Johor Search

Custom Search

Followers

18 December 2010

News @ Feryco

News @ Feryco


Amalan Soleh Sumber Kekuatan Peribadi

Posted: 17 Dec 2010 06:54 AM PST

DUNIA tanpa sempadan membenarkan kita menembusi setiap ceruk kehidupan manusia tanpa dapat dikawal undang-undang. Hanya peribadi salih boleh menghalang perbuatan maksiat kepada Allah seperti tidak amanah, tidak bertanggungjawab ataupun tidak menghormati hak orang lain.

Pembentukan dan pengembangan peribadi Muslim yang dikehendaki Allah dan disebut dalam al-Quran ialah sahsiah salih dari segi tutur kata dan perbuatan. Al-Quran menggariskan prinsip sama sejak mula diikuti oleh umat Islam.

Umat Islam perlu membina peribadi teguh dalam dunia tanpa sempadan ini. Jika tidak, mereka akan ketinggalan dalam soal agama, akhlak dan kepemimpinan. Ada bimbingan yang kita harapkan daripada orang yang arif dalam apa juga bidang.

Untuk membina personaliti Muslim dihormati ialah dengan akidah yang bersih. Muslim perlu mempunyai ikatan kuat dengan Allah supaya mereka percaya kepada qada dan qadar serta dunia selepas kiamat.

Muslim juga akan yakin dan cekal dengan ujian Allah jika mereka mempunyai akidah yang bersih serta bersedia menghadapi cabaran mendatang. Semua ini dapat dicapai melalui hubungan rapat dengan Allah melalui ibadat hakiki yang dilaksanakan.

Beza kehambaan kepada Pencipta bukan diukur dengan pakaian buruk dan jalan tunduk, tetapi keikhlasan beribadah serta tidak berbangga melakukan perbuatan baik atau mempunyai niat sebaliknya.

Peribadi salih termasuk juga kekuatan fizikal yang memungkinkan umat Islam menjalankan ibadah dan perintah Allah dengan sempurna tanpa bergantung kepada pertolongan orang. Kesihatan yang baik, memungkinkan umat Islam memenuhi amanah dengan baik.

Peribadi Muslim juga perlu kepada cara berfikir yang intelek. Antara sifat Rasulullah ialah cerdas dan tangkas membuat keputusan disebabkan keintelektualan Baginda yang tinggi. Jika direnungkan, setiap apa akan dilakukan, diperkatakan atau diam sekalipun, ia bermula dengan berfikir. Sebab itu individu Muslim cemerlang ialah yang bijaksana dan bertimbang rasa.

Firman Allah bermaksud: "Katakanlah: Samakah orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakal yang dapat menerima pelajaran."

Satu aspek lain tidak kurang pentingnya dalam membina peribadi seorang Islam ialah mesti berjuang memerangi hawa nafsu yang jahat. Sebagai manusia, kita mempunyai kecenderungan terjebak hasutan nafsu dan daya juang tinggi membolehkan kita melawan daripada melakukan maksiat.

Setiap Muslim juga perlu memastikan peribadi mereka terjaga dengan menepati masa dan tidak membazirkan masa. Allah banyak mengingatkan manusia supaya menjaga masa 24 jam yang diperuntukkan sehari semalam.

Muslim juga perlu berdisiplin dan profesional selain tekun, bijak berinteraksi, berintegriti dan amanah. Umat Islam sepatutnya menjadi contoh terbaik kepada bangsa lain kerana Islam adalah agama sempurna yang mendidik umatnya ke arah kebaikan.

Muslim harus mempunyai kuasa supaya peribadi mereka tidak terhalang oleh penafian atau doktrin kuasa lain yang membantutkan kegemilangan tamadun Islam dikecapi berabad lalu.

Akhirnya, setiap Muslim mesti memastikan dirinya bermanfaat kepada orang lain. Kebajikan, kebaikan dan amalan baik yang dilakukan perlulah saling dirasai oleh umat Islam lain khasnya atau seluruh manusia amnya.

Dunia ini akan gelap gelita jika tidak ada lagi umat Islam kerana umat Islam adalah bangsa yang terpilih dan sebab itulah Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain."

Wanita Beragama Jamin Kebahagiaan Rumah Tangga

Posted: 17 Dec 2010 06:50 AM PST

FIRMAN Allah bermaksud: "Dan kahwinkanlah orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu dan orang yang salih daripada hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka daripada limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Nur: 32).

