Johor Search

Custom Search

Followers

13 October 2010

News @ Feryco

News @ Feryco


Awasi Unsur Syirik Jika Guna Kayu Koka

Posted: 12 Oct 2010 04:45 PM PDT

Apakah dia kayu koka? Betulkah kayu koka ini sejenis kayu yang diperintahkan Allah untuk digunakan Nabi Nuh a.s. membuat kapal dan menyuruh Nabi Musa a.s. mengambil tongkat yang juga diperbuat daripada kayu koka?

Banyak orang sanggup membeli kayu koka dengan harga yang terlalu mahal. Ada yang berbentuk tongkat, tasbih dan batu cincin. Kononnya ia boleh menjadi penghadang daripada jin dan syaitan, menyembuhkan penyakit serta memurahkan rezeki. Apakah ini ada isyarahnya dalam al-Quran atau as-Sunnah?

Abu Bakar Zakaria,
Damansara, Selangor

Jawapan

Saya pernah melihat kayu koka dalam semua bentuk. Pernah dihadiahkan kayu tersebut oleh beberapa orang kepada saya. Malah saya pernah membaca ada sebuah buku yang diterbitkan di Malaysia, disebutkan tentang penggunaan dan kebaikan kayu koka seperti yang saudara sebutkan.

Sepanjang hidup saya, tidak pernah mendengar tentang kayu koka ini, melainkan sejak dua tiga tahun kebelakangan ini.

Ada pelajar yang pulang dari Jordan, bertemu saya dan memperkenalkan kayu koka. Beliau berhasrat menjualnya kepada saya kerana dia mengatakan sayalah orang yang paling layak memakai atau menggunakan kayu koka.

Saya berbincang panjang dengan beliau, malah saya menasihatkan beliau mencari profesyen lain daripada menjual kayu koka.

Persoalan ini lama kelamaan semakin timbul. Saya melihat orang memakai cincin yang batunya diperbuat daripada kayu koka. Kebetulan saya dapati bukan kayu sebenarnya, tetapi ia buah yang terlalu keras.

Oleh kerana tampung buah itu terlalu keras, maka daripadanya diperbuat pelbagai bentuk atas nama kayu koka. Ada juga yang saya jumpa ia diperbuat daripada kayu betul.

Pada saya, semua yang dikaitkan dengan kuasa makhluk-makhluk ‘madi’ seperti kayu, batu dan sebagainya yang dikaitkan dengan memberi bekas, kecelakaan atau kemanfaatan, inilah yang dilarang oleh Islam.

Ini termasuk dalam larangan Rasulullah s.a.w. dalam Sabdanya (mafhumnya); “Sesungguhnya jampi mentara yang mengandungi kesyirikan kepada Allah SWT dan semua jenis tangkal, ilmu pengasih yang menggunakan sihir, semuanya adalah syirik terhadap Allah SWT.” (Hadis sahih)

Kalau sekadar perhiasan, yang semata-mata perhiasan, seperti membuat batu cincin atau gelang, yang tidak dikaitkan dengan sebarang kemudaratan atau kebaikan daripadanya, boleh digunakan.

Seperti kita menggunakan batu permata, emas dan perak, semata-mata untuk perhiasan, adalah diharuskan.

Oleh kerana penggunaan kayu koka ini sudah menjadi suatu profesyen kepada penjual atau penggunanya terpukau dengan penjelasan yang menarik, maka banyak orang yang tertipu dengan penerangan, lalu membelinya.

Jika berlaku kebetulan, seorang yang sempit rezekinya, memakai kayu ini, murah rezekinya. Jika dikaitkan rezeki yang murah berpunca dari kayu tersebut, jelas berlaku syirik terhadap Allah.

Tidak boleh ada kuasa lain yang memberi rezeki kepada makhluk melainkan Allah sahaja.

Banyak ayat al-Quran yang menyebut bahawa Allahlah pemberi rezeki yang sebenarnya.

Kayu koka mungkin ada khasiat khusus dalam perubatan termasuk dalam jenis herba. Jika ia merupakan herba, dilarutkan atau dimasukkan dalam apa-apa adunan, yang mungkin sesuai mengubati penyakit tertentu, itu termasuk dalam salah satu bentuk rawatan penyakit.

Itu pun salah satu yang diharuskan kerana ada dalam hadis-hadis Nabi s.a.w. yang merujuk rawatan penyakit secara memakan ubat.

