Johor Search

Custom Search

Followers

03 February 2011

News @ Feryco

News @ Feryco


Pemimpin wajib lunas amanah rakyat

Posted: 01 Feb 2011 09:25 PM PST

TUGAS pemimpin politik bukan mudah kerana setiap amanah yang digalas adalah tanggungjawab perlu dilunaskan sebaik mungkin demi memastikan kebajikan rakyat terjamin. Dalam mencapai tujuan murni itu, semua tindakan diambil perlu dinilai sedalam mungkin berlandaskan prinsip menepati janji, bersikap jujur, adil dan saksama.

Peranan politik yang dimainkan pemimpin tidak terhad kepada tugas dalam negara kerana mereka turut dilihat pemimpin lain di peringkat antarabangsa dan apa juga tindakan dilakukan bakal memberi impak kepada kebajikan rakyat serta negara keseluruhannya.

Oleh itu, peranan pemimpin politik mengekalkan keharmonian dan kemajuan negara penting, lebih-lebih lagi dengan keadaan landskap politik tempatan yang bercorak heterogen (berbilang kaum, tradisi dan agama).

Corak politik antarabangsa yang begitu meluas turut mempunyai pengaruhnya tetapi Islam sudah menggariskan beberapa prinsip penting yang perlu diselusuri pemimpin politik untuk melaksanakan tugas sebagai penentu kebajikan rakyat diwakili.

Pemimpin wajib menepati setiap janji dimeterai baik secara lisan ataupun bertulis. Di peringkat tempatan, janji itu termasuklah ucapan sewaktu berkempen. Manifesto yang dicanang juga adalah jaminan diberikan kepada rakyat, maka seharusnya jaminan itu dikotakan sepenuhnya.

Hak rakyat tidak kira bangsa, agama atau kawasan perlu diberi perhatian. Allah berfirman yang bermaksud: "Kecuali orang musyrikin yang kamu mengadakan perjanjian (dengan mereka) dan mereka tidak mengurangi sesuatu pun (dari isi perjanjian) dan tidak (pula) mereka membantu seseorang yang memusuhi kamu, maka terhadap mereka itu penuhilah janjinya sampai batas waktunya. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertakwa." (Surah At-Taubah, ayat 4)

Janji yang ditebarkan perlu mengambil kira keperluan dan kehendak semua kaum. Dalam erti kata lain, pemimpin politik mesti bersikap adil dan saksama dalam menimbang tara keputusan politik yang hendak dibuat.

Firman Allah yang bermaksud: "Hai orang beriman, hendaklah kamu jadi orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Surah Al-Maa-idah, ayat

Di peringkat antarabangsa pula, janji termasuklah perjanjian ditandatangani ketua negara, baik secara dua hala, berbilang-hala dan perjanjian dalam negara kawasan seperti ASEAN, meliputi perjanjian perdagangan, takrif cukai, sekuriti, kerjasama ketenteraan atau perkongsian teknologi.

Demi memastikan situasi menang-menang, pemimpin perlu berhati-hati dan teliti sebelum memeterai mana-mana perjanjian dengan negara luar supaya kebajikan rakyat terjamin.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan jika kamu khuatir akan (terjadinya) pengkhianatan dari suatu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang khianat." (Surah Al-Anfaal, ayat 58)

Pemimpin politik wajib bercakap jujur terutama dalam perkara kritikal membabitkan kepercayaan rakyat kerana kredibiliti seseorang pemimpin bergantung pada kemampuannya meraih keyakinan rakyat.

Keyakinan rakyat dapat diraih melalui sifat kebolehpercayaan ditunjukkan pemimpin. Rakyat semestinya mahu meletakkan harapan mereka pada wakil rakyat yang jujur dan bercakap benar.

Oleh itu, pemimpin harus berhati-hati dalam setiap tutur kata bagi memastikan jaminan kejujuran hadir dalam setiap perkataan yang dilontarkan kepada umum.

Jika seseorang pemimpin itu bukan saja berjaya melaksanakan tugas menjaga kebajikan dan keselamatan rakyat, bahkan dapat menambat rasa kasih pemimpin di hati rakyat, maka balasannya adalah sangat tinggi dan setimpal di sisi Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Negeri akhirat itu, Kami jadikan untuk orang yang tidak ingin menyombong diri dan berbuat kerosakan di (muka) bumi. Dan (kesudahan yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa." (Surah Al-Qashash, ayat 83)

No comments:

Post a Comment

Informasi Anda..

Blog Pilihan