Johor Search

Custom Search

Followers

22 November 2009

Masalah kebersihan punca taun merebak

KUALA TERENGGANU 21 Nov. – Masalah kebersihan merupakan punca utama penularan wabak taun di Terengganu. Ia menyebabkan pencemaran berlaku di kilang-kilang ais, keropok lekor dan pasar basah hingga memaksa taun diisytihar wabak di negeri itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika mengesahkan perkara itu berkata, sebanyak 115 premis telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut, 20 premis diarahkan tutup serta-merta selama 10 hari.

''Sebanyak 11 buah kilang ais, empat buah kilang keropok, sebuah pasar dan empat restoran diarahkan tutup untuk tujuan pengawasan.

"Hasil siasatan melalui sampel ayam mentah dan keadaan air di beberapa buah premis dan kilang ais terbabit didapati tercemar dengan kuman kolera,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat pesakit taun di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.

Selain itu, pihaknya mendapati ada kemungkinan ikan yang dibekalkan kepada kilang keropok sekitar daerah itu dicemari kuman vibrio cholera dari negara Thailand.

Beliau juga tidak menolak pencemaran itu berlaku ketika proses pengagihan ikan di Kompleks Perikanan Chendering.

Mengulas lanjut, Tiong Lai berkata, pengawasan di kesemua premis tersebut akan dipertingkatkan kerana wabak taun yang merebak di negeri ini dikenal pasti daripada kuman kolera jenis baru itu.

Ujarnya, hasil kajian awal mendapati kuman itu tidak memberi tindak balas terhadap ubat antibiotik yang sering digunakan.

"Sejak lima tahun lalu, wabak taun tidak melanda dan ini merupakan kes yang paling teruk dan serius, bagaimanapun kita telah menemui antibiotik yang boleh mengubati penyakit ini," jelasnya.

Mengenai jumlah kes pula, tambah beliau, sehingga hari ini, sebanyak 145 kes dilaporkan berbanding semalam 138 kes disahkan positif penyakit itu dan menerima rawatan di hospital tersebut.

Beliau berkata, 482 pesakit masih dirawat di hospital iaitu 322 pesakit disyaki mengalami cirit-birit, 138 kes disahkan kolera dan 22 lagi adalah pembawa penyakit itu.

"Sebanyak sembilan wad telah disediakan untuk menempatkan pesakit-pesakit yang mengalami penyakit ini.

"Bagaimanapun, terdapat satu kes yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) seperti yang dilaporkan semalam dan pesakit itu telah pun stabil dan dipindahkan ke wad biasa," ujarnya.

Dalam pada itu, Tiong Lai turut menasihati orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak dijangkiti kuman kolera dengan meningkatkan penjagaan kebersihan.

No comments:

Post a Comment

Informasi Anda..

Blog Pilihan