tidak dikenali sesiapa. Salah seorang dipanggil dengan nama Minah sahaja."

Mengulas peristiwa itu, Presiden Hindu Sangam Malaysia, R.S. Mohan Shanmugam mengakui banyak iktibar yang boleh diperoleh daripada semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh rakyat ketika tragedi itu.

Bagaimanapun, katanya, semua pihak harus menghormati penegasan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun lalu bahawa tidak perlu tarikh itu diperingati secara besar-besaran.

Pelbagai pihak sebelum ini mencadangkan supaya Malaysia mencontohi Singapura yang memperingati rusuhan kaum pada 21 Julai 1964 sebagai Hari Keharmonian Kaum.

''Peristiwa hitam 13 Mei 1969 bukan sesuatu yang baik untuk negara kita dan ia mestilah dilupakan," ujar Mohan Shanmugam.

Tambah beliau, semua pihak harus bersyukur kerana semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh rakyat berbilang kaum ketika tragedi berkenaan masih lagi diamalkan di negara ini.

Dalam pada itu, Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Teo Kok Seong melahirkan kebimbangan semangat perpaduan yang ditunjukkan ketika tragedi itu, mula terhakis di kalangan generasi muda sekarang.

Katanya, semangat perpaduan itu semakin menipis kerana generasi muda tidak lagi mengambil inisiatif untuk kenal-mengenali budaya dan cara hidup rakan mereka daripada kaum lain.

''Saya berpandangan sudah sampai masanya kerajaan, syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan mengadakan lebih banyak program yang melibatkan percampuran generasi muda pelbagai kaum.

''Sekarang kita mempunyai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tetapi ia tidak memadai kerana bilangan yang terlibat sangat kecil, jadi program bagi menyemai perpaduan harus diperluaskan di peringkat sekolah, universiti dan lain-lain sektor," ujarnya.

Sementara itu, menghimbau kembali apa yang ditulis Aishah dalam memoirnya, beliau menjelaskan tragedi itu tidak akan berlaku sekiranya segelintir rakyat tidak terpengaruh dengan dakyah kumpulan tertentu yang terus menerus menentang apa jua yang berbau Melayu, lebih-lebih lagi konsep ketuanan Melayu.

Kumpulan itu yang tidak mahu berpijak kepada realiti sejarah telah menuntut diwujudkan sekolah, hospital dan universiti untuk orang Cina sahaja.

Satu kumpulan lain yang diterajui oleh DAP, Gerakan dan Parti Progresif Rakyat (PPP) pula memainkan sentimen orang Cina supaya melawan UMNO dengan berjanji untuk menghapuskan hak istimewa orang Melayu dan memperkenalkan penggunaan pelbagai bahasa seperti di Singapura jika menang pilihan raya.

Menurut Aishah lagi, peristiwa berdarah 13 Mei telah memperlihatkan bahawa sebahagian besar rakyat masih bersikap rasional.

Ia terbukti apabila pergaduhan kaum tidak merebak jauh dan boleh dikatakan hanya terbatas di kawasan Chow Kit dan Kampung Baru sahaja serta sedikit-sedikit melarat ke Ampang, Kampung Pandan, Datuk Keramat dan Hujung Pasir.

''Dalam suasana kacau begitu rupa, masih ramai pula anggota masyarakat yang tidak hilang perhitungan dan perikemanusiaannya. Saya sempat juga mendengar cerita-cerita bagaimana orang Melayu diselamatkan oleh orang Cina dan sebaliknya,'' tulisnya.

Menurut beliau, malam 13 Mei 1969 walaupun purnama mengambang indah, telah menjadi malam hitam yang meninggalkan seribu kenangan pahit untuk semua.

''Ia merupakan satu amaran besar kepada semua pihak supaya jangan lagi memarakkan api perkauman. Semoga ia akan menjadi satu pengajaran yang berguna kepada generasi akan datang," tulisnya lagi.

Source: Utusan Malaysia Online.

Sekatan Yang Dibuat Sendiri

Posted: 12 May 2011 10:59 AM PDT

By Idris Ismail Talu.

