Johor Search

Custom Search

Followers

26 April 2009

Minggu Amanah Saham Malaysia (MSAM) 2009

Bukti kemakmuran ekonomi - Ghani

JOHOR BAHRU 20 April - Penyertaan menggalakkan rakyat Johor dalam pelaburan unit amanah hingga mencecah RM8 bilion unit, membuktikan kemakmuran ekonomi negeri dan rakyat walaupun situasi ekonomi global dalam keadaan gawat.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, penyertaan mereka itu merupakan 10 peratus daripada keseluruhan jumlah pelabur Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang berjumlah 87 bilion dana unit itu.

"Perkembangan itu menandakan bukan sahaja masyarakat di Johor berminat terhadap peluang pelaburan yang disediakan oleh PNB, bahkan ia juga memberi gambaran bahawa mereka berkemampuan untuk melabur," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2009 di Plaza Angsana di sini hari ini.

Majlis yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid serta Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Abdul Ghani berkata, pelabur PNB berjumlah 9.3 juta orang yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum juga menunjukkan unit-unit amanah yang ditawarkan mendapat kepercayaan penuh setiap lapisan masyarakat.

Menurutnya, melalui pelaburan mereka, syarikat-syarikat pelaburan TNB telah menggembleng pelaburan dalam pelbagai sektor di Johor seperti kewangan, hartanah, pelabuhan dan perladangan.

"Sime Darby Bhd. umpamanya, mempunyai perladangan yang besar di negeri ini sekali gus menyediakan peluang yang banyak kepada penduduk Johor," jelasnya.

Beliau berkata, selain itu, Pelangi Berhad memberi sumbangan dalam sektor hartanah manakala Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Johor Port yang kedua-duanya adalah ahli MMC Berhad turut memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi negeri.

Katanya, dalam sektor perbankan pula, Maybank Berhad telah lama memberi sokongan kewangan kepada projek-projek di negeri ini.

"Syarikat-syarikat ini turut sama menyuntik rangsangan terhadap perkembangan dan kemajuan Johor dan rakyatnya menerusi penjanaan modal dan penawaran peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan," katanya.

Menurut Abdul Ghani, kejayaan berkenaan membuktikan gagasan dan wawasan kepimpinan terdahulu menubuhkan Yayasan Pelaburan Bumiputera pada 1978 memberi manfaat besar kepada rakyat hingga ke hari ini.

"Melalui pendekatan ini, rakyat dapat sama-sama menikmati kemakmuran ekonomi secara lebih adil dan berdasarkan rekod serta keupayaan, saya yakin PNB mampu berkembang lagi untuk membawa kesejahteraan bersama kepada rakyat," katanya.

Justeru, beliau menyeru rakyat negeri ini agar terus memberi sokongan penuh terhadap MSAM bagi memastikan program tersebut mencapai matlamatnya.

No comments:

Post a Comment

Informasi Anda..

Blog Pilihan