Johor Search

Custom Search

Followers

12 May 2011

IdrisTalu

IdrisTalu


Perihal Bahasa dalam Al-Qur'an (Bahagian 1)

Posted: 11 May 2011 04:19 AM PDT


oleh Awang Sariyan


Islam sebagai agama yang syumul atau sempurna meliputi segala aspek kehidupan. Tiada aspek kehidupan yang tidak digarap oleh Islam. Maka itu, al-Qur'an sebagai kalam Allah memerikan segala aspek dunia dan akhirat, tidak terkecuali bahasa.

Pemerian bahasa dalam al-Qur'an berkaitan dengan hal-hal penting tentang bahasa sebagai salah satu kurniaan nikmat tertinggi daripada Allah kepada manusia. Secara kasarnya, pemerian itu berkaitan dengan dua hal utama. Yang pertama ialah yang berhubungan dengan hakikat bahasa (apakah bahasa, bilakah bahasa dikurniakan kepada manusia dan untuk apakah bahasa dikurniakan kepada manusia).

Persoalan untuk apakah atau mengapakah bahasa dikurniakan kepada manusia itu secara langsung berkaitan pula dengan perkara kedua, iaitu peranan bahasa dalam kehidupan manusia.

Tentang hakikat bahasa, beberapa ayat al-Qur'an memberikan penjelasan:

1. Tuhan yang maha pemurah yang mengajarkan Qur'an. Dia menciptakan manusia, mengajarnya pandai berbahasa. (al-Rahman: 1-4)

Huraian: Ayat ini dengan jelas menegaskan bahawa bahasa ialah kemahiran yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia. Penyataan itu didampingkan dengan penyataan Allah menciptakan manusia, dengan pemahaman bahawa penciptaan manusia oleh Allah disertai oleh pengurniaan bahasa. Hal ini mengisyaratkan pentingnya bahasa bagi manusia untuk memenuhi tujuan-tujuan dan keperluan-keperluan yang akan dijelaskan berdasarkan ayat-ayat Qur'an yang lain kelak. Bahasa sebagai salah satu kurniaan istimewa kepada manusia menjelaskan hakikat manusia sebagai "sebaik-baik ciptaan Allah", iaitu "Kujadikan manusia sebagai sebaik-baik kejadian" (al-Tin: 4).

Hakikat bahawa bahasa itu kurniaan Allah menolak pelbagai teori dan hipotesis linguistik Barat yang kebanyakannya mengaitkan bahasa sebagai sesuatu yang terhasil daripada proses pada diri manusia itu sebagai akibat sesuatu. Antaranya termasuklah bahasa sebagai hasil peniruan dan laungan semula jadi (sebagaimana yang dikemukakan oleh Rosseau) atau hasil teriakan-teriakan emosi yang kemudian dimurnikan (sebagaimana kata Condillac).

Demikian juga, hakikat bahawa bahasa merupakan kurniaan Allah menyangkal teori behaviourisme yang mengatakan bahawa bahasa terhasil daripada hasil proses rangsangan dan gerak balas yang melalui proses pelaziman akhirnya membentuk kebiasaan-kebiasaan berupa tingkah laku bahasa.

2. Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam daripada sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka seraya berfirman, "Bukankah Aku ini Tuhanmu?", mereka menjawab. "Benar kami bersaksi (bahawa Engkaulah Tuhan kami)." Kami lakukan yang demikian itu agar pada Kiamat kelak kamu tidak mengatakan, "Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang yang alpa tentang keesaan Tuhan. (al-A`raf: 172)

Huraian: Ayat ini menjelaskan hakikat bahawa kemampuan berbahasa telah dikurniakan oleh Allah ketika manusia di alam ruh lagi dan dijadikan perantaraan komunikasi antara Allah sebagai khaliq dengan manusia sebagai makhluk-Nya. Melalui bahasa, manusia telah membuat perjanjian atau kontrak dengan Allah, berkaitan dengan asas iman, iaitu pengakuan akan ketuhanan Allah. Potensi berbahasa di alam ruh itulah yang dikembangkan oleh manusia, dengan rahmat Allah, dalam bentuk bahasa di alam dunia, dengan pelbagai jenisnya menurut jenis bangsa manusia di muka bumi. Hakikat ini menolak hipotesis bahawa bahasa baru wujud pada manusia apabila manusia lahir ke dunia, iaitu sebagai hasil perkembangan fisiologi dan akal manusia. Meskipun benar bahawa bentuk bahasa dalam aspek sebutan, kata dan ayat berkembang pada diri manusia menurut perkembangan jasad dan usianya, namun perlu diakui bahawa perkembangan itu tidak akan berlaku jika potensinya tidak lebih dahulu dikurniakan oleh Allah ketika manusia di alam ruh.