Pada suatu hari yang damai di pinggiran sebuah danau yang indah yang di penuhi dengan pelbagai jenis ikan air tawar, kelihatan seorang pemancing yang ditemani seorang anak jirannya, sedang tekun memancing.

Oleh kerana di dalam danau tersebut memang terdapat banyak ikan, banyak juga ikan-ikan yang memakan umpan si pemancing itu. Namun begitu, kanak-kanak yang menjadi teman si pemancing tersebut agak keheranan kerana sebahagian dari ikan yang dipancing itu dilepaskan semula ke dalam tasik tersebut.


Kanak-kanak itu pun bertanya, "Maafkan saya bertanya, kenapa pakcik lepaskan sebahagian dari ikan-ikan besar yang pakcik dapat itu?"

Maka, si pemancing itu pun menjawablah, "Ikan yang pakcik lepaskan itu lebih besar dari ukuran periuk pakcik! Kalau pakcik nak memasaknya di dalam periuk itu, tidak muat kerana periuk pakcik cuma lapan inci saja ukurannya!"

"Sebab itulah pakcik lepaskan semula ikan-ikan yang lebih besar dari periuk pakcik," tambah pemancing itu lagi.


Begitulah pemikiran sebahagian dari kita, meletakkan ukuran, had, syarat-syarat dan sekatan-sekatan tertentu dalam kehidupan mereka. Contohnya untuk menderma kepada fakir miskin di Kemboja, perlu sekian-sekian jumlahnya, atau kalau hendak sedekah songkok, songkoknya mesti hitam warnanya, dan sebagainya.

Kenapa kita adakan syarat-syarat dungu seperti itu? Sepatutnya seberapa banyak orang hendak bersedekah, kita terima sahajalah, ini tidak, kita kenakan syarat-syarat pulak, mesti sebanyak ini, kalau tidak tak payah!

Begitu juga dengan hal-hal lain, seperti "Aku tidak mahu bekerja dengan syarikat milik kaum itu, kaum ini!" Ada juga yang tidak mahu bekerja dengan syarikat milik negara-negara tertentu.

Untuk menikmati kemajuan hakiki, setiap insan perlu bebas pemikirannya, tidak terbelenggu oleh sekatan-sekatan yang dibinanya sendiri.

Jangan berlembut terhadap Awang hitam

Posted: 12 May 2011 12:23 AM PDT

INSIDEN terbaru dua gadis yang dipaksa menjadi 'keldai dadah' oleh dua 'Awang hitam' yang juga pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di negara ini mendorong desakan dibuat agar kerajaan mengambil tindakan keras dan berkesan ke atas sindiket dadah yang memancing wanita tempatan sebagai mangsa.

Berapa ramai lagi anak-anak gadis dan wanita tempatan harus menjadi mangsa sindiket yang dianggotai warga Afrika?

Oleh kerana kebanyakan kes melibatkan suspek memasuki negara ini menggunakan pas pelajar asing dan berdaftar di kolej-kolej swasta maka pemantauan ke atas warga asing terutama dari benua Afrika wajib dilakukan.

Penyalahgunaan visa pelajar harus dihentikan. Ketatkan pengeluaran visa dan syarat kelayakan untuk memasuki kolej di negara ini.

Jika kerajaan masih 'berlembut' terutama kepada warga Afrika yang kononnya mahu belajar di negara ini, kita mungkin akan terus tertipu dengan anggota sindiket jenayah.

Hari demi hari makin ramai warga asing di negara kita. Sekarang pelbagai cara dan kaedah untuk mereka memboloskan diri. Mereka menjadikan negara kita sebagai syurga untuk melakukan pelbagai jenayah.

Sekarang kita tidak tahu berapa ramai warga Afrika di negara ini. Tetapi daripada pemerhatian kasar, mereka kini ada di sekitar Lembah Klang. Mereka boleh dilihat di Kepong, Cheras, Kota Damansara, Puchong dan banyak tempat lagi.

Hakikatnya sejak kemasukan warga Afrika ke negara ini, mereka mendatangkan pelbagai masalah sosial selain meningkatkan kadar jenayah.

Masalah yang ditimbulkan mereka bukan sesuatu yang baru tetapi berlarutan sekian lama sehingga ramai anak gadis tempatan terlibat dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Penahanan beberapa wanita kita di negara luar kerana dijadikan keldai dadah patut mengingatkan mereka yang lain daripada terjebak.

