IdrisTalu |
- Insaf di Phnom Penh
- UTeM tingkat usaha wujud teknologi inovasi
- Bila Di Pantai Penyabong Endau, awas babi hutan
- Dewan Bandaraya Ipoh
- Stesen Keretapi Ipoh Di waktu Malam
- Arab Saudi jadikan disiplin tinggi jemaah haji Malaysia kayu ukur
- Kerajaan tidak takut hadapi pandangan penulis blog: PM
- Tiada percanggahan mengenai tarian senaman poco-poco : Mufti Kelantan
- Mengimbau pentas Pak Samad dan Pak Rosihan
- Oh nasi lemak
Posted: 24 Apr 2011 10:02 AM PDT Laporan dan foto NORAINON OTHMAN, norainon@hmetro.com.my JIKA sebelum ini destinasi menarik dan bersejarah dijejaki, kembara di Kemboja sungguh menginsafkan dan membuatkan penulis merenung diri sendiri. Selepas melihat kedaifan saudara se-Islam di negara lain, timbul kesedaran dan rasa syukur tidak terhingga kerana dilahirkan di bumi Malaysia. Menelusuri jalan kampung dengan kiri kanan sawah padi yang kering kontang, kehadiran penulis ke Kampung Prikajiay dalam negeri Kampung Cham, Phnom Penh, Kemboja sememangnya mencorakkan seribu satu rasa. Sebaik pacuan empat roda dinaiki penulis mematikan enjin dan pintu kenderaan dibuka, kedengaran pengumuman dari pembesar suara surau. Serentak dengan itu, kumpulan anak kecil dan dewasa memenuhi ruang di bawah pokok asam jawa bagi menanti kehadiran kami. Jika di jalan utama, penulis disajikan dengan pemandangan rumah penduduk yang penulis kira daif, di Kampung Prikajiay, keadaannya lebih teruk lagi. Terasa bagaikan berada di era 1970-an apabila melihat tempat berteduh yang dikatakan rumah, sebenarnya tidak lebih sekadar pondok berdinding dan beratap daun palma kipas yang mudah didapati di tepi sawah. Tiada rumput hijau menutupi bumi, sebaliknya cuma tanah merah menjadi hamparan. Pohon besar yang menjadi tempat bernaung turut kering, manakala pohon renek hampir mati atau tidak berdaun. Musim kemarau sejak enam bulan lalu mengubah pemandangan perkampungan Islam yang dihuni 250 keluarga daripada hijau kepada rona suram. Bagaimanapun, walaupun cuaca panas, terik mentari tidak membahang, sebaliknya kami kekal dalam keadaan selesa kerana tidak berpeluh atau tubuh melekit. Sebagai pembuka bicara, kami dijamu teh herba dan sedikit latar belakang kampung. Guru agama kampung berkenaan, Mohd Smari Ismail, 56, fasih berbahasa Melayu. Loghat percakapannya seperti bahasa Melayu yang digunakan di Kuala Lumpur, Selangor atau Johor. Menurutnya, Prikajiay ialah kampung lama yang dibuka lebih 200 tahun lalu. Ia dihuni penduduk Islam Melayu Champa dari Vietnam yang melarikan diri ke Kemboja ketika peperangan. Kehidupan mereka jauh ketinggalan. Tiada barangan mewah, sebaliknya kehidupan mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Sukarnya mencari sesuap nasi dan lepas daripada kepompong kemiskinan kerana kebanyakan mereka tidak berpelajaran. Tanpa bekalan air bersih dan elektrik, penduduk menggunakan sumber bekalan air yang dipam dari bawah tanah manakala bagi yang berkemampuan, mereka yang mempunyai televisyen terpaksa menggunakan bateri sebagai sumber tenaga. Pekerjaan utama penduduk ialah mengerjakan sawah padi dan bercucuk tanam. Bagaimanapun, ketika kunjungan kami, padi sudah dituai manakala bendang kering kontang. Menurutnya, surau di kampung itu baru empat bulan siap dibina secara bergotong-royong. Ia mendapat bantuan kewangan daripada penderma Mesir yang disalurkan melalui pertubuhan kebajikan di Kemboja. Pihak pemerintah tidak mendirikan masjid atau surau kerana penduduk Islam ialah golongan minoriti. Kebanyakan penduduk Kemboja ialah penganut Buddha. Smari berkata, sumbangan diberikan penderma Mesir hanya mampu membuat bahagian dalam surau, manakala di bahagian luar surau masih berhutang. Penduduk berharap