Ayat itu secara langsung turut menjelaskan peranan bahasa sebagai alat untuk manusia memperoleh ilmu; dan ilmu yang paling asas dan penting ialah ilmu mengenal Allah. Melalui bahasa, iaitu dialog Allah dengan manusia ketika di alam ruh, manusia telah memperoleh ilmu pengenalan tentang ketuhanan Allah (selaras dengan hadith nabi "Awwaluddin ma`rifatullah", iaitu permulaan agama ialah mengenal Allah). Apabila dizahirkan di dunia, manusia dituntut mempertahankan pengenalan akan Allah itu melalui ikrar kalimah Syahadah dan melaksanakan kehidupannya dengan berdasarkan ketentuan dan hukum Allah. Ikrar Syahadah itu jugalah yang menjadi jaminan penempatan manusia di syurga kelak apabila hayatnya berakhir dengan kalimah tersebut (maksud hadith Nabi), dan di alam barzakh pun ikrar itu menjadi soalan pertama yang akan ditanyakan oleh malaikat Munkar dan Nakir.

Dengan menggunakan bahasa jugalah manusia dapat memperoleh ilmu dalam pelbagai bidang yang pada hakikatnya bersumber daripada Allah. Hal ini akan dihuraikan lebih lanjut dalam pembicaraan tentang peranan atau fungsi bahasa dalam kehidupan manusia.

[bersambung]
Disiarkan semula dengan izin penulisnya.

~Kembara Bahasa~
9 Mei 2011

Kampung Rawa Gopeng pada tahun 1886

Posted: 11 May 2011 03:41 AM PDT

By Idris Ismail Talu


Kampung Rawa di Gopeng dalam tahun 1886.
Foto ihsan Muzium Gopeng.

Buah Tunjuk Langit - Sky Fruit

Posted: 10 May 2011 11:13 PM PDT

By Idris Ismail Talu.








Malaysia Perlu Jaga Tenaga Mahir Tempatan

Posted: 10 May 2011 10:50 PM PDT

Oleh ROHAMI SHAFIE

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia

TERDAPAT
rakan-rakan penulis yang menyuarakan rasa tidak puas hati mereka apabila kerajaan memperkenalkan pelbagai insentif bagi menarik cerdik pandai Malaysia pulang ke tanah air. Antaranya seorang rakan penulis yang bekerja sebagai akauntan di sebuah bank yang terkemuka di negara kita.

Beliau berasakan kerajaan terlalu memberi perhatian kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara sedangkan terdapat begitu ramai tenaga mahir tempatan bekerja di negara kita.

Bagi menarik minat rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, kerajaan hanya mengenakan cukai pendapatan 15 peratus untuk tempoh lima tahun sedangkan tenaga mahir tempatan dikehendaki membayar 26 peratus daripada pendapatan mereka kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurut beliau, ramai rakan-rakannya sudah ber ura-ura untuk berhijrah ke luar negara termasuklah ketuanya seyang hanya menunggu masa untuk bekerja di Australia. Melihat fenomena ini, dikhuatiri hasrat kerajaan mengumpul sejumlah tenaga mahir rakyat Malaysia untuk bekerja di negara sendiri akan terbantut.

Banyak isu yang perlu dikaji bagi membolehkan Malaysia dipenuhi oleh tenaga mahir. Bagi negara-negara maju, peratusan pekerja mahir berbanding keseluruhan pekerja adalah dalam lingkungan 80 peratus. Jumlah ini amatlah tinggi berbanding negara kita yang mana peratusan pekerja mahir amatlah kecil sekali.

Talent Corporation sebagai institusi yang dipertanggungjawabkan menarik pekerja mahir Malaysia yang bekerja di luar negara agar pulang bekerja di Malaysia seharusnya menyenaraikan apakah yang dikatakan sebagai pekerja mahir.

Bagi penulis tidak semua yang bekerja di luar negara berkemahiran tinggi. Kecualilah kemahiran dan kepakaran mereka tidak boleh ditandingi oleh mana-mana pekerja mahir di Malaysia.

Sebagai contoh, terdapat seorang profesor perakaunan dan kewangan yang amat terkenal di dunia pulang ke Malaysia pada tahun lalu selepas bekerja berpuluh-puluh tahun di luar negara.

Beliau berjaya menerbitkan beratus-ratus kajian dalam jurnal-jurnal perakaunan dan kewangan. Ini baru dikatakan bukan calang-calang orang dan amat berbaloi menariknya pulang berkhidmat di negara sendiri.

Jadi, ciri-ciri apakah yang akan digunakan oleh Talent Corporation agar dapat membawa pulang tenaga mahir yang benar-benar hebat dari luar negara?

