Johor Search

Custom Search

Followers

10 January 2011

News @ Feryco

News @ Feryco


Terlalu banyak ketawa lalaikan manusia kepada kematian

Posted: 08 Jan 2011 11:02 PM PST

SUKA dan duka menjadi asam garam kehidupan. Setiap insan sering dihadapkan dengan pelbagai keadaan hidup yang memerlukan tindakan mental dan fizikal tertentu.

Menangis dan hiba sering dikaitkan dengan kedukaan dan penderitaan, manakala ketawa selalunya menjadi manifestasi keriangan dan kepuasan yang tidak semua insan dapat merasainya.

Islam tidak pernah melarang umatnya untuk melahirkan rasa kegembiraan dan kepuasan hati mereka dengan ketawa. Namun, sebagai agama syumul dengan pelbagai adab dan disiplin, syariat tetap membataskan tahap ketawa yang dibenarkan.

Ia bagi mengelakkan orang Islam dipandang rendah martabatnya oleh bukan Islam. Menyingkap sirah Rasulullah SAW ketika hebat melancarkan misi dakwah melalui jihad perang selepas hijrah ke Madinah.

Allah menempelak sebahagian tentera munafik yang pada mulanya menyatakan persetujuan untuk bersama Baginda di medan peperangan. Bagaimanapun, mereka membatalkan janji dan persetujuan pada saat genting tentera Islam bakal bertarung dengan kekuatan tentera Musyrikin Quraisy dalam Perang Uhud.

Berikutan peristiwa itu, Allah berfirman yang bermaksud: "Oleh itu bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (pada akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka usahakan." – (Surah at-Taubah, ayat 82)

Jelas daripada mafhum ayat ini, Allah mengungkapkan sifat lazim kaum munafik selalunya suka mengamal tabiat ketawa berlebihan. Sedih, murung, riang, gembira dan ketawa adalah sentuhan naluri semula jadi, tetapi Islam tetap mengehadkan untuk mengelak berlaku dalam keadaan melampau.

Lantaran Islam menyediakan pilihan yang boleh diamalkan bagi mengelak kita daripada bertindak di luar batasan kemanusiaan apabila hati dan perasaan bertindak balas dengan apa yang dialami.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati." (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi)

Sewajarnya setiap insan mukmin segera menginsafi diri untuk tidak menjadikan ketawa sebagai perantara menzahirkan perasaan tersendiri dengan cara berlebihan. Perbuatan itu dibimbangi boleh membawa kepada beku dan matinya hati.

Saidina Umar al-Khattab pernah berkata, seseorang yang banyak ketawa nescaya akan kurang rasa takutnya kepada Allah. Apabila rasa takutnya berkurangan, maka akan kuranglah taatnya kepada Allah.

Ketawa yang sampai ke tahap berlebihan, maka ia lebih mengundang perkara negatif. Orang banyak ketawa lebih suka membiarkan masa berlalu tanpa diisi dengan sesuatu bermanfaat. Banyak ketawa juga boleh melupakan manusia daripada mengingati mati dan himpunan dosa yang menimbun dalam diri.

Apabila lupa kepada mati, manusia lupa membuat persiapan menuju ke alam abadi kerana terlalu leka dengan keindahan, kekayaan, keseronokan dan kegembiraan yang tidak lebih hanya bersifat sementara.

Justeru, bermuhasabah diri adalah jalan paling terbaik supaya tidak terlalu leka dengan keseronokan dan keriangan yang dinikmati di dunia. Kita juga diminta tidak mudah berpuas hati dan leka dengan pencapaian tersendiri dan akhirnya menjadikan ketawa sebagai teman kepada keseronokan.

Sekali lagi ditegaskan bahawa Islam tidak pernah melarang umatnya untuk ketawa, tetapi biarlah di atas landasan syariat yang sederhana. Kita tidak dapat mengelakkan sesuatu yang semula jadi tercipta.

Amalan buruk Gay, Lesbian hancurkan keturunan

Posted: 08 Jan 2011 11:01 PM PST

MUTAKHIR ini banyak dipaparkan mengenai gejala gay dan lesbian yang semakin berleluasa. Ada menganggap gejala ini tidak serius dan masih terkawal tetapi persoalannya wajarkah kita membiarkan ia merebak.

Umat Islam perlu memandang serius perkembangan ini kerana ada di kalangan mereka terbabit gejala yang dilaknat Allah. Kemodenan dan kecanggihan bukan alasan untuk kita mengorbankan jati diri sebagai umat Islam, sebaliknya perlu meningkatkan ketakwaan kepada Allah bagi menghadapi dunia serba mencabar.