lebih banyak umat Islam tampil membantu. Impian penduduk ialah satu hari nanti mereka dapat mendirikan sekolah agama bagi kemudahan anak di kampung berkenaan serta kawasan sekitarnya. Menurutnya yang berpengalaman 30 tahun sebagai guru agama, di sini, imam dipanggil 'hakim'. Kampung Cham mempunyai 100 kampung dan 200 masjid. Tiada siapa yang mempunyai kereta, cuma basikal atau kereta kuda dan bagi yang sedikit berkemampuan, motosikal menjadi pengangkutan utama. Setakat ini, perkampungan itu kurang dijejaki orang Malaysia kerana ia terletak di pedalaman dan kurang dikenali. Program korban dan aqiqah setahun sekali yang dilakukan orang kita biasanya dijalankan di perkampungan Islam di seberang Sungai Mekong. Penduduk kampung membawa kami melawat dari rumah ke rumah. Kebanyakan rumah bertiang tinggi dengan di bahagian bawah untuk tempat berehat dan memasak. Kedai runcit yang menjadi tempat penduduk mendapatkan barangan tidak ubah seperti pondok tanpa dinding. Wajah penduduk Melayu Champa tidak jauh berbeza dengan orang Melayu kita. Dengan kulit sawo matang, jika mereka mahir berbahasa Melayu, sukar membezakan antara orang Melayu kita dengan Melayu di Kemboja. Bahasa pertuturan orang Kampung Cham ialah Bahasa Cham. Banyak sekolah di Kampung Cham menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Smari sendiri misalnya, menguasai Bahasa Melayu kerana belajar agama menggunakan kitab Melayu dan Arab. Jadi tidak hairan semakin ramai golongan muda mampu bercakap Bahasa Melayu dengan orang luar, terutama dari Malaysia dan Singapura. Penduduk, Ahmad Ali, 43, ramah menyapa kami. Menurutnya, dia pernah bekerja dan menetap di Malaysia selama empat tahun. Selepas bekerja sebagai buruh binaan mendirikan surau di Sungai Besi, dia pulang ke tanah air tiga tahun lalu. Rumahnya kini dalam pembinaan daripada kayu kepada batu-bata. Jarak Kampung Prikajiay dari Kampung Cham ialah 32 kilometer manakala dari Phom Penh sejauh 95 kilometer. Perjalanan dari Phom Penh ke kampung itu mengambil masa dua setengah jam. Keluar dari kampung itu, kami singgah di kedai makan Kampung Prey Sreay. Kami menikmati sajian enak ikan haruan bakar dengan ulaman, sup ayam kampung dan kacang panjang dengan hirisan daging batang pinang. Menantu pemilik kedai makan, Ahmad Sulaiman, 27, yang pernah bekerja kilang besi di Balakong, fasih berbahasa Melayu. Kata Ahmad yang baru mendirikan rumah tangga sebulan lalu, dia mampu menguasai Bahasa Melayu dalam tempoh enam bulan menetap di Malaysia. Menurutnya, Kemboja mempunyai 24 negeri dan di semua tempat ada penduduk beragama Islam. Di Kampung Cham, orang Islam banyak menetap di seberang Sungai Mekong, Kampung Chemnik. Penduduk belajar agama di masjid manakala kanak-kanak memulakan alam persekolahan pada usia empat tahun. Bagaimanapun, ramai anak muda berhenti sekerat jalan kerana kekangan kemiskinan. Untuk ke Phnom Penh, penulis dan suami menaiki bas dari Siem Reap dengan tambang AS$10 (RM30). Kami menempuh perjalanan enam jam sebelum bertemu pemandu pelancong kami, Bora yang menunggu di stesen bas Phnom Penh. Sepanjang perjalanan dari Siem Reap ke ibu negara Kemboja itu, kami disajikan pemandangan sawah padi terbentang. Kebanyakan lembu di Kemboja berwarna putih manakala di kawasan paya atau kolam, mudah didapati kawanan itik. Di sepanjang perjalanan, rumah penduduk berdinding dan beratap daun palma kipas menjadi santapan mata. Di depan setiap rumah kelihatan kolam dipenuhi pokok teratai mahupun itik berenang. Rumah bertiang tinggi dibina teratur dalam sebidang tanah gersang. Di belakang setiap rumah kelihatan petak sawah yang kering kontang diselangi pohon palma kipas. Penduduk lebih berkemampuan boleh dijangkakan