News @ Feryco |
Cetek ilmu punca pertikai larangan rai Hari Kekasih Posted: 12 Feb 2011 11:44 PM PST Pengharaman sambutan supaya Islam ada identiti tersendiri, berbeza dengan umat lain MENZAHIRKAN kasih sayang kepada kekasih perlu ada batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang antara dua jantina berbeza tidak boleh hanya dengan janji manis di bibir tetapi perlu diikat akad yang kukuh bagi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi. Ikatan perkahwinan bukan bertujuan menyusahkan hubungan sesama manusia kerana matlamatnya menjadikan masyarakat stabil, aman dan harmoni. Keindahan menzahirkan kasih sayang itulah dianjurkan Islam dan disemai setiap hari tanpa perlu menunggu satu hari dalam setahun. Apatah lagi, jika jelas kesan daripada sambutan itu menjurus kepada perkara tidak baik apabila ada pihak melakukan perbuatan menyalahi syarak semata-mata untuk membuktikan apa yang dikatakan 'kasih sayang'. Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata amat menyedihkan kerana wujud golongan yang tertekan apabila pihak berkuasa melarang sambutan Hari Kekasih atau Hari Valentine. Katanya, disebabkan cetek maklumat dan ingin memprotes tanpa mendengar penjelasan mengenai perkara berkenaan menyebabkan peringatan supaya masyarakat Islam tidak meraikan sambutan itu ibarat mencurah air ke daun keladi. "Seperti yang dinyatakan Ibn Khaldun, kita ibarat masyarakat madani yang bergaul dengan semua orang dan mengimport budaya luar untuk diaplikasi dalam cara hidup kita. Perkara ini berlaku disebabkan cetek ilmu dan apabila diberi penjelasan, tak mahu dengar atau fahami. "Kesedihan ini meruntun hati kerana berbuih mulut menasihat tetapi tidak memberi kesan," katanya pada program Bicarawara dan Pelancaran Kempen Awasi Jerat Valentine's Day 2011 di Putrajaya. Hadir sama pada seminar bertujuan menyedarkan umat Islam hakikat sebenar Hari Valentine yang memang jauh daripada ajaran serta budaya Islam ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM, Saimah Mokhtar. Wan Mohamad berkata, Hari Valentine tidak boleh disamakan dengan hari sambutan diraikan secara sejagat seperti Hari Ibu, Hari Bapa atau Hari Kanak-Kanak Sedunia kerana ia tidak dikaitkan dengan peristiwa khusus dan pengaruh agama. Oleh itu katanya, niat tidak menghalalkan cara dan demi menjaga akidah umat Islam adalah lebih baik jika tarikh 14 Februari dinafikan sebagai sambutan Hari Kekasih dan diganti konsep kasih sayang sepanjang masa yang dianjurkan Islam. "Mungkin ada kata mereka tidak berniat meraikan Valentine tetapi persoalannya kenapa perlu memilih 14 Februari. Oleh itu, niat tidak menghalalkan cara. Kenapa tidak pilih 31 Ogos atau hari lain? "Inilah yang ingin kita fahamkan masyarakat terutama remaja kerana untuk menunjukkan kasih sayang tidak perlu hari khusus, pilihlah hari lain untuk tunjukkan kasih sayang tetapi bukan 14 Februari, jika benar mereka kata tiada niat terjebak dengan sambutan Hari Valentine," katanya. Katanya, usaha JAKIM memberi pengetahuan, kesedaran serta bimbingan supaya masyarakat tidak terbabit dengan keghairahan menyambut Hari Valentine mungkin tidak mampu menghalang sambutannya, tetapi perjuangan membersihkan amalan bukan Islami perlu diteruskan. Beliau berkata, amalan dan kebiasaan di sebalik pemberian hadiah atau kata-kata pada Hari Valentine mampu menghancurkan akidah Islam yang suci kerana setiap perbuatan mempunyai simbolik serta tersirat sejuta cerita bercanggah dengan pegangan agama dan adat. Pengharaman serta larangan bukan kerana ingin menghalang keseronokan atau dengki dengan trend zaman moden tetapi berlandaskan apa yang dinyatakan dalam al-Quran dan sunnah yang menjadi panduan umat manusia bagi mengecapi keindahan hidup di dunia dan akhirat. Islam sangat prihatin serta menginginkan umatnya mempunyai identiti tersendiri dan berbeza dengan umat lain. Penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak tidak boleh mencampur aduk akidah serta amalan ibadat agama lain. Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat dan secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku." (Surah al-Kafirun, ayat 1-6) Hukum Islam jelas melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa mengamalkan perkara yang bukan daripada amalan kami, maka ia akan ditolak." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim) |