Nabi s.a.w. pernah menyebut tentang madu lebah, bijirin hitam (Habbatus Saudak), jintan hitam, jenis tanaman seperti ‘assina’ dan ‘assinut’. Dalam al-Quran disebut ‘at-tiin’, ‘az-zaytun’, ‘ar-rummaan’, ‘an-nahiil’ dan sebagainya yang merujuk kepada buah-buahan.

Ini termasuk dalam kajian-kajian untuk dijadikan ubat bagi menyembuhkan penyakit tertentu.

Persoalan saya tentang pengguna kayu kota atau apa sahaja kayu, mengapa orang yang memiliki kayu itu tidak menggunakan untuk faedah dirinya dan menjualkannya kepada orang lain.

Barangkali orang tersebut tidak begitu yakin dengan apa yang didakwanya manfaat kepada pengguna kayu koka, sehingga menjualnya dengan harga yang tinggi untuk mendapat faedah kewangan.

Saya amat meragui perkara menggunakan kayu ini, terutama untuk menjadi penghadang kepada jin, syaitan dan sebagainya.

Apa yang saya tahu, jin dan syaitan akan takut dan lari lintang pukang jika dibacakan ayat-ayat al-Quran ataupun zikir kepada Allah SWT.

Dalam suatu hadis disebut, Rasulullah s.a.w. pernah melintasi rumah-rumah sahabat di waktu dinihari. Baginda mendapati Umar al-Khattab r.a. membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah dengan suara yang amat lantang.

Keesokan harinya Nabi s.a.w. bertemu Umar dan berkata kepadanya, “Aku melintasi rumahmu dan aku mendengar kamu membaca al-Quran dan berzikir dengan suara yang amat nyaring, mengapa kamu buat demikian.”

Umar menjawab; “Saya berbuat demikian untuk menghalau segala syaitan yang menganggu saya.” Lalu Nabi berkata kepadanya, “Perlahankan sedikit.”

Wallahua’lam.

Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din

(Petikan dari Harakah Bil.1337)

Hukum Memakai Cincin, Gelang Tangan dan Rantai Leher Bagi Lelaki Islam

Posted: 12 Oct 2010 02:18 PM PDT

Oleh: Ustaz Mohamad Faizal bin Ahmat

Memakai cincin merupakan salah satu sunnah Rasulullah s.a.w. Ini kerana Rasulullah s.a.w sendiri pernah memakai cincin. Berdasarkan hadith daripada Anas bin Malek :

" Adalah cincin Nabi SAW dipakai pada tangan ini ( Dan dia menunjukkan kepada kelingking jari kiri)”(Hadith Riwayat Muslim) Begitu juga, nasihat Nabi Muhammad saw. Kepada Saidina Ali sesudah bernikah dengan Siti Fatimah iaitu anakanda kesayangan, Nabi Muhammad s.a.w. berpesan kepada Saidina Ali iaitu kalau memakai cincin pakailah di jari manis atau jari kelingking (anak jari). Di samping itu Ali bin Abi Talib berkata " Rasulullah s.a.w telah melarang saya memakai cincin pada jari telunjuk atau jari yang mengiringinya( jari tengah atau jari hantu)". (Hadith riwatat Muslim, Abu Daud At-Tirmizi dan An-Nasai)

Bagi pemakaian gelang tangan pula, terdapat sebuah hadis yang menyebut gelang tangan ini.

Bahawa Rasulullah s.a.w telah melihat pergelangan tangan seorang lelaki yang memakai gelang yang diperbuat daripada tembaga, maka baginda bertanya kepada lelaki tersebut:"Apakah bendanya ini"? Lelaki itu berkata:"Ia adalah gelang perubatan". Rasulullah bersabda: " Sesungguhnya benda itu tadak memberi apa-apa (faedah walaupun untuk tujuan perubatan), buangkan benda itu daripada diri anda, jika sekirannya anda mati dan benda itu ada pada diri anda, maka anda tidak akan berjaya (selamat) untuk selama-lamanya (Sahih riwayat Imam Ahmad).

Berdasarkan hadis di atas, terdapat perbezaan pendapat ulama' sama ada yang mengharuskan ataupun mengharamkan pemakaian gelang tangan ini. Mereka yang mengharamkan penggunaan gelang tangan adalah bersandarkan hadis zahir di atas secara jelas melarang lelaki memakai gelang tangan, walaupun untuk tujuan perubatan.