dengan melihat pada tangga yang lebih cantik, rumah papan atau batu. Dua hari kami di Phnom Penh, tetapi pengalaman melihat kesusahan orang lain menginsafkan diri. Ketika menunggu bas bertolak dari perhentian bas Siem Reap, kelihatan ramai penjual roti menawarkan jualan mereka. Separuh perjalanan ke Phnom Penh, bas yang kami naiki singgah di Kampung Thom. Di tepi jalan, beberapa peniaga Kemboja menjual cengkerik goreng. Dulang berisi cengkerik goreng agak penuh dan ia dijual dengan sukatan menggunakan tin. Difahamkan, cengkerik dijadikan sebagai snek oleh orang Khmer. Ramai penumpang bas yang kami naiki ialah pelancong sama ada Mat Salih mahupun Melayu. Tidak risau berada di Kemboja kerana mudah terserempak dengan orang Malaysia. Bas yang kami naiki kerap membunyikan hon. Sepanjang perjalanan, hon dibunyikan ketika mahu memotong bagi memberitahu pemandu atau penunggang di depan atau dari arah bertentangan. Sebelum itu, kami singgah makan di restoran Malaysia dan Singapura Di Phom Penh. Menu disediakan dalam Bahasa Melayu, misalnya roti canai, roti telur, nasi lemak, nasi goreng dan nasi campur. Pekerja restoran berkulit mulus, bertanya penulis dalam Bahasa Melayu. Menurutnya, dia tahu berbahasa Melayu kerana di bersekolah aliran Melayu di kampung asalnya di Kampung Cham. Sepanjang perjalanan ke Phnom Penh juga kelihatan banyak pusat Islam. Di beberapa tempat, ada kilang batu bata. Batu merah yang berongga itu dibakar menggunakan kayu getah. Di tanah subur, kelihatan ladang kacang tanah. Di Phnom Penh, kami turut melawat muzium negara dan Killing Field, kawasan yang menjadi saksi pembunuhan kejam Pol Pot. Pada zaman pemerintahan rejim Khmer Rouge sekitar 1975, 20,000 penduduk Kemboja diseksa dan mayat mereka ditimbus dalam lubang cetek di kawasan yang asalnya jirat Cina. Selain itu, kami mengunjungi pasar malam di Phnom Penh menaiki tuk-tuk dengan bayaran AS$4 (RM12) bagi satu perjalanan. Source: Harian Metro Malaysia Online |
UTeM tingkat usaha wujud teknologi inovasi Posted: 24 Apr 2011 09:33 AM PDT MELAKA 5 April - Pelbagai usaha diambil oleh Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) untuk meningkatkan pencapaian dalam bidang penyelidikan selaras dengan statusnya sebagai institusi pengajian tinggi berasaskan bidang pengajian teknikal. Sesuai dengan status tersebut, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (CRIM) UTeM mengambil inisiatif menganjurkan dialog penerangan dan peluang pembiayaan dana yang ditawarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi membiayai penyelidikan oleh penyelidik UTeM. Dialog sehari dianjurkan bersama KPT itu bertujuan menerapkan budaya inovasi dalam kalangan tenaga pengajarnya ke arah usaha menjadikan universiti itu sebagai pelopor dalam penciptaan terbaru. Pengarah Bahagian Kecemerlangan Penyelidikan institusi pengajian tinggi (IPT), Prof. Dr. Ir. Mohd. Jailani Mohd. Nor berkata, penyelidik UTeM wajar merebut peluang dan bersaing dengan penyelidik dari universiti lain bagi meraih dana yang disediakan oleh KPT. ''Bagaimanapun, ingin kita tekankan bahawa penyelidikan yang dijalankan seharusnya bersifat fundamental dan selaras dengan keperluan negara pada masa kini," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada program penerangan kepada penyelidik UTeM yang turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM, Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi dan Pengarah CRIM, Dr. Azizah Shaaban. Menurutnya, penekanan kepada inovasi amat penting kerana ia merupakan satu konsep yang tulen dalam menghasilkan sesuatu produk. Kata beliau, walaupun ketika ini pelbagai usaha dan hasil inovasi kejuruteraan telah dihasilkan, namun UTeM perlu memberi penekanan berbeza agar produk yang dihasilkan itu menampakkan kegunaan terus kepada industri. Source: Utusan Malaysia Online. |