Sejarah dan hukum sambut Maulidurrasul s.a.w Posted: 12 Feb 2011 11:40 PM PST MAULID berasal dari perkataan Arab yang bermakna melahirkan terutamanya merujuk kepada kelahiran bayi. Namun dalam konteks hari ini ia dirujuk khusus kepada hari keputeraan Nabi Muhammad iaitu pada 12 Rabiulawal setiap tahun. Sejarah ringkas Sambutan Maulidur Rasul telah diasaskan oleh kerajaan Fatimiah di Mesir yang meraikannya secara besar-besaran. Mereka bukan sahaja meraikan hari keputeraan Rasulullah, tetapi juga yang membabitkan ahli keluarga baginda Zainab, Hassan, Hussain. Walau bagaimanapun, semua perayaan ini telah dihentikan pada tahun 488 H atas perintah Perdana Menteri, al-Afdal Shahindah yang berpegang kuat pada sunnah seperti tercatit di dalam buku Al-Kamel, karangan Ibnu Al-Atheer. Ia berhenti diraikan sehingga Al-Ma'moon Al-Bataa'ni memegang kuasa kerajaan. Apabila kerajaan al-Ayubbiyyah merampas kuasa, semua perayaan itu sekali lagi dihentikan. Namun begitu, masyarakat tetap merayakannya di kalangan keluarga mereka secara tertutup. Pada Abad ke-7, Putera Muzafar Al-Deen Abi Sa'd Kawakbri Ibn Zein Ed-Deen 'Ali- Ibn Tabakatikin telah mewartakan perayaan Maulid Nabi di Bandar Irbil. Muzafar yang merupakan seorang sunni mengambil berat akan perayaan Maulidur Rasul hingga memerintahkan persediaan seperti mendirikan khemah, menghias khemah dan pelbagai lagi dilaksanakan seawal dan sebaik mungkin. Setiap kali selepas solat Asar, Muzafar akan menyaksikan perayaan itu dalam khemah yang telah didirikan. Hujah membolehkan Maulidur Rasul Antara ulama yang menyokong Maulidur Rasul terutamanya Imam Jalaluddin Sayuti dan Sheikh Dr. Yusuf Al Qaradawi. Imam Jalaluddin Sayuti: "Ibadat macam itu adalah bidaah hasanah (bidaah baik) yang diberi pahala mengerjakannya kerana dalam amal ibadat itu terdapat suasana membesarkan Nabi, melahirkan kesukaan dan kegembiraan atas lahirnya Nabi Muhammad SAW yang mulia". Sheikh Dr. Yusuf al Qaradawi: "Semua telah sedia maklum bahawa sahabat-sahabat Rasulullah tidak merayakan hari kelahiran Rasulullah. "Ini kerana mereka telah menyaksikan secara langsung setiap gerak-geri Rasulullah dan seterusnya ingatan terhadap Rasulullah itu kekal di dalam hati dan juga ingatan. "Sa'd bin Abi Waqas mengatakan bahawa beliau begitu ghairah untuk menceritakan mengenai Rasulullah kepada kanak-kanak sama seperti mana keghairahan mereka mendidik anak-anak itu mengenai al-Quran. "Oleh kerana mereka sering menceritakan sejarah perjuangan Rasulullah, maka tidak perlulah merayakan seperti mana dirayakan Maulid Rasul kini. "Bagaimanapun, generasi terkemudian telah mula melupakan kegemilangan sejarah Islam dan kesannya. "Dengan itu, perayaan Maulid Rasul diadakan bertujuan mengingati sejarah Islam ketika Rasulullah masih hidup. Sebenarnya, meraikan hari kelahiran nabi bermakna meraikan hari kelahiran Islam. "Maka dibolehkan meraikan Maulid nabi ini dengan syarat tidak dicampur-adukkan dengan perkara-perkara bidaah. Tetapi sebaliknya diisi dengan ceramah yang menceritakan akan sejarah Islam". Antara dalil bagi yang membolehkan Maulid ini: 1) Allah berfirman yang bermaksud: Maka orang yang beriman kepadanya (Muhammad saw) memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (al-Quran) mereka itulah yang beruntung. (al-A'raf: 157) Keterangan: Tujuan maulud adalah untuk memuliakan Nabi Muhammad. Maka perayaan maulud masuk dalam umum ayat tersebut. 2) Firman Allah yang bermaksud: Dan ingatkanlah mereka dengan hari-hari Allah. (Ibrahim: 5) Keterangan: Al-Baihaqi di dalam Syakbu al-Iman daripada Ubai bin Kaab daripada Nabi SAW, sesungguhnya baginda menafsirkan 'hari-hari Allah' adalah hari-hari nikmat dan kurniaan Allah. Al-Alusi dalam Ruh al-Ma'ani menjelaskan lagi dengan katanya "kelahiran Nabi merupakan nikmat yang paling besar". 3) Bahawasanya Nabi Muhammad datang ke Madinah maka beliau mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura iaitu hari 10 Muharam, maka Nabi bertanya kepada orang yahudi itu: "Kenapa kamu berpuasa pada hari Asyura?" Jawab mereka: "Ini adalah hari peringatan, pada hari itu dikaramkan Firaun dan pada hari itu Musa dibebaskan, kami berpuasa kerana bersyukur kepada Tuhan". Maka Nabi berkata: "Kami lebih patut menghormati Musa berbanding kamu". (riwayat Bukhari dan Muslim) Ibnu Hajar Al-Asqalani pengarang Syarah Bukhari yang bernama Fathul Bari berkata, bahawa dari hadis itu dapat dipetik hukum: Umat Islam dibolehkan bahkan dianjur memperingati hari-hari bersejarah, hari-hari yang dianggap besar umpamanya hari-hari Maulud, Israk dan Mikraj dan lain-lain. - Nabi pun memperingati hari karamnya Firaun dan bebasnya Musa dengan melakukan puasa asyura sebagai bersyukur atas hapusnya yang batil dan tegaknya yang hak. |
You are subscribed to email updates from News @ Feryco To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
No comments:
Post a Comment
Informasi Anda..