Ibnu Kathir menegaskan, ayat itu mengandungi beberapa hukum yang jelas dan suruhan wajib ditaati. Ayat itu perintah supaya mengahwinkan sesiapa dalam kalangan umat Islam yang mampu dan bersedia.

Sebahagian ulama berpendapat, wajib kahwin bagi setiap yang mampu. Mereka mengambil dalil sabda Nabi bermaksud: "Wahai sekalian pemuda, barang siapa daripada kalangan kamu yang berkemampuan untuk berkahwin, maka hendaklah ia berkahwin. Sesungguhnya ia (perkahwinan) boleh menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Barang siapa yang tidak mampu, maka hendaklah ia berpuasa kerana ia (puasa itu) menjadi penawar baginya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Imam al-Qurtubi mentafsirkan perintah berkahwin termasuk dalam bab pengawalan kehormatan diri dan kebaikan maslahah ummah. Dengan kata lain, kahwinkan orang yang tiada pasangan dalam kalangan kamu kerana sesungguhnya ia adalah jalan menjaga kehormatan diri.

Kemudian ayat tadi menerangkan hukum mengenai hamba. Dikatakan juga bahawa makna ayat itu ialah hendaklah keinginan untuk mengahwinkan hamba itu mesti hamba yang baik, maka harus mengahwinkannya.

Rasulullah bersabda maksudnya: "Dinikahi seorang wanita kerana empat perkara iaitu harta, keturunan, rupa paras dan agamanya. Utamakan yang punya agama, kamu akan memperoleh keuntungan." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Rasulullah bersabda lagi maksudnya: "Bila anda didatangi oleh orang yang ada agama dan berakhlak baik, maka terimalah jangan dipersiakan nanti kamu ditimpa bencana dan malapetaka." (Hadis riwayat Tirmizi dan Ahmad)

Allah berfirman maksudnya: "Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui."

Imam al-Qurtubi mentafsirkan, ayat itu merujuk kepada orang yang merdeka. Maknanya, janganlah kamu halang daripada mengahwinkan mereka dengan sebab kemiskinan si lelaki atau perempuan. Ayat ini adalah janji Allah dengan kekayaan kepada orang berkahwin yang mencari keredaan Allah dan memelihara diri daripada maksiat.

Rasulullah bersabda maksudnya: "Tiga perkara yang setiap mereka itu adalah hak ke atas Allah menolongnya, iaitu orang yang berjuang pada jalan Allah, orang yang ingin berkahwin yang ingin memelihara kehormatan, dan hamba mukatab yang mahu merdeka." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Nabi Muhammad pernah mengahwinkan seorang perempuan yang datang kepada Baginda menyerahkan dirinya kepada seorang yang tidak berharta melainkan sehelai kain. Tidak lama selepas itu, perempuan tadi menuntut fasakh nikah kerana kemiskinan, kerana ia pernah atau biasa susah.

Adapun yang sering berlaku demikian (fasakh) ialah apabila seorang perempuan yang sebelumnya hidup senang, tiba-tiba hidup susah selepas berkahwin, kerana biasanya rasa lapar membuatkan orang itu tidak boleh bersabar.

An-Naqqaasy berkata, ayat ini menjadi hujah terhadap orang yang berkata: "Sesungguhnya kadi boleh memisahkan antara suami isteri jika suami itu miskin yang menyebabkan dia tidak mampu memberi nafkah kepada isterinya."

Ini adalah pendapat yang daif. Ayat ini bukan hukum pada orang yang tidak mampu memberi nafkah, tetapi ia adalah janji akan diberikan kekayaan bagi orang yang berkahwin orang miskin. Adapun orang yang kahwin orang senang, tetapi menjadi susah selepas daripada itu, maka boleh dipisahkan antara kedua-duanya.

Allah berfirman: "Jika keduanya bercerai, maka Allah akan memberi kecukupan kepada masing-masing dari limpah kurnia-Nya." (Surah An-Nisa: 130)

Pendidikan Seks Mesti Berteraskan Agama

Posted: 17 Dec 2010 06:44 AM PST

PENDIDIKAN adalah elemen penting dalam pembentukan jati diri dan keperibadian orang Islam. Keimanan tinggi terhasil daripada pendidikan bersepadu yang tidak dapat disanggah oleh sebarang anasir luaran.