Bila Di Pantai Penyabong Endau, awas babi hutan Posted: 24 Apr 2011 09:13 AM PDT Oleh Ikhwan Muhammad , bhjb@bharian.com.my 2011/04/22 Imej Pantai Penyabong dicemari haiwan liar, ternakan lembu ENDAU: Pantai Penyabong adalah antara destinasi percutian yang terkenal di Mersing, yang sering menjadi tumpuan orang ramai untuk beriadah bersama keluarga serta rakan pada hujung minggu dan cuti umum. Namun, orang ramai yang menggunakan jalan raya untuk pergi ke pantai berkenaan perlu berhati-hati serta tidak memandu laju kerana bahaya yang boleh menimpa mereka secara tiba-tiba. Selain ternakan milik penduduk yang berkeliaran di kebanyakan lokasi sepanjang laluan berkenaan, kumpulan babi hutan juga sering melintas secara mengejut tanpa mengira waktu yang boleh mengundang kejadian tidak diingini, jika pemandu tidak berhati-hati. Pengunjung dari Batu Pahat, Sayuti Saliman, 42, berkata selain terpaksa mengelak najis lembu yang bertaburan atas jalan raya di laluan ke pantai berkenaan, pemandu juga perlu berhati-hati kerana babi hutan dan lembu sering melintas. Beliau yang sudah beberapa kali mengunjungi Pantai Penyabong, mengakui keindahan dan kemudahan chalet yang disediakan di kawasan itu memang menarik dan sesuai untuk dijadikan destinasi rekreasi bersama keluarga. "Saya suka ke sini, cuma perjalanan untuk sampai di sini agak terganggu akibat sikap tidak bertanggungjawab penternak yang membiarkan lembu berkeliaran dan tidur atas jalan raya, selain meninggalkan najisnya yang mengotorkan kenderaan. "Pernah sekali, ketika mengelak daripada terlanggar sekumpulan lembu, tiba-tiba babi hutan pula muncul secara tiba-tiba keluar dari belukar berhampiran, nasib baik tidak berlaku kemalangan," katanya. Tinjauan Edisi Johor ke pantai itu baru-baru ini mendapati masalah berkenaan lebih ketara pada waktu petang dan kelibat sekumpulan babi hutan melintas tanpa menghiraukan kenderaan turut sempat dirakamkan. Difahamkan beberapa kemalangan membabitkan penunggang motosikal dengan babi hutan berlaku di kawasan itu, selain kereta penduduk dan pengunjung dari luar juga pernah terbabit dalam kemalangan, namun setakat ini tiada membabitkan kehilangan nyawa. Justeru itu, bagi menjaga imej Pantai Penyabong serta mengurangkan risiko kemalangan, penduduk dan pengunjung berharap pemilik haiwan terutama lembu, mengurung ternakan mereka khususnya pada waktu malam. Pemilik kebun di kawasan berkenaan juga perlu sentiasa membersihkan semak-samun bagi mengurangkannya menjadi habitat babi hutan. Source: Berita Harian Malaysia Online. |
Posted: 24 Apr 2011 06:13 AM PDT |
Stesen Keretapi Ipoh Di waktu Malam Posted: 24 Apr 2011 06:10 AM PDT |
Arab Saudi jadikan disiplin tinggi jemaah haji Malaysia kayu ukur Posted: 24 Apr 2011 05:22 AM PDT Tarikh siar: 2011/04/24 ALOR SETAR: Disiplin tinggi jemaah haji Malaysia mendapat pujian kerajaan Arab Saudi sehingga dijadikan kayu pengukur disiplin jemaah dari seluruh dunia yang datang ke tanah suci untuk mengerjakan ibadah tersebut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Beliau berkata, sanjungan Arab Saudi terhadap jemaah Malaysia seharusnya dipupuk dan dipelihara sepanjang masa oleh setiap pihak yang berkaitan. "Oleh itu jemaah dan syarikat-syarikat pengendali pakej haji tidak harus mengambil kesempatan melanggar peraturan pada musim haji untuk kepentingan diri," katanya selepas merasmikan mesyuarat agung kali ke-34 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia cawangan Kedah di sini, hari ini. Beliau berkata, Arab Saudi memantau pergerakan jemaah dan setiap