Jika tidak, lebih baik dana yang disediakan digunakan untuk memberi latihan kepada para pekerja mahir yang bekerja di Malaysia.

Begitu juga, sektor manakah yang sememangnya memerlukan pekerja berkemahiran tinggi? Ini juga perlu dikaji secara teliti agar sektor yang benar-benar memerlukan pekerja mahir mendapat bantuan yang sewajarnya selaras dengan Model Baru Ekonomi (MBE) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Justeru, masalah brain drain ini memerlukan mekanisme terbaik agar hasrat negara meramaikan tenaga mahir yang bekerja di negara sendiri tercapai. Janganlah sampai terlalu memberi perhatian tenaga mahir yang bekerja di luar negara sehinggakan menyebabkan tenaga mahir sedia ada dalam negara dipinggirkan.

Akhirnya, mereka yang berasakan diri mereka terpinggir dan tidak dihargai merajuk membawa diri untuk bekerja di luar negara.

Source: Utusan Malaysia Online.

Operasi roboh kampung Melayu di Hulu Selangor.

Posted: 10 May 2011 10:47 PM PDT

Oleh ROSLAH OTHMAN, kota@utusangroup.com.my

HULU SELANGOR 10 Mei - Ketenangan Kampung Sungai Kerandang, Kuala Kubu Baru, yang didakwa menjadi penempatan lebih 45 keluarga Melayu di sini berubah menjadi tegang hari ini berikutan tindakan kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Hutan Negeri Selangor melakukan kerja-kerja merobohkan kawasan penempatan mereka dengan alasan mereka telah menceroboh kawasan Hutan Simpan Bukit Tarek.

Bagaimanapun, percubaan Jabatan Hutan Negeri Selangor yang diketuai Penolong Pengarah Penguat Kuasanya, Mohd. Yussainy Md. Yusop bersama kira-kira 200 anggota penguat kuasa termasuk dari Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor untuk memasuki kawasan itu pada kira-kira pukul 9.15 pagi dihalang oleh penduduk yang berkumpul di persimpangan masuk ke kampung mereka, iaitu kira-kira 100 meter daripada laluan masuk ke kampung tersebut.

Turut bersama kira-kira hampir 40 penduduk yang masing-masing membawa sepanduk dan kain rentang ialah Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu, Wong Koon Mun.

Kamalanathan yang mewakili penduduk yang sudah tiba seawal pagi berusaha sebaik mungkin untuk mempertahankan perkampungan itu dengan meminta operasi merobohkan ditangguh kerana masih ada jalan penyelesaian terbaik dengan mengadakan perbincangan.

Melalui perbincangan menerusi telefon yang dibuat hampir setengah jam antara Kamalanathan dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Negeri, Elizabeth Wong, beliau memberitahu pihak kerajaan negeri tetap bertegas agar operasi diteruskan.

Bagaimanapun, Elizabeth memutuskan tindakan itu buat sementara ini tidak melibatkan penempatan, surau, balai raya dan kawasan tanaman penduduk sebaliknya jauh daripada kawasan tersebut.

Keputusan itu melegakan penduduk, tetapi hanya seketika. Dalam perbincangan selanjutnya dengan Mohd. Yussainy di balai raya kampung itu, keadaan kembali tegang kerana timbul isu mengenai kawasan mana yang patut dirobohkan.

Penduduk mendakwa jika operasi tersebut dijalankan ia tetap akan melibatkan kawasan kebun penduduk.

Jika operasi itu diteruskan bermakna masa depan dan mata pencarian mereka akan musnah, sekali gus membayangkan sifat kejam kerajaan negeri.

Dalam sesi perbincangan itu penduduk tetap mempertahankan hak mereka dan turut mempersoalkan status penukaran hak milik status rezab Melayu yang pernah ditawarkan oleh kerajaan negeri sebelum ini kepada mereka pada 2004.

Walaupun perbincangan berlangsung agak panas, akhirnya kira-kira 2.30 petang Mohd. Yussainy memutuskan operasi tetap diteruskan ke atas kira-kira 45 hektar daripada keseluruhan 354 hektar yang turut meliputi kawasan kebun penduduk.

Operasi yang berakhir kira-kira pukul 6 petang itu difahamkan akan disambung semula esok dan mengambil masa kira-kira dua minggu untuk diselesaikan.

Utusan Malaysia difahamkan, kebenaran menduduki sementara (TOL) yang dikeluarkan kepada penduduk di kawasan itu sebelum ini sebenarnya tidak sah kerana dari segi undang-undang tiada penerokaan dibenarkan dilakukan di dalam mana-mana kawasan hutan simpan.

Source: Utusan Malaysia Online.

No comments:

Post a Comment

Informasi Anda..

Blog Pilihan