Johor Search

Custom Search

Followers

16 December 2010

News @ Feryco

News @ Feryco


Judi Gadai Akidah, Jejas Keharmonian Masyarakat

Posted: 15 Dec 2010 02:18 AM PST

Pertaruhan, tikam ekor perlu dibanteras secara menyeluruh demi kesejahteraan ummah

BERJUDI adalah satu jalan singkat yang salah untuk mengejar kekayaan dan wang ringgit. Judi atau al-maisir ditafsirkan sebagai suatu bentuk permainan beradu nasib yang menggunakan wang atau harta benda sebagai taruhan dan pemenang pertaruhan akan mendapat hasil berlipat kali ganda.

Perjudian amnya dimainkan dalam pelbagai bentuk. Antaranya menggunakan dadu dan daun terup, tikam, loteri, pertaruhan permainan sukan, mesin slot atau nombor ekor. Lebih canggih lagi, mutakhir ini berjudi turut boleh dilaksana dengan mudah melalui internet.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan membuat tinjauan secara langsung berkenaan perangai keji tahi judi yang mengunjungi sebuah premis menjual nombor ramalan di kampung halaman dan melihat sendiri masih ramai umat Islam yang ghairah mengunjungi premis perjudian itu.

Walaupun tertera jelas di hadapan kaunter premis nombor ramalan peringatan bahawa 'Umat Islam adalah dilarang memasuki premis ini' dan pernyataan 'Berjudi adalah haram di sisi Islam', namun tidak diendahkan pengunjung beragama Islam ini.

Kira-kira sejam kajian itu, daripada 26 orang pengunjung, 12 daripadanya beragama Islam. Secara statistiknya, pengunjung kedai nombor ramalan yang beragama Islam dalam tempoh sejam ini hampir mencecah 50 peratus.

Lebih memilukan, sesetengah mereka yang kental mengunjungi premis perjudian ini boleh dikategorikan sebagai warga emas yang ada kala membawa bersama cucu mereka singgah untuk membeli nombor atau bertaruh tanpa ada perasaan malu dan segan.

Apabila berjudi, seseorang tidak perlu mengerah keringat dan tulang empat kerat. Bahkan modal yang diperlukan tidaklah besar. Bak kata orang, goyang kaki pun boleh dapat hasil lumayan. Inilah antara faktor yang menyemarakkan semangat kaki judi untuk terus terjebak dengan gejala buruk itu.

Apatah lagi, jika pernah sekali dua 'tuahnya terkena' dan menang sejumlah wang, bertambah galak dan bersemangatlah si kaki judi melaburkan wangnya ke premis judi kononnya untuk mengaut keuntungan lebih besar lagi.

Jika si kaki judi beranggapan judi adalah satu bentuk usaha untuk memperbaiki taraf kehidupan, mereka sememangnya silap kerana matlamat tidak akan sesekali menghalalkan cara. Demi mengejar sesuatu matlamat, kita sepatutnya berusaha bersungguh-sungguh, menggunakan saluran yang betul dan mengerah sepenuh akal fikiran dan tenaga.

Islam meletakkan keutamaan kepada pencarian rezeki dan nafkah hidup yang bersih lagi halal. Bukannya mencari jalan singkat mengumpul harta melalui judi yang hukumnya adalah haram daripada perspektif Islam.

Islam menegah umatnya daripada bergelumang dengan perjudian yang ternyata bersifat keji dan amalan warisan syaitan.

Firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?" (Surah al-Maidah: 90-91).

Dari segi akhlak, seseorang kaki judi akan menjadi lalai beramal ibadah, malas berusaha, tamak dan haloba, iri hati, dendam, khianat, suka berhutang, membazir, bercakap bohong dan berputus harap kepada Allah. Apabila penyakit berjudi semakin kronik membelenggu, kaki judi sanggup pula menggadaikan akidah dengan melakukan perbuatan syirik dan menyekutukan Allah seperti menilik nasib, memuja kubur, mendapatkan bantuan bomoh atau memakai azimat.

Buktinya seperti ditunjukkan seorang pengunjung kedai nombor ramalan yang kelihatan mencium-cium sebentuk batu yang dibuat rantai berkali-kali sebelum dan selepas memasuki premis perjudian sambil mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Perbuatan syirik seperti ini dimurkai Allah dan akan menerima balasan setimpal dengan perbuatan terkutuknya.

Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Allah SWT tidak mengampunkan dosa orang yang menyekutukan-Nya dan dia akan mengampunkan dosa selain itu bagi mereka yang dikehendaki-Nya." (Surah an-Nisa': 48)

Andai kata, seseorang meraih hasil daripada perjudian, ketahuilah ia adalah sumber yang haram dan tidak diberkati Allah. Maka kesan seterusnya yang terpaksa ditanggung akibat berjudi adalah ahli keluarga sendiri. Apabila rezeki haram disogok ke mulut isteri serta anak dan sebati menjadi darah daging mereka, tidak mustahil kesan negatif akan terserlah sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang.

Sebagai umat Islam yang bertanggungjawab, kita harus membendung gejala judi secara menyeluruh dalam kalangan masyarakat merentasi pelbagai umur. Mereka harus dibimbing dan dikawal dari usia muda untuk tidak berjinak dengan dunia perjudian serta sedar akan kesan buruknya.

Larangan Bermadu Kasih Sebelum Kahwin

Posted: 15 Dec 2010 01:58 AM PST

HARI BERSEJARAH…perkahwinan menyuburkan kasih sayang antara dua hati untuk mengembangkan zuriat di atas muka bumi Allah.

SIAPA sangka kita akan bertemu jodoh dengan seseorang yang sebelum ini tidak pernah dikenali.

Malah, dalam sekelip mata si dia sudah menjadi isteri kita.

Itulah dinamakan jodoh yang Allah s.w.t kurniakan kepada seseorang. Zaman datuk nenek moyang kita, kebanyakan menyerahkan kepada ibu bapa untuk memilih jodoh, tiada istilah bercinta atau mengurat.

Berbeza kini, zaman siber memberi pilihan kepada anak-anak memilih pasangan sendiri. Pasti setiap pasangan ada cerita menarik detik awal perkenalan sehingga diijab kabulkan.

Jika menuntut di menara gading, pastinya banyak kenangan manis bagi pasangan bertemu jodoh.

Ada yang bermula dengan meminjam nota pelajaran sehingga menerbitkan perasaan yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.

Ada sebahagian yang 'kuat' jodohnya sejak zaman persekolahan, walaupun banyak pilihan di kampus, si dia tetap menjadi pasangan ke jenjang pelamin.

Begitulah hebat tarikan kasih sayang antara lelaki dan wanita. Setiap pertemuan itu pastinya dari 'mukadimah' cinta iaitu mengurat.

Tetapi, apakah Islam membenarkan umatnya melakukan perbuatan mengurat?

Cinta itu sebagai permulaan (mukadimah) kepada perkahwinan. Tidak menjadi kesalahan mengurat jika ia membawa kepada kebaikan.

Contohnya, seorang lelaki mahu menyampaikan hasrat hatinya terhadap wanita yang dirasakan layak menjadi teman hidupnya, seni mengurat perlu ada.

Tetapi, dari sudut berbeza, mengurat mungkin membawa keburukan jika berlaku perkara yang bertentangan dengan agama iaitu perzinaan.

Akibat berzina amat buruk kerana melanggar hukum Allah. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu sangat keji dan jalan yang amat jahat". (Surah al-Israak ayat 32)

Justeru, apabila keluar dari rumah, agama menyuruh kita menutup aurat selain memelihara diri daripada keghairahan seks yang boleh membawa kepada zina.

Islam tidak menyekat fitrah manusia untuk sayang menyayangi, cuma kita dilarang jika bibit-bibit kasih sayang itu membawa kepada kemaksiatan.

Islam tidak pernah menghalang memikat atau mengurat, tetapi perlu ada seninya dan tidak melanggar batas kesusilaan antara lelaki dan wanita.

Jika seorang lelaki itu berminat terhadap seorang wanita dan mahu menjadikan teman hidup, mereka perlu berjumpa dengan wali untuk meminang.

Menjadi satu kesilapan jika terus bertemu wanita pilihannya tanpa bertemu ibu bapanya.

Kita dianjurkan mendirikan solat istikharah untuk meminta Allah perteguhkan keputusan yang ada atau petunjuk membuat keputusan yang belum ada.

Mereka yang bersolat istikharah tidak akan kecewa kerana solatnya bukan saja mencari petunjuk Allah dalam membuat keputusan yang belum pasti, tetapi meminta diperteguhkan hati melaksanakan keputusan yang pasti.

Selepas keputusan dibuat, teguhkan azam dan terus bertawakal sebelum menguruskan lamaran dengan memilih wakil yang baik untuk meminang.

Jika bersedia, bawalah keluarga berjumpa dengan wali perempuan untuk mengenali calon menantu serta menyatakan hasrat dengan lebih jelas.

Selepas kedua-duanya bersetuju, barulah dijalankan upacara peminangan. Selepas bertunang, haram bagi seorang wanita itu dipinang lelaki lain.