kesalahan yang dikesan akan ditegur dalam pertemuan dengan Menteri Haji negara itu setiap tahun, dan menurutnya beliau akan berlepas ke Arab Saudi pada 1 Mei ini untuk menemui Menteri Haji (Arab Saudi). "Apabila pulang nanti saya akan bermesyuarat dengan syarikat-syarikat pengendali haji serta Tabung Haji (TH) bagi menyampaikan teguran kerajaan Arab Saudi supaya mereka tidak melanggar peraturan walaupun didesak jemaah untuk memenuhi kepentingan mereka," tambahnya. Jamil berkata, antara pelanggaran peraturan yang kerap dikesan ialah tidak mengikut laluan yang ditetapkan kerana hendak mencari jalan senang selain tidak mematuhi jadual perjalanan terutama semasa kemuncak haji. Mengenai pendeposit Tabung Haji yang mencecah tujuh juta orang, beliau berkata, trend itu meningkat 10 peratus sejak 2007 hasil program Kelab Taha, yang menggalakan kanak-kanak menyimpan dalam Tabung Haji, bermula dengan hanya RM2. "Tabung Haji adalah antara agensi yang mengeluarkan dividen tertinggi, sebanyak 5.5 peratus. Jika dicampur dengan zakat 2.5 peratus, jumlahnya adalah lapan peratus. Bank pun tidak boleh bayar sebanyak ini," katanya. – BERNAMA. Source: Berita Harian Malaysia Online. |
Kerajaan tidak takut hadapi pandangan penulis blog: PM Posted: 24 Apr 2011 05:17 AM PDT Tarikh siar: 2011/04/24 KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah takut dengan kehadiran penulis blog, malah sebaliknya ingin menjadi sebahagian daripada mereka serta mengetahui pandangan mereka, termasuk yang bersifat membina, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. "Saya percaya hubungan ini akan menjadi hubungan penting yang berlandaskan sikap saling menghormati. Mungkin kita tidak boleh mempunyai pendapat yang serupa sepanjang masa, tapi kita tidak boleh bermusuhan. "Apa yang penting bagi kita ialah mengetengahkan pandangan anda (penulis blog), termasuklah pandangan yang bersifat membina dan dengan cara ini kita dapat sama-sama membina sebuah negara Malaysia dan masa depan yang lebih baik untuk kita," kata Najib dalam ucaptama beliau pada Persidangan Penulis-penulis Blog Rantau Malaysia-Asean Pertama di sini, hari ini. Turut hadir, penaung Blog House Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; presiden Blog House Malaysia, Syed Akbar Ali dan Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri. Najib berkata, era "kerajaan tahu semuanya" sudah berlalu dan kini kerajaan perlu mengetahui pandangan serta kritikan penulis blog yang mewakili masyarakat Malaysia. "Tapi, kita perlu wujudkan garis sempadannya; jika kita gunakan ruang siber untuk menyebarkan pembohongan dan hal-hal separuh benar, ia suatu perbuatan yang tidak betul. Saya bersetuju dengan Tun Dr Mahathir bahawa perlu ada garis sempadan yang tidak boleh kita langgar," kata beliau. Najib berkata, sekiranya penulis blog tidak melampaui garis yang ditetapkan, beliau percaya mereka boleh memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan yang lebih gemilang untuk Malaysia dan ASEAN. Kata beliau, kerajaan yang memerintah bukan saja dicabar oleh gerila dan tentera upahan yang dilengkapi pelbagai senjata canggih, tetapi juga oleh askar siber yang melancarkan peperangan virus melalui pengunaan papan kekunci dan pad kekunci serba canggih serta telefon pintar seperti yang dapat dilihat dalam perang "Twitter" di Iran dan Revolusi "Facebook" di Mesir. "Kita juga antara peminat Facebook paling tegar - terdpat 10.1 juta pengguna FB. Saya berani mengatakan bahawa Malaysia memiliki sfera blog paling meriah di dunia dan sememangnya yang cukup bebas, walaupun mungkin bukanlah yang paling bebas. "Sekali lagi, rakyat Malaysia perlu berterima kasih kepada Tun Dr Mahathir tentang hal