Kelompok terbabit mencintai sesama jenis bukan saja merasa diri tidak bersalah malah ada antaranya bangga dengan 'kelebihan' yang kononnya mereka miliki. Perlu difahami, kecenderungan seseorang kepada homoseksual atau lesbian bukan takdir tetapi pilihan ditentukan sendiri. Justeru, mereka perlu bijak mengendalikan nafsu dan bukannya menjadi hamba kepada nafsu.

Mungkin ada antara mereka merasakan itu hak kebebasan sebagai manusia tetapi hakikatnya manusia tidak pernah diberi hak penuh untuk memuaskan segala keinginan hatinya.

Sebaliknya, hak manusia itu dibatasi hukum Islam yang ditetapkan dan tidak pernah berubah. Begitulah mereka yang terjebak dengan homoseksual dan lesbian, sebagai insan dilahirkan sebagai Islam, seharusnya mengerti perlakuan itu bertentangan dengan perintah Allah.

Firman Allah bermaksud: "Dan (Kami juga telah mengutus) Lut (kepada kaumnya). (Ingatlah) ketika dia berkata kepada kaumnya: Mengapa kamu mengerjakan perbuatan yang keji itu, yang belum pernah dikerjakan oleh seorang pun (di dunia ini) sebelummu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas. Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata, Usirlah mereka (Lut dan pengikutnya) dari bandarmu ini; sesungguhnya mereka adalah orang yang berpura-pura menyucikan diri. Kemudian Kami selamatkan dia dan keluarganya melainkan isterinya; dia termasuk orang yang dibinasakan. Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah bagaimana akibat orang yang melakukan kesalahan." (Surah Al-A'raaf: 80-84)

Perkataan keji dalam konteks ini bererti tindakan cabul, sodomi dan lesbian yang dilakukan kaum Lut.

Dosa besar dilakukan kaum Lut akan dihukum di akhirat kerana hukumannya lebih berat daripada azab dunia dan kehinaan di akhirat adalah lebih besar daripada kehinaan di dunia.

Ulama bersetuju berdasarkan al-Quran dan hadis, adanya larangan keras terhadap perbuatan homoseksual dan lesbian kerana kedua-dua tindakan itu pemusnah kepada institusi kekeluargaan serta ikatan pernikahan yang suci.

Justeru, mereka yang terjebak gejala ini perlu mengawal nafsu kerana manusia bukan haiwan yang dikawal oleh nafsu seks semata-mata. Manusia bertanggungjawab mengetahui bagaimana mereka dapat mengarahkan keinginannya yang juga suatu kepercayaan Allah diberikan kepada mereka, baik lelaki mahupun wanita.

Oleh itu, jika ada antara mereka menganggap apa dilakukan adalah satu kebebasan dan hak sebagai manusia, ia hakikatnya satu penyimpangan kepada sebuah kehidupan. Apatah lagi Islam sememangnya sudah menetapkan hukuman berat kepada yang melakukan perbuatan itu.

Allah berfirman bermaksud: "Dan (terhadap) wanita yang mengerjakan perbuatan keji, hendaklah ada empat orang saksi antara kamu (yang menyaksikannya).

Kemudian apabila mereka memberi kesaksian, maka kurunglah mereka (wanita itu) dalam rumah sampai mereka menemui ajalnya, atau sampai Allah memberi jalan lain kepadanya. Dan terhadap dua orang yang melakukan perbuatan keji antara kamu, maka berilah hukuman kepada kedua-duanya, kemudian jika kedua-duanya bertaubat dan memperbaiki diri, maka biarkanlah mereka. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang." (Surah An-Nisa: 15-16)

Ulama menyatakan ayat 15 itu adalah lesbian yang melakukan perilaku sesat dan ayat berikutnya merujuk homoseksual yang melakukan perbuatan mungkar.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Empat kelompok manusia yang bangun dari tidurnya di bawah kemarahan Allah dan pergi tidur di bawah ketidaksenangan Allah. Mereka yang mendengarkan perkataan Baginda bertanya: Siapa mereka ya Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab: Lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki, mereka yang melakukan hubungan seks dengan binatang dan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki."

Kita mengharapkan mereka terbabit perlakuan dimurkai Allah itu akan segera bertaubat dan kembali ke jalan yang benar, sesungguhnya Allah menerima taubat hamba-Nya kecuali bagi mereka yang syirik.

Tarikh Qiamat berpandukan al-Quran bukan teori manusia

Posted: 08 Jan 2011 11:01 PM PST

SALAH satu tanda orang yang beriman adalah percaya pada hari kiamat. Ini kerana beriman kepada hari kiamat adalah salah satu daripada rukun iman.