Walaupun beberapa cubaan warga Afrika memperdayakan wanita Malaysia berjaya digagalkan oleh pihak berkuasa negara ini, tetapi itu bukan jaminan tidak berlaku lagi.

Ini kerana biarpun pihak polis sudah berkali-kali memberi peringatan tentang pihak tertentu terutama warga asing yang menawarkan hadiah, tawaran atau janji manis kepada gadis, namun masih ramai yang tidak ambil peduli akan nasihat itu.

Wanita tempatan terutama pelajar wanita harus sedar bahawa sindiket pengedaran dadah yang didalangi warga Afrika sudah lama dikesan memperalatkan mereka.

Sudah sampai masanya pihak berkuasa tunjuk tegas. Berkas mereka dan banteras habis-habisan untuk memastikan negara kita bersih daripada mereka yang tidak diperlukan di negara ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) tentu sedar akan fenomena ini. Oleh itu kita menggesa KDN menjalankan operasi pemutihan ke atas semua warga Afrika baik di kolej swasta ataupun yang tinggal di kawasan perumahan.

Langkah ini mungkin boleh menapis kehadiran warga Afrika yang tiada pekerjaan tetap dan memantau pengambilan pelajar warga Afrika bagi mengelak penyalahgunaan visa di kalangan mereka.

Source: Utusan Malaysia Online.

PERLU UNDI MELAYU UNTUK TAWAN PUTRAJAYA

Posted: 12 May 2011 12:35 AM PDT




AKHBAR China Press melalui ruangan perbincangan umum rakyat pada 8 Mei 2011 pula menceritakan tsunami politik yang sudah tidak hangat lagi. Dengan tajuk 'Realitinya Keadaan Politik Di Malaysia', penulis Goh Chee Chong berkongsi situasi politik selepas Mac 2008 yang telah berubah normal seperti sediakala buat masa ini, seperti berikut:

Model politik rasis di Malaysia pada dasarnya kekal tiada perubahan. Pada tsunami politik 2008, keadaan pada masa itu pada dasarnya semua kaum dalam keadaan sedang 'menentang' kerajaan kecuali kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Jika kita lihat dari segi keseluruhanya, undi orang Cina secara tradisinya berpihak kepada Pakatan Rakyat, undi kaum India juga berpihak kepada Pakatan Rakyat apabila timbul isu Hindraf tetapi hanya sedikit undi Melayu memihak Pakatan Rakyat. Undi Melayu memberi laluan pada BN terus kekal berkuasa di kerajaan Pusat.

Mengikut satu petikan laporan, undi Melayu telah banyak kembali kepada BN, undi kaum India oleh kerana pihak Hindraf dingin juga kembali pada BN, undi orang Cina masih kekal dan tetap menyokong pakatan pembangkang tetapi kini kelihatan mula goyang.

Mengikut keadaan sekarang ini, dijangka BN akan dapat habuan besar dari kawasan Melayu, terus kekal memerintah tanpa sebarang halangan dan dijangka dapat majoriti 2/3 di Parlimen.

Di kawasan pengundi Cina yang lebih ramai, mungkin BN akan kalah lebih teruk daripada 2008. SUPP alami keadaan itu, lambat-laun mungkin akan berlaku pada MCA dan parti Gerakan di Semenanjung.

Apabila sekutu-sekutu BN semua telah kecundang, keseluruhan BN akan terdiri daripada UMNO. Di situ akan berlaku satu keadaan orang Melayu memerintah dan orang Cina jadi pembangkang.

Di dalam dewan Parlimen mahupun di Dewan Undangan Negeri tidak nampak wakil-wakil parti Cina yang boleh mewakili kaum Cina kecuali dilantik dengan cara yang lain. Pada masa itu, apa yang akan berlaku pada masyarakat Cina, kita tunggu dan lihat apa yang akan dirasai oleh masyarakat Cina itu sendiri.