ini. Ketika beliau menjadi Perdana Menteri dan Malaysia sedang membangunkan Koridor Raya Multimedianya, Tun berjanji kepada dunia, Malaysia tidak akan menapis kandungan Internet. Kerajaan pimpinan saya komited sepenuhnya terhadap pandangan bijak beliau itu; kami tidak akan memungkiri janji beliau," katanya. Najib berkata, beliau yakin Internet adalah enjin bagi pertumbuhan ekonomi serta portal yang menjadi hidangan untuk masyarakat berilmu. "Ini terpakai bagi semua masyarakat, malah kerajaan yang tidak begitu berminat dengan sisi demokrasi yang terdapat pada demokrasi digital pun boleh menggunakan bahagian digitalnya kerana implikasi ekonomi yang terdapat padanya terlalu besar untuk diketepikan. "Media sosial, blogging dan microblogging, mampu merapatkan hubungan antara negara kerana untuk julung kalinya dalam sejarah manusia, orang boleh berkomunikasi antara satu dengan lain secara tepat masa dan tanpa perlu menunggu berhari-hari atau berminggu-minggu untuk mendapatkan surat," katanya. Persidangan dua hari itu, yang bermula semalam dengan tema "Blogging Mindfully and Responsibly", dianjurkan Blog House Malaysia. Persatuan ini menyediakan platform yang memiliki mekanisme defensif bagi melindungi golongan penulis blog yang menghasilkan tulisan tentang Malaysia dan yang berpusat di Malaysia. Matlamat persidangan ini adalah untuk menghimpunkan penulis blog dari rantau Asean dan mengetengahkan kekangan yang mereka hadapi serta rintangan yang mungkin mereka alami dalam menangani pelbagai isu. – BERNAMA Source: Berita Harian Malaysia Online. |
Tiada percanggahan mengenai tarian senaman poco-poco : Mufti Kelantan Posted: 24 Apr 2011 05:13 AM PDT Tarikh siar: 2011/04/24 KOTA BHARU: Tiada percanggahan fatwa antara Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan yang membolehkan tarian poco-poco dengan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang mengharamkan tarian itu, kata Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad. Beliau berkata, umat Islam harus melihat kedua-dua keputusan itu dari skop yang lebih luas dan menyeluruh sebelum memberi pandangan masing-masing. "Saya tidak nampak ia wujud percanggahan pendapat berhubung isu itu jika penilaian dibuat secara menyeluruh dan mendalam dari sudut kepentingan kepada pengamal-pengamal senaman itu," katanya di sini, hari ini. Beliau diminta mengulas keputusan Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung isu itu yang memutuskan masyarakat Islam di Malaysia boleh terus mengamalkan tarian poco-poco selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam dan garis panduan Amalan Kebatinan Dalam Persembahan Kesenian Tradisional Masyarakat Melayu 2007. Mohamad Shukri berkata, isu itu tidak mengelirukan umat Islam jika mereka benar-benar memahami tentang konsep dan tujuan pengamalannya. "Mana-mana amalan boleh dilakukan umat Islam asalkan ia tidak bertentangan dengan agama Islam dan menyerupai agama lain, dan jika ia hanya melibatkan anggota fizikal untuk kesihatan," katanya. Beliau berkata, pembabitan seseorang dalam apa juga dan menyerupai agama lain dan bertantangan dengan ajaran Islam, adalah haram. "Tetapi dalam konteks tarian senaman poco-poco ini pada pandangan saya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam," katanya. Sebelum ini, timbul keraguan apabila tarian poco-poco yang banyak diamalkan masyarakat di negara ini diharamkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak. Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, berkata umat Islam boleh mengamalkan tarian atau senaman itu selagi mematuhi panduan termasuk etika berpakaian, tiada pergaulan bebas, mistik, ritual, kebatinan, tahyul dan khurafat yang boleh jejaskan akidah. Bagaimanapun, jawatankuasa itu menghormati keputusan Perak mengharamkan poco-poco di negeri itu Januari lalu. – BERNAMA Source: Berita Harian Malaysia Online. |