Namun, kira-kira dua tahun lalu, dunia dikejutkan dengan filem bertajuk 2012. Filem arahan Roland Emmerich itu mengambil idea daripada ramalan kaum Maya yang mendakwa kitaran besar dunia tempoh ini atau hari kiamat akan berakhir pada tahun depan iaitu pada tarikh 21 Disember 2012.

Malah, lama sebelum filem 2012 dihasilkan, dokumentari bertajuk End Day pernah diterbitkan oleh BBC pada tahun 2004. Dalam dokumentari ini, digambarkan empat peristiwa besar yang mungkin menyebabkan kiamat;

1) Mega tsunami yang disebabkan oleh gempa bumi dan juga hentaman asteroid.

2) Munculnya virus pembunuh yang kemudiannya menjadi wabak, sehingga membunuh jutaan penduduk dunia.

3) Supervolcano (letusan raksaksa gunung berapi) dari dasar Taman Negara Yellowstone, Amerika Syarikat (AS) yang menyebabkan benua Amerika Utara musnah sama sekali, dan

4) Kesalahan para saintis berkaitan dengan eksperimen bagi mengubah hukum-hukum fizik seperti nuklear.

Bezanya antara filem fiksyen 2012 dengan End Day adalah di dalam End Day tidak menyatakan tarikh kiamat akan berlaku. Manakala, dalam filem '2012? dinyatakan secara saintifik tarikh kiamat itu.

Sungguhpun ramai mengetahui dan mengakui bahawa filem 2012 itu hanya dongengan, ramalan bencana besar yang akan berlaku itu amat berbahaya kepada orang yang belum memiliki iman yang kuat kerana dibimbangi mereka akan terpedaya lantas mempercayainya. Ini sebenarnya bertentangan dengan akidah Muslim.

Kaum Muslimin sebenarnya memiliki dua pusaka yang besar iaitu al-Quran dan hadis Nabi Muhammad. Dua teks ini sudah cukup bagi melindungi fahaman umat Islam daripada pelbagai ramalan mengenai hari kiamat.

Hakikatnya, sebelum penayangan filem 2012 terdapat lebih kurang 26 ramalan tentang hari kiamat yang disebarkan oleh kumpulan pemuja hari kiamat, ahli astrologi dan para ilmuwan.

Ramalan-ramalan tidak benar ini telah bermula seawal tahun 1945 hinggalah 2003. Antaranya;

1. Charles, seorang paderi Kristian dari AS meramalkan kiamat iaitu bumi akan terbakar pada 21 September 1945, pukul 5.33 pagi

2. Charles Laugheda, seorang doktor dari AS meramalkan kiamat berupa banjir dan gempa bumi yang dahsyat akan terjadi pada 20 Disember 1954

3. Ada pihak pula pernah meramalkan kiamat akan terjadi pada 14 Julai 1960, pukul 1.45 petang disebabkan oleh ledakan bom bawah tanah milik Amerika. Lucunya, ekoran ramalan itu ada orang yang menghasilkan perahu.

4. Ahli astrologi India pula meramalkan kiamat akan terjadi pada 2 Februari 1962 iaitu antara pukul 12.05 tengah hari hingga 12.15 tengah hari.

Pelbagai contoh ramalan kiamat di atas jelas membuktikan manusia tidak mampu mengetahui tarikh hari kiamat secara tepat.

Hanya Allah sahaja yang mengetahui saat kiamat datang melanda. Bahkan Nabi Muhammad SAW sendiri tidak mengetahuinya. Baginda hanya diberitahu tentang tanda-tanda kiamat sahaja sebagaimana yang akan dikaji menerusi buku terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd. berjudul Armagedon 2012 Bencana Akhir Zaman.

Buku tulisan pensyarah di Universiti Brawijaya, Indonesia iaitu Wisnu Sasongko@Muhammad Alexander. Beliau yang kini dalam proses mendapatkan ijazah doktor falsafah (Ph.D) dalam bidang Sejarah dan Peradaban telah banyak menghasilkan kajian mengenai Yakjuj & Makjuj, Zulqarnain dan hari kiamat.

Antara buku bestseller beliau adalah Yakjuj & Makjuj: Bencana di Sebalik Gunung (2009) dan Alexander adalah Zulqarnain.

Armageddon: 2012 adalah nukilan hasil kajian berdasarkan fakta-fakta yang dirujukkan kepada penulisan ilmiah penulis-penulis lampau serta fakta-fakta yang terdapat di dalam al-Quran dan hadis.

Pendekatan penulis yang meletakkan fakta-fakta mengikut susunan yang yang kemas serta bukti-bukti yang kukuh, sekali gus menjadikan ia mudah difahami oleh pembaca daripada pelbagai lapisan.

No comments:

Post a Comment

Informasi Anda..

Blog Pilihan