Johor Search

Custom Search

Followers

07 May 2011

IdrisTalu

IdrisTalu


Malaysia negara yang amat berinovasi, kata Tun Mahathir

Posted: 06 May 2011 08:01 PM PDT

Tarikh siar: 2011/05/07


KUALA LUMPUR: Malaysia antara negara yang melaksanakan banyak inovasi bukan saja dalam politik malah dalam bidang saintifik, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Malaysia melakukan kaedah berbeza dengan negara lain, dan antara perkara yang ketara ialah semasa menangani krisis kewangan. "Kami mengambil keputusan sekiranya mengikut dasar Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), hasilnya kami mungkin muflis.

Ini adalah cara inovasi kami dalam menangani krisis kewangan," katanya semasa berucap pada majlis makan malam gala nobel Sweden Malaysia di sini malam tadi. Katanya, menerusi inovasi tersebut, negara boleh mencapai pembangunan serta membawa kebaikan dan manfaat kepada rakyatnya.

"Bagaimanapun, apabila kita memutuskan untuk membina Putrajaya, sudah tentu rakyat membidas orang yang menjadi Perdana Menteri ketika itu.


"Bayangkan jika kita tidak membina Putrajaya, masa perjalanan dari satu pejabat ke pejabat lain di Kuala Lumpur mungkin mengambil masa dua jam.

"Tetapi di Putrajaya, semua pejabat adalah bersebelahan saja," katanya.
Dr Mahathir berkata inovasi dalam teknologi juga membantu negara memupuk hubungan dengan negara lain.

Beliau yakin Malaysia mampu mewujudkan banyak industri pembuatan pada masa depan dan dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan kedudukan ekonomi negara.


Majlis jamuan malam itu adalah sebahagian daripada sambutan Hari Inovasi Sweden anjuran Kedutaan Sweden dan Majlis Perdagangan Sweden, dengan kerjasama Unit Inovasi Khas di bawah pejabat Perdana Menteri.

Acara itu bagi meraikan inovasi serta memupuk hubungan yang lebih akrab antara Sweden dan Malaysia.- BERNAMA.

Source: Berita Harian Malaysia Online.

Sultan Johor akan lancar pelepasan peserta GP Joran di Tanjung Leman

Posted: 06 May 2011 07:44 PM PDT

Tarikh siar: 2011/05/07



MERSING: Sultan Johor, Sultan Ibrahim akan melancarkan majlis pelepasan kategori laut dalam Karnival GP Joran 2011 di Jeti Tanjung Leman, di sini, pada kira-kira jam 11.30 pagi ini.

Kira-kira 880 peserta dijangka mengambil bahagian dalam kategori laut pertandingan berkenaan. Turut dijangka hadir menyaksikan majlis pelepasan itu ialah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Kamaruzzaman Abu Kassim, Pengarah Eksekutif Editorial NSTP, Datuk Ahmad A Talib dan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Mior Kamarul Shahid. Pertandingan GP Joran 2011 menyaksikan kemunculan sulung JCorp sebagai Penaja Eksklusif.

Selain TV3 sebagai penganjur bersama, GP Joran 2011 juga mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Johor, Jabatan Pelancongan Negeri Johor dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia serta PERODUA sebagai penaja utama.

Esok pula, kategori pantai pertandingan berkenaan akan diadakan di tempat yang sama.

Source: Berita Harian Malaysia Online.

Ajal selepas membantu murid lemas

Posted: 06 May 2011 06:34 PM PDT

Oleh Suraya Roslan dan Nor Aziah Othman
Source: Harian Metro Malaysia.



PORT DICKSON: Seorang lelaki menyelamatkan tiga mangsa lemas di Pantai 2 Telok Kemang, di sini, kelmarin, menemui ajal sejurus memberi bantuan pemulihan pernafasan (CPR) kepada seorang mangsa.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Zulkifly Hamzah, 43, rebah sebaik selesai memberi bantuan pernafasan kepada seorang budak lelaki berusia 10 tahun yang lemas ketika mandi di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh, berkata ketika kejadian, pantai berkenaan tiba-tiba dilanda air pasang menyebabkan tiga murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Telok Kemang lemas.

"Zulkifly yang kebetulan membantu ibunya berniaga di kawasan pantai mendengar tiga murid lelaki menjerit meminta tolong dan terus terjun ke laut bagi menyelamatkan mereka.

"Pengunjung lain yang menyedari kejadian itu turut berusaha menyelamatkan dua lagi mangsa," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, sejurus memberi CPR kepada seorang daripada murid berkenaan, Zulkifly rebah dan tidak sedarkan diri di situ.

Orang ramai yang melihat kejadian bergegas membawanya dan murid yang lemas itu ke Hospital Port Dickson (HPD), namun Zulkfily meninggal dunia dalam perjalanan ke HPD.

Sementara itu, seorang saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, ketika Zulkifly memberi bantuan CPR, murid lelaki itu masih tidak sedarkan diri.

"Ketika itulah dia (Zulkifly) memberitahu kami, budak itu sudah tiada, namun selang beberapa lama kemudian ketika dia memberi CPR sekali lagi, budak lelaki itu terjaga dan Zulkifly pula rebah tidak sedarkan diri," katanya.

Ibu Zulkifli, Nyapon Jantan, 63, berkata, anaknya itu berulang kali memberitahu bahawa dia akan pergi jauh.

"Namun, ketika itu saya tidak perasan sebarang perubahan dia kerana beranggapan dia mahu pergi jauh untuk bekerja. "Saya reda menerima berita kematiannya, namun saya tidak menyangka ia berlaku terlalu cepat sekali," katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian dia sempat membancuh segelas air teh dan minum petang bersama arwah.

"Dalam perbualan itu, arwah berkata dia akan pergi jauh untuk mencari kerja kerana Aildifitri bakal menjelma tidak lama lagi.

"Kemudian, anak saya dengar tiga budak lelaki terkapai-kapai menjerit meminta tolong di tengah laut lalu terus berlari ke pantai memberi bantuan kepada mereka.

Sepupu Zulkifly, Badiozaman Abu, 43, yang turut sama memberi bantuan kepada tiga budak lelaki itu melihat Zulkifly jatuh pengsan selepas itu.

"Saya terus mengangkat dan membawanya ke kereta untuk mendapat rawatan di HPD. Ketika diberitahu dia sudah meninggal dunia, lemah seluruh anggota badan," katanya.

Zulkifly meninggalkan seorang isteri, Norhayati Ahmad, 39, dan juga tiga anak, Ilyasa Zulkifli, 14, Idham Syah, 9, dan Izuwan Shah, 8.

Sementara itu, tiga murid sekolah itu selamat dan seorang daripada mereka kini mendapat rawatan di HPD.

Source: Harian Metro Malaysia Online.

No comments:

Post a Comment

Informasi Anda..

Blog Pilihan