Jika kita mengamati tempoh dilalui Rasulullah SAW semasa di Makkah, ia tertegak atas dua prinsip pendidikan yang mantap iaitu pendidikan akidah kepada keesaan Allah dan pendidikan ke arah pembersihan jiwa melalui nilai akhlak dan teladan yang tinggi.
Pengaruh akidah dalam pendidikan penting kerana apabila jiwa bersih itu mencapai puncak keimanan, ia akan menjadi kukuh bagai gunung-ganang yang tinggi seperti pendirian Rasulullah SAW sewaktu Baginda dikelilingi anasir jahat yang cuba memusnahkan agama Islam.

Pesanan tegas Rasulullah ini amat mendalam maknanya dan manifestasi kejituan akidah Baginda. Sabda Baginda yang maksudnya: "Demi Allah, jika mereka meletakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku, supaya aku meninggalkan agama ini, nescaya aku tidak akan meninggalkannya sehinggalah Allah memberi kemenangan atau aku binasa tanpanya."

Pendidikan pada zaman Rasulullah adalah bersepadu, disulam antara perkara duniawi dengan ukhrawi. Ia tidak memisahkan keduanya demi mencapai akidah yang sejahtera. Inilah pendekatan Rasulullah dalam mendidik sahabat Baginda yang kemudiannya membentuk generasi berteraskan al-Quran.

Syor Kementerian Pelajaran memperkenalkan pendidikan seks di sekolah mendapat reaksi pelbagai, ada yang menyokong dan tidak kurang membantah.

Terbaru, Persatuan Ulama Malaysia meminta diadakan penerangan mengenai sukatan pelajaran pendidikan di sekolah. Hal demikian mungkin terhasil kerana kekurangan maklumat mengenai syor kerajaan memperkenalkan pendidikan seks di sekolah.

Apatah lagi jika modul pendidikan seks yang diambil itu berdasarkan pendidikan seks di Barat kerana seks di sana sudah menjadi norma masyarakat sedangkan di Malaysia gaya hidup ketimuran masih dipertahankan.

Pendidikan seks yang dicadangkan seharusnya memberi penekanan aspek keagamaan dan ketimuran. Mungkin alternatif lebih baik ialah mentransformasi pendidikan agama di sekolah kepada objektif mengukuhkan akidah pelajar dan pada masa sama menerap nilai murni dan sahsiah diri.

Dengan kemantapan akidah, sudah pasti apapun ujian yang hadir akan dapat ditangkis. Kalimah tauhid yang menjadi pemangkin kepada akhlak mulia mempunyai pengaruh besar kepada keperibadian seseorang.

Berbalik kepada pendidikan seks di sekolah, saya berpandangan penting elemen kerohanian berteraskan agama Islam diberikan penekanan sepenuhnya. Metodologi pendidikan Islam harus ditransformasi bagi memberi peluang guru agama mengajar pendidikan seks mengikut acuan yang disediakan oleh agama.

Mewujudkan sesuatu mata pelajaran baru yang asing daripada subjek lain akan hanya menambah beban kepada guru dan murid.

Manakala memasukkan beberapa tajuk dalam mata pelajaran sedia ada dan memisahkan daripada agama, memberi isyarat kepada pelajar Islam bahawa melakukan seks adalah norma masyarakat Islam dan melakukannya tanpa pernikahan diterima oleh masyarakat.

Islam sudah menggariskan seks dengan terperinci. Pada saat seseorang itu mencapai umur baligh dan ditaklifkan dengan dosa serta pahala sudah diajar cara penyucian diri, kebersihan fizikal dan rohani.

Selain itu, pelajar juga perlu diingatkan mengenai tanggungjawab mereka untuk menggalas dosa dan pahala. Pertimbangan inilah yang perlu disemai kepada yang baru mencapai umur baligh dan menyediakan mereka ke alam kematangan.

Apabila pelajar ini matang, dengan berbekalkan akidah yang mantap, sudah pasti mereka tidak mudah terjebak ke lembah hina untuk melakukan seks di luar nikah ataupun lebih dahsyat lagi, terjerumus ke alam pelacuran.

Dalam apa juga keadaan, agama sama sekali tidak boleh dipinggirkan. Memperkenalkan suatu perkara baru yang begitu asing daripada adat dan susun atur masyarakat perlu dikaji. Agama aspek penting yang membentuk jati diri orang Islam.

No comments:

Post a Comment

Informasi Anda..

Blog Pilihan