Sepanjang masa pertunangan, mereka boleh mengenali di antara satu sama lain. Ketika itu barulah dapat dirasakan keserasian sebelum majlis perkahwinan.

Sentiasa beringat bahawa bertunang bukan 'lesen' melakukan perbuatan maksiat kerana mereka belum sah sebagai suami isteri.

Ini bagi memelihara zuriat yang bakal lahir nanti. Inilah indahnya Islam mengaturkan perjalanan hidup umatnya.

Percintaan dalam Islam ialah hubungan cinta yang disuburkan selepas perkahwinan sehingga ke akhirnya. Tanda sebuah perkahwinan itu dizahirkan melalui hubungan suami isteri diisi penuh tanggungjawab dan kasih sayang, membentuk anak yang soleh dan solehah serta taat kepada perintah Allah.

Jadi berdoalah untuk mendapatkan keredaan Allah semata-mata dan tidak sesekali berdasar godaan nafsu dan keduniaan.

Jika masih 'berat' bertemu jodoh, jangan bersangka buruk kepada Allah. Ini pastinya satu ujian yang mengandungi 1001 hikmah.

Barangkali Allah mahu selamatkan mereka daripada mendapat pasangan tidak sesuai. Tetapi, usaha perlu dipertingkatkan agar Allah permudahkan urusan kita.

Jangan membuat keputusan tidak berkahwin selama-lamanya kerana ia bertentangan dengan fitrah dan syariat agama.

Nabi Muhammad s.a.w memberi panduan melamar seorang wanita adalah dengan melihat calon mengikut aturan yang ditetapkan syarak.

Dari Anas bin Malik, beliau berkata, Mughirah bin Syu'bah berkeinginan untuk menikahi seorang perempuan. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: "Pergilah untuk melihat perempuan itu kerana dengan melihat itu akan memberikan jalan untuk dapat lebih membina kerukunan antara kamu berdua".

Lalu dia melihatnya, kemudian menikahi perempuan itu dan dia menceritakan kerukunannya dengan perempuan itu. (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Sebelum berkahwin pasangan diharuskan melihat dan berkenalan. Menurut riwayat Muslim dari Abu Hurairah bahawa Nabi pernah bertanya kepada seseorang yang akan menikahi seorang wanita: "Apakah engkau telah melihatnya?" Ia menjawab: "Belum:. Baginda bersabda: "Pergi dan lihatlah dia".

Meskipun sudah berkenalan, seseorang itu dilarang berpacaran berdasarkan ayat Quran yang menegah daripada berlakunya perzinaan.

Berpacaran bukanlah perkara yang tepat bagi mengenal pasangan. Mereka boleh mendapat maklumat daripada orang hampir dengannya seperti sahabat baiknya.

Minta penilaian daripada orang tua dan keluarga sebab mereka yang 'jatuh cinta' tidak melihat kekurangan pasangannya, bau busuk pun dikatakan wangi.

Jangan sesekali mengambil kesempatan terhadap pasangan walaupun mereka memberi isyarat berminat kepada kita.

Berikan pujian dengan ikhlas dan jujur terhadap sikap serta personaliti mereka. Jadikan mereka mempercayai kepada keikhlasan kita supaya mereka dapat berkongsi suka duka atau luahan emosi.

Janganlah bersikap keterlaluan sehingga menimbulkan pergaduhan atau rasa tidak senang kepada pasangan. Berusahalah untuk mencuci hati daripada perasaan negatif.

Untuk menjadikan semua orang di sekeliling kita berasa senang dan sayang kepada kita, bersihkan hati dengan menjaga ibadah seperti solat, membaca al-Quran, memaafkan orang lain, meminta maaf jika melakukan kesalahan, banyakkan bersedekah dan sentiasa memikirkan hal yang positif.

Dilahirkan sebagai lelaki, kita perlu banyak belajar mengenal kerenah wanita terutama menjaga perasaan, kehendak, pemikiran dan kesukaan mereka.

Cuba elakkan mencari kelemahan dan kesilapan kecil yang ada pada bakal pasangan. Apatah lagi bertindak mengutuk atau memalukan bakal mereka.

Pasangan pastinya akan tertarik kepada jika kita mengasihinya bukan kerana harta, wajah atau keturunannya.

Cari ruang untuk sentiasa mewujudkan suasana yang gembira yang dalamnya ada terselit kisah lucu.

Apa yang paling penting, carilah bakal bakal pasangan yang sekufu, setara dan sepadan dengan kita. Kehidupan yang lalui adalah 'medan' untuk terus memperbaiki diri dan belajar sesuatu perkara yang baru.

Source: Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Informasi Anda..

Blog Pilihan