Mengimbau pentas Pak Samad dan Pak Rosihan Posted: 23 Apr 2011 09:50 PM PDT Tan Sri Mazlan Nordin SEORANG jurubicara bangsa Indonesia, Rosihan Anwar meninggal dunia baru-baru ini dan dengan itu menyertai sahabat karibnya dari Malaysia, Samad Ismail. Keduanya telahpun menerima Anugerah Tokoh Wartawan Melayu-Indonesia dari rakan-rakan seperjuangan pada bulan Januari 2008. Seorang dipanggil Pak Ros (10 Mei 1922 - 14 April 2011) dan seorang lagi Pak Samad. Setelah sepanjang hayat berkhidmat dalam dunia kewartawanan mereka menjadi pejuang bahasa, sasterawan, sejarawan dan budayawan. Satu contoh hubungan mereka ialah makalah khas dalam akhbar Kompas, Jakarta pada hari Sabtu 12 Ogos 1987 bertajuk Selamat Haji Samad. Antara catatan: "Haji Samad seorang wartawan terkemuka, cendekiawan dan fikiran kritis, nasionalis sejati, pejuang bangsa Malaysia dan kesusasteraan Melayu, penulis kreatif, pendiri beberapa perhimpunan pengarang dan parti politik. Di atas segala-galanya, beliau seorang Melayu yang perjuangan kompleksnya tidak dapat dilupakan dalam perkembangan intelektual negeri. Selain wartawan, dia juga sasterawan, banyak menulis cerita pendek (cerpen) di zaman pendudukan Jepun dalam majalah Semangat Asia (1943). Tahun 1950 ia salah seorang pendiri Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) yang salah satu tujuannya berbunyi "mengadakan pembaharuan dalam sastera dengan tidak membunuh yang lama". Samad sejak masa muda menjadi langganan penjara. Sehabis Perang Dunia Kedua, tahun 1945, dia dipenjara oleh Inggeris selama enam bulan kerana dituduh sebagai kolaborator Japang. Memang ia wartawan Berita Malai tahun 1943 tapi bukan anti Jepang. Pada tahun 1951-53, Samad ditahan lagi di penjara St John's Island bersama Devan Nair (tahun 1981 menjadi Presiden Republik Singapura). Tahun 1958 ia pindah ke Kuala Lumpur dan menjadi pemimpin redaksi Berita Harian dari kelompok Straits Times. Samad teman baik Adam Malik dan kerana itu pada pertengahan 1950-an, saya biasa melihat ia berjalan-jalan di depan kantor Antara di Jakarta. Saya bertemu lagi dengan Samad di Kuala Lumpur tahun 1967 dan waktu itu dia menawarkan kepada saya untuk menjadi koresponden Berita Harian. "Tulis apa saja Mad"? dan dia menjawab "Ya, tulis tentang bintang filem dan wayanglah". Membantu Jelas, dia mahu membantu saya kerana saya waktu itu wartawan bebas. Seperti juga pada tahun 1970, setelah saya kehilangan pedoman dia minta saya menjadi koresponden New Strats Times. Pada tanggal 22 Jun 1997, tidak lama setelah menghadiri sebuah konferensi para wartawan ASEAN di Jakarta, Samad menaging editor New Straits Times ditahan di bawah kuasa Internal Security Act dan mendekam lima tahun dalam penjara. Setelah Samad dibebas dari tahanan oleh pemerintah PM Datuk Mahathir, beliau diundang menjabat jawatan sebagai penasihat editorial kelompok New Straits Times. Dia juga aktif dalam persiapan mendirikan stesen televisyen TV3 yang ternyata siarannya mendapat sambutan bagus tidak saja di Malaysia, tetapi juga di Medan dan Sumatera Utara umumnya". Demikian sedutan dari makalah Rosihan mengenai Samad lebih 20 tahun lalu. Ia menjelaskan hubungan akrab antara dua wartawan ulung Malaysia dan Indonesia. Rosihan juga menulis buku berjudul "Sebelum Prahara Pergolakan Politik Indonesia 1961-1965, iaitu hingga berlaku peristiwa 30 September 1965 yang kemudian membawa kepada kejatuhan Parti Komunis Indonesia. Lalu disebut mengenai "wartawan melarat" dan "Pelacuran jurnalistik". Sebuah makalah lain di Indonesia