News @ Feryco |
Posted: 29 Jan 2011 11:37 PM PST SALAH satu sikap buruk yang ada pada manusia adalah mengumpat atau mengatakan perihal seseorang. Ada antara kita terutamanya golongan wanita cukup suka mengumpat. Setiap hari ada sahaja perkara yang mahu diumpatkan dan paling mereka suka apabila ia berkaitan dengan rumahtangga atau hal peribadi seseorang. Kalau yang diumpatkan itu musuh mereka maka semakin bersemangatlah mereka mengumpat sehingga akhirnya tanpa mereka menyedari mereka tergolong dalam golongan yang melakukan fitnah. Rasulullah SAW menjelaskan mengenai mengumpat seperti mana sabda baginda yang bermaksud: Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya. (riwayat Muslim) Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri. Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan. Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya di akhirat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat. (riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibban) Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua. Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri. (riwayat Abu Daud) Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala. Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud: "Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering". Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi. Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia. Maka, dia berkata kepada Allah: "Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya". Maka Allah menjawab: "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui". Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberi kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat kelak. Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya. Oleh itu perbanyakkanlah zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat. Justeru tinggalkan amalan buruk berkenaan. Janganlah kita melampaui batas apabila kita tidak menyukai seseorang sehingga kita sanggup memburuk-burukkkannya di belakang. Ingatlah setiap apa yang kita lakukan pasti ada pembalasan sama ada ia perbuatan baik atau sebaliknya. |
Posted: 29 Jan 2011 11:34 PM PST SURAH ini termasuk dalam surah Makkiyah, keseluruhan ayatnya berjumlah 21 ayat, dan turun selepas surah al-A'la. Hubungan surah dengan surah yang sebelumnya, iaitu pada surah terdahulu ada disebutkan tentang kebahagiaan orang yang mengotorkannya. Dalam surah ini pula Allah SWT sebutkan bentuk kebahagiaan yang akan diperolehi dan bentuk kecelakaan yang akan didapati. Jadi, surah ini seolah-olah huraian yang lebih terperinci daripada surah sebelumnya. Firman Allah SWT: Demi malam apabila ia menyelubungi segala-galanya (dengan gelap-gelitanya), dan siang apabila ia lahir terang-benderang, demi yang menciptakan (makhluk-makhluk-Nya) lelaki dan perempuan, (jantan dan betina). Ibn Kathir berkata, yakni jika menutupi makhluk dengan kegelapannya dan cahaya dengan sinarnya begitu juga demikian sama ciptaan manusia. Ketika sumpahan ini menggunakan hal yang bertentangan maka yang disumpah pun juga saling bertentangan. Syed Qutud dalam Fi Zilal al-Quran menyebut: Biar bagaimanapun percubaan yang dilakukan oleh para pengingkar dan para penyesat untuk menolak hakikat ini dan mengalihkan pandangan-pandangan manusia daripada mengamatinya, namun hati manusia tetap berhubung dengan alam buana ini. Mereka juga menerima saranan-saranannya, memerhati perubahan-perubahannya dan memahami secara spontan setelah berfikir dengan mendalam bahawa di sana ada satu kuasa pentadbir yang pasti dirasa dan diakui kewujudannya di sebalik pendapat-pendapat yang karut dan sikap yang menolak dan mengingkarinya. Begitu juga penciptaan jenis lelaki dan perempuan atau jantan dan betina. Penciptaan jenis pada manusia dan binatang-binatang mamalia itu bermula dengan setitis nutfah yang menetap dalam rahim atau dengan satu sel dari lelaki yang bersatu dengan sebiji telur perempuan. Tetapi mengapakah pada akhir perkembangannya tidak sama, yang ini menjadi lelaki dan yang itu menjadi perempuan. Siapakah yang memerintah begitu? Penemuan faktor-faktor yang menjadikan nutfah ini lelaki dan nutfah itu perempuan tidak mengubah hakikat, kerana yang menjadi pokok pertanyaan mengapa faktor-faktor itu wujud pada nutfah ini dan tidak wujud pada nutfah yang lain? Bagaimana kejadian lelaki dan perempuan (betina dan jantan) ini merupakan kejadian yang selaras dengan garis perjalanan hidup dan menjamin kesinambungan hidup melalui proses beranak-pinak sekali lagi? Adakah ini berlaku secara kebetulan? Tetapi kebetulan juga mempunyai undang-undangnya dan mustahil segala-galanya berlaku secara kebetulan. Mahu tidak mahu pasti diakui bahawa di sana ada Tuhan Pentadbir yang menciptakan lelaki dan perempuan kerana tujuan dan matlamat yang tertentu. Kebetulan dan kejadian secara automatik sama sekali tidak mempunyai tempat dalam peraturan alam ini. Penutup Ayat-ayat di atas dan ayat-ayat sebelumnya dapat juga difahami sebagai perintah untuk melakukan pelbagai aktiviti yang bermanfaat dan menghindari yang tidak bermanfaat, serta beramal sesuai dengan tuntutan Allah dan Rasul-Nya. Kemudian menyerahkan persoalan-persoalan ghaib, seperti balasan dan ganjaran kepada Allah SWT. Ini serupa dengan perintah untuk mencari rezeki yang dituntut dari kita adalah berusaha sekuat kemampuan, lalu menyerahkan hasil usaha itu kepada Allah SWT. Jangan sekali-kali mengadu nasib dalam memperolehi rezeki kerana perolehan rezeki serta kegagalan memperolehnya sering kali berkaitan dengan upaya anda. Syed Qutub berkata: Demikianlah berakhirnya bahagian pertama surah ini dan dari bahagian ini ternyatalah bahawa di sana terdapat dua jalan yang diikuti manusia di setiap zaman dan tempat. Kedua-dua jalan itu merupakan dua golongan atau dua panji yang berlainan walaupun bentuk dan warnanya beraneka ragam. Setiap orang yang berbuat untuk dirinya apa yang dipilih olehnya, sedangkan Allah akan memberi kemudahan kepadanya untuk menuju ke jalan pilihannya sama ada jalan kesenangan atau jalan kesukaran. Source: Utusan Malaysia Online |
You are subscribed to email updates from News @ Feryco To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
No comments:
Post a Comment
Informasi Anda..