Pengundi Cina tidak mahu lihat berlakunya fenomena "orang Melayu memerintah dan orang Cina jadi pembangkang". Pengundi-pengundi Cina percaya dan tidak berganjak, satu hari nanti pakatan pembangkang akan dapat lepasi pemikiran yang dibelenggu dengan isu perkauman dan zahirkan semua orang 'sama rata' dalam masyarakat ini.

Kejayaan pakatan pembangkang merampas lima negeri pada PRU lepas memberi harapan pada orang Cina. Penulis anggap pada PRU akan datang, Perak dan Selangor menjadi satu ukuran terhadap keyakinan masyararakat Cina nanti. Jika kedua-dua negeri itu jatuh ke tangan BN, harapan masyarakat Cina mahu pakatan pembangkang melangkah ke Putrajaya pasti merudum.

Jika benar pakatan pembangkang berhasrat mahu melangkah ke Putrajaya, mereka perlu rampas pengundi Melayu dari tangan UMNO, tapi bagaimana? Yang dikhuatiri, bukan sahaja pakatan pembangkang tidak dapat ubah pemikiran orang Melayu, sebaliknya nanti mereka sendiri terikut-ikut pemikiran orang Melayu dan kembali semula kepada jalan lama UMNO.

Source: Utusan Malaysia Online.

Bahasa Melayu mampu jadi bahasa perantara antarabangsa

Posted: 12 May 2011 12:17 AM PDT

Minda Pengarang Akhbar Berita Harian Malaysia.
Tarikh siar:2011/05/12


ANTARA langkah boleh diambil untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memperluaskan penggunaannya ialah dengan memperkenalkannya pada peringkat antarabangsa. Ia selaras dengan usaha dilakukan negara Eropah dan Asia dengan menggunakan bahasa rasmi tuan rumah pada persidangan yang dianjurkan tanpa menjejaskan kelancaran majlis berkenaan. Sidang dianjurkan itu tetap berjalan seperti biasa tanpa sebarang masalah kerana wakil negara asing boleh menggunakan alat bantuan penterjemahan bagi mendengar mesej disampaikan negara tuan rumah.

Malah terdapat juga ucapan dasar pemimpin negara tertentu pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disampaikan menggunakan bahasa kebangsaan mereka, dan ia berlangsung dengan lancar tanpa mendapat bantahan atau menjejaskan perjalanan forum antarabangsa itu.

Menyedari hakikat itu, cadangan yang dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa acara peringkat antarabangsa dianjurkan di Malaysia mungkin dikendalikan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya bukan sesuatu yang janggal, malah ia selari dengan amalan negara lain sama ada di rantau ini mahupun rantau lain. Malah Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, menyampaikan ucapan dasar pada Sidang Kemuncak ASEAN di Jakarta baru-baru ini dalam bahasa Indonesia tanpa sebarang masalah, walaupun dihadiri pemimpin pelbagai negara.

Bahasa Indonesia dan bahasa Melayu yang digunakan di negara ini adalah antara bahasa yang difahami oleh sebahagian besar penduduk di Asia Tenggara atau ASEAN termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan beberapa negara serantau lain. Seperti negara lain, pelaksanaannya dijangka tidak mendatangkan masalah besar dengan syarat segala kemudahan dan keperluan logistik disediakan. Ini termasuk menyediakan penterjemah yang berkemahiran tinggi dalam bahasa asing yang sering digunakan pada peringkat antarabangsa meliputi bahasa Inggeris, Perancis, Arab, China, India dan Sepanyol.

Walaupun Malaysia adalah sebuah negara majmuk, bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan yang dipelajari sejak dari sekolah rendah lagi dan sudah semestinya ia mampu menjadi bahasa perantara rasmi pada majlis kerajaan dan swasta. Kita berharap cadangan yang dikemukakan Muhyiddin itu akan mula dilaksanakan oleh kementerian dan jabatan kerajaan serta agensi di bawahnya dengan segera agar menjadi contoh kepada sektor swasta ketika menganjurkan seminar, persidangan dan mesyuarat sama ada peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Selaras dengan dasar itu, adalah wajar menteri dan pegawai tinggi kerajaan mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan pada sidang media dan majlis rasmi yang dihadiri mereka bagi menyokong usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan kita.

Source: Berita Harian Malaysia Online.

No comments:

Post a Comment

Informasi Anda..

Blog Pilihan