03 April 2012

Carian Kembara Mahkota Johor

Majlis Pelancaran Logo Kembara Mahkota 2009  Cetak
TEKS UCAPAN
Y.A.B. DATO' HAJI ABDUL GHANI BIN OTHMAN
MENTERI BESAR JOHOR
DI MAJLIS  PELANCARAN LOGO KEMBARA MAHKOTA JOHOR  JELAJAH PEDALAMAN 2009
& PELANCARAN PROJEK PEMULIHARAAN HIDUPAN LIAR NEGERI JOHOR
OLEH  D.Y.A.M. TUNKU MAHKOTA JOHOR
DI PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA PERSADA JOHOR
PADA HARI ISNIN, 15 JUN 2009
JAM 2.15 PETANG


Bismillahirahmanirrahim.


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
dan Salam Sejahtera.


Menghadap Duli Yang Amat Mulia
Tunku Ibrahim Ismail Ibni Sultan Iskandar,
Tunku Mahkota Johor.


Duli Yang Amat Mulia
Tunku Ismail Ibrahim Ibni Tunku Ibrahim Ismail,
Raja Muda Johor.


Patik bagi Pihak Kerajaan Negeri Johor dan para hadirin sekalian, merafak sembah menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Amat Mulia mencemar Duli berangkat menyempurnakan Majlis Pelancaran Logo Kembara Mahkota Johor 2009 Jelajah Pedalaman dan Pelancaran Program Pemuliharaan Hidupan Liar Negeri Johor pada hari ini.


Keberangkatan Duli Yang Amat Mulia Tunku melambangkan kesungguhan yang amat sangat, lebih-lebih Kembara Mahkota Johor ini adalah hasil cetusan ilham Duli Yang Amat Mulia Tunku sendiri.  Ia telah pun menjadi agenda tahunan negeri Johor Darul Ta'zim, dan nama programnya pun secocok dengan Duli Yang Amat Mulia Tunku.


Patik mohon perkenan memberikan ucapan kepada hadirin sekalian.


Ampun Tuanku,


1.    Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat kita bersama-sama hadir ke majlis yang penuh bermakna pada petang ini.


2.    Kerajaan Negeri Johor amat bertuah kerana Program Kembara Mahkota berjaya menyemarakkan kerjasama dan jalinan erat antara Institusi Raja, pemimpin negeri, kakitangan kerajaan dan rakyat jelata. Ia mengandungi pengertian yang amat mendalam dari segi keharmonian perhubungan dan kerjasama antara pelbagai institusi di negeri Johor serta kesejahteraan hidup rakyat jelata.


3.    Hasil wawasan yang dipelopori oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor dengan bermulanya program pertama pada tahun 2001, semakin terpahat dalam sejarah kemajuan negeri Johor, bahawa Kembara Mahkota Johor membuka lembaran tersendiri sebagai jambatan yang memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat.


4.    Kali ini, Program Kembara Mahkota Johor 2009 Jelajah Pedalaman, memberi makna yang lebih besar. Sempena namanya Kembara Mahkota Johor 2009 Jelajah Pedalaman, kerajaan menyeru seluruh anggota pentadbiran negeri Johor, serta segenap lapisan rakyat supaya bersama-sama memelihara kekayaan khazanah sumber alam semulajadi.


5.    Ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk membangunkan negeri Johor  melalui pembangunan secara holistik dan menyeluruh. Ini bermakna, kita tidak hanya menekankan kepada pembangunan ekonomi dan fizikal semata-mata, tetapi turut menekankan faktor-faktor lain, seperti pemuliharaan ekosistem yang stabil sekali gus meningkatkan kualiti hidup melalui pengurusan sumber alam semulajadi yang mampan.


6.    Di atas hakikat ini, Kerajaan Negeri Johor telah mengambil inisiatif untuk memulakan usaha-usaha pemuliharaan kepelbagaian biologinya menerusi Program Pemuliharaan Hidupan Liar Negeri Johor. Penglibatan Duli Yang Amat Mulia Tunku Ibrahim Ismail Ibni Sultan Iskandar, Tunku Mahkota Johor, yang telah memberi perkenan untuk menaungi  projek ini, memberi makna yang amat besar kerana ia memberi semangat dan kekuatan kepada kita semua untuk berusaha memelihara khazanah alam semulajadi.


7.    Usaha pemuliharaan ini akan mencakupi penglibatan agensi di pelbagai peringkat, Badan-badan Korporat, Badan-badan Bukan Kerajaan dan kalangan masyarakat tempatan. Program ini merupakan satu kesinambungan terhadap keprihatinan Kerajaan Negeri Johor, keatas kelestarian kekayaan alam semulajadinya.


8.    Negeri Johor merupakan negeri yang pertama di Semenanjung Malaysia, mewujudkan sebuah agensi yang khusus untuk mewarta dan seterusnya mengawalselia kawasan hutan perlindungan alam semulajadinya, iaitu Taman-taman Negara Johor. Sejak Enakmen Perbadanan Taman Negara Johor dikuatkuasa pada tahun 1989, Kerajaan Negeri Johor telah mewartakan kawasan seluas 77,000 hektar yang meliputi kawasan pergunungan hutan belantara, kawasan tanah lembap  hinggalah ke gugusan pulau-pulau di daerah Mersing sebagai Taman Negara Johor.


9.    Sempena Program Pemuliharaan Hidupan Liar ini, kita berharap dapat meningkatkan bilangan hidupan tersebut menerusi perlindungan kawasan habitat hutan di seluruh negeri Johor. Di samping itu, program ini juga memberikan peluang kepada semua pihak, sama ada Universiti, Badan-badan Bukan Kerajaan, Jabatan Kerajaan mahupun Perbadanan Taman Negara Johor sendiri, untuk memajukan bidang penyelidikan kepelbagaian biologi.


10.    Dalam fasa pertama, satu kajian kependudukan spesis mangsa telah pun selesai dijalankan oleh Perbadanan Taman Negara Johor bersama pihak Wildlife Conservation Society, di seluruh kawasan Endau Rompin dan sekitarnya.


11.    Untuk fasa seterusnya, kita akan mengukuhkan Program Penguatkuasaan Undang-undang bagi membanteras kejadian pencerobohan serta pemburuan haram dalam kawasan Taman Negara Johor dan rizab hutan simpan, serta kawasan hutan dan ladang-ladang pertanian di sekitarnya.  Program ini akan dilaksanakan  melalui kerjasama jabatan teknikal seperti Jabatan Perhilitan Negeri Johor, Jabatan Perhutanan Negeri Johor, Kontinjen Polis Johor, serta pihak swasta seperti Syarikat Kulim (M) Berhad, yang merupakan pemilik kawasan perladangan di sekitar kawasan Endau Rompin. 


12.    Harapan Kerajaan Negeri adalah supaya usaha-usaha pemeliharaan dapat diteruskan dan diperkukuhkan melalui perkongsian maklumat yang diperolehi melalui Program Penyelidikan dan Rakan Kongsi Bistari dengan Institusi Pengajian Tinggi serta penyelidik dari dalam mahupun luar negeri.


13.    Akhir sekali, Patik merakamkan penghargaan yang mendalam kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha ini. Semoga usaha yang baik ini mendapat keredhaan Allah jua.




Ampun Tunku,



Sejarah Logo Tahun-Tahun Yang Lepas






Ciri-ciri yang perlu ada untuk Kembara Mahkota Johor 2012 perlu diketahui dan mesti dimuatkan dalam logo tahun ini. 
Link: http://www.facebook.com/KMJ2011

JohorToday

No comments:

Post a Comment

Informasi Anda..