Pun begitu, terdapat ulamak yang mengharuskan menggunakan gelang tangan bagi lelaki dengan tujuan perubatan sahaja, tetapi dengan beberapa syarat yang ketat iaitu gelang tersebut telah dibuat kajian saintifik bahawa boleh merawat penyakit, gelang tersebut bukan dibuat daripada emas dan perak, pemakaian gelang tersebut bukan untuk tujuan menunjuk-nunjuk. al-Ustaz Muhammad Sa’di (Penyelidik laman Islam-online) ketika ditanya tentang hukum memakai gelang dari tembaga yang diperbuat bagi tujuan perubatan apakah dibenarkan atau ia termasuk di dalam syirik yang kecil, beliau menjawab: “Jika terbukti kemanfaatan gelang tersebut sebagai perubatan, maka perbuatan itu tidak mengapa, adapun jika tidak ada padanya sebarang manfaat, maka jangan dipakaikan kerana ketika itu ia termasuk dalam kumpulan memakai tangkal dan azimat.”

Larangan memakai gelang yang dinamakan al-wahinah di dalam hadis di atas bukan merujuk kepada gelang semata-mata dan bukan juga merujuk kepada larangan berubat dengan gelang, sebaliknya ia merujuk kepada merubat dengan tangkal atau gelang yang hanya semata-mata tangkal. Oleh itu, pemakain gelang tangan bagi tujuan tangkal adalah jelas, iaitu haram. Tidak kira jenisnya, sama ada ada logam, tali bewarna hatta gelang getah sekalipun. Majlis fatwa kebangsaan telah memutuskan lilitan hitam di lengan bagi umat Islam adalah haram kerana ia merupakan suatu adat atau kepercayaan agama lain. (Muzakarah Jawatankuasa Fatwa kali Ke-19, 6 Oktober 1987 )

Hasil dari pemerhatian penulis, pemakaian gelang di kalangan pelajar PMM atau masyarakat awam, gelang yang dipakai bukanlah jenis magnetik yang dibuat untuk tujuan perubatan tetapi jenis logam biasa yang boleh dibeli di mana-mana sahaja dengan harga yang murah. Jadi gelang ini bukanlah jenis yang diharuskan menurut Islam. Pemakain mereka hanya bertujuan untuk menunjukkan penampilan yang dianggap "gagah" atau "macho". Oleh itu jika hanya untuk menunjuk-nunjuk atau berhias (bagi lelaki) maka ia adalah amat ditegah dalam Islam.

Berkaitan dengan pemakaian rantai leher pula, bila ditanya " kenapa pakai rantai leher?" ramai menjawab: "rantai ini bukan dari jenis emas atau perak". Persoalan di sini bukanlah jenis buatannya sama ada rantai emas, perak, besi ataupun tembaga. Menurut Islam rantai leher merupakan salah satu alat perhiasan bagi wanita sahaja. Haram meniru atau menyerupai wanita sama ada dari segi alat perhiasan ataupun pakaian. Amat beratlah kesalahannya jika tujuan pemakaian rantai leher itu bertujuan untuk meniru agama, anutan, ajaran agama lain, maka hukumnya haram, bersandarkan sebuah hadis:

"Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum itu, maka dia akan tergolong di dalam kaum berkenaan." (Riwayat Abu Daud).

Apa yang perlu di sini ialah ilmu pengetahuan. Dengan erti kata segala perbuatan dan amalan yang kita lakukan hendaklah berdasarkan ilmu yang sohih, bukan ikut-ikutan sahaja. Punca utama berlakunya terikut-ikut dengan budaya songsang seperti bertindik, rambut punk, bertatu, memakai rantai adalah kerana kejahilan dan kedangkalan untuk tidak mendalami ilmu agama. Ironinya keseronokan mengikut budaya asing atau songsang ini akan merosakkan diri malah yang lebih parah lagi, boleh merosakkan akidah kita. Akhirnya, panduan ilmu yang benar akan mendorong segala perlakuan kita bertepatan dengan ajaran Islam seterusnya mendapat kerahmatan dari Allah taala. Wallahu a'lam.

Source: PMM

No comments:

Post a Comment

Informasi Anda..

Blog Pilihan