menyebut mengenai tebar pesona (spreading out charm) dan perlunya tebar karya nyata. Juga perlu bagi para wartawan Malaysia dan Indonesia memelihara hubungan yang berasal satu rumpun dan tidak lagi tergigit lidah. Rosihan lahir di Kubang Nan Dua, Sumatera Barat dan peringkat pertama persekolahannya ialah di Padang. Beliau melanjutkan pelajaran di Yogyakarta. Menurut laporan Wikipedia, beliau mula bertugas sebagai pemberita akhbar Asia Raya dalam masa pemerintahan Jepun. Pada tahun 1947, beliau melancarkan majalah Siasat. Beliau juga melancarkan akhbar Pedoman sebagai editor, tetapi dua kali ditutup kemudiannya pada tahun 1961 oleh Presiden Sukarno dan pada tahun 1994 oleh pemerintahan Suharto, kerana menyiarkan kritik. Rosihan juga telah menulis pelbagai karya, antaranya ke Barat dari Rumah (1952), Dapat Panggilan Nabi Ibrahim (1959), Islam dan Anda (1962). Kisah-kisah Zaman Revolusi (1975), Profil Wartawan Indonesia (1977), Menulis dalam Air (1983). Pentas Pak Ros sungguh meriah. Demikian juga Pak Samad. Source: Mingguan Malaysia Online. |
Posted: 23 Apr 2011 09:24 PM PDT AWANG tidak setuju dengan langkah Kementerian Kesihatan mengehadkan pengambilan nasi lemak di kalangan pelajar sekolah melalui garis panduan yang akan dilaksanakan bulan depan. Biarlah nasi lemak dijual setiap hari di kantin sekolah. Pengambilan nasi lemak sebenarnya bukan masalah. Selama ini sudah berjuta-juta pelajar dan bekas pelajar makan nasi lemak di zaman persekolahan. Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia, Dr. Tee E Siong juga mengakui bahawa nasi lemak bukan punca utama masalah obesiti di kalangan pelajar. Jika mahu diambil kira, banyak lagi makanan dan juadah di sekolah yang mengandungi kalori tinggi. Roti canai, beraneka jenis mi, kuetiau, piza sejuk beku, burger dan pelbagai lagi. Itu belum menyentuh minuman yang manis seperti teh susu atau teh tarik, sirap dan minuman dalam tin. Kantin sekolah bukanlah punca utama obesiti. Sebenarnya ia lebih banyak ditentukan oleh tabiat pemakanan di luar sekolah terutama di rumah. Begitu juga dengan faktor gaya hidup seperti kurang senaman dan bersukan. Apa yang sepatutnya Kementerian Kesihatan tumpukan ialah kempen mendidik para pelajar mengamalkan diet yang sihat. Pendidikan mengenai khasiat pemakanan, adalah pendekatan lebih sesuai. Tetapi kempen harus lebih berkesan dan kontemporari, bukan lagi cara lama yang selalu dipaparkan. Menerusi pendekatan itu, kita boleh melahirkan pelajar yang bijak mengawal pemakanan mereka agar seimbang dan tidak memberi kesan buruk. Tahun lalu, Awang teruja dengan revolusi makanan (food revolution) yang diperkenalkan oleh chef selebriti, Jamie Oliver di Amerika Syarikat (AS). Beliau secara drastik berusaha mengubah gaya pemakanan menerusi satu gerakan di Amerika Syarikat (AS) yang mendapat perhatian ramai. Di beberapa tempat yang dikunjungi, beliau akan mencampakkan makanan sedia ada yang kurang berkhasiat ke dalam tong sampah sambil mencadangkan menu baru yang lebih sihat. Ramai terpinga-pinga dengan tindakannya itu. Tetapi di AS dan Eropah, senario dan realitinya jauh berbeza. Di Malaysia, masih ramai rakyat kita berada dalam taraf hidup yang sederhana dan rendah. Apatah lagi, jika masyarakat sudah sebati dengan sesuatu makanan. Pada Awang, kita belum berada pada tahap yang kritikal bagi menangani masalah kesihatan dan obesiti pelajar secara drastik. Masih banyak pilihan yang ada. Revolusi atau ala-ala revolusi, bukan caranya. Bisik-Bisik Mingguan Awang Selamat Source: Mingguan Malaysia Online. |
You are subscribed to email updates from IdrisTalu To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
No comments:
Post a Comment
Informasi Anda..