News @ Feryco |
Pemegang amanah antara kewajipan dan tuntutan Posted: 12 Jan 2011 04:20 AM PST DEWASA ini ramai tahu mengenai jawatan pemegang amanah tetapi kurang faham peranan, fungsi dan tanggungjawabnya. Ramai berlumba-lumba merebut jawatan itu namun, adakah mereka mengetahui kewajipan perlu dipikul. Ini kerana melaksanakan amanah bukan perkara mudah dan adakala mereka yang memegang tanggungjawab itu berdepan pelbagai kesukaran untuk memenuhi kehendak diamanahkan. Malah, ada yang lupa untuk menunaikan amanah. Firman Allah yang bermaksud: "Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, ia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepadamu, dan ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan sedinar pun, ia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau selalu menuntutnya. Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang yang Ummi dan, mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta)." (Surah Ali-Imran, ayat 75) Minggu ini akan membincangkan dan menyelami tugas pemegang amanah yang mempunyai tanggungjawab serta kewajipan berat untuk melaksanakan tugas tugas diamanahkan. Tanggungjawab ini tidak boleh dipertikaikan seperti dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran. Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya). Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jugalah pahala yang besar." (Surah al-Anfal, ayat 27-28) Khianat membawa maksud yang besar dan kesan perlakuan ini memudaratkan dan boleh diklasifikasikan sebagai perbuatan jenayah. Khianat membawa maksud satu perbuatan jahat yang bertujuan menganiaya atau mendatangkan kecelakaan pada orang lain. Khususnya, orang yang berhak mewarisi harta atau wang diamanahkan si mati menurut wasiatnya. Perlakuan tipu daya, muslihat dan perbuatan belot atau tidak setia juga ada kaitan rapat dengan unsur khianat yang boleh menjatuhkan martabat dan maruah pemegang amanah. Peringatan Allah menggambarkan bahawa khianat adalah perkara keji dan dimurkai. Oleh itu, umat Islam perlu menjauhi perkara dilarang kerana memegang amanah adalah tanggungjawab mulia dengan ganjaran pahala hebat jika dilakukan secara ikhlas, amanah dan betul. Lazimnya, apabila seseorang, badan atau agensi menerima pelantikan sebagai pemegang amanah, secara tidak langsung menjadi tanggungjawab pemegang amanah untuk mengetahui peranan dan fungsi bakal dipikul. Ini kebiasaannya boleh diperoleh dari Surat Ikatan Amanah. Surat Ikatan Amanah penting supaya pelaksanaan amanah boleh dibuat dengan sempurna dan menepati kehendak pemberi amanah. Bukan itu saja, pemegang amanah perlu melindungi kepentingan aset penerima dalam bentuk harta alih dan harta tak alih. Pemegang amanah juga bertanggungjawab memastikan benefesiari tidak dizalimi dalam apa juga bentuk, fizikal, mental, rohani dan jasmani. Jika tidak berupaya memikul tanggungjawab, adalah lebih baik menyerahkan kepada orang atau badan yang benar-benar berkemampuan memenuhi amanah. Menjadi kewajipan pemegang amanah tidak menggunakan harta sepanjang tempoh tanggungjawab itu dan menyerahkan semua harta kepada pemilik yang sah. Penyerahan harta juga perlu dalam bentuk sempurna tanpa memudaratkan nilai atau bilangan harta itu. |
You are subscribed to email updates from News @ Feryco To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
No comments:
Post a Comment
Informasi Anda..