24 October 2011

IdrisTalu

IdrisTalu


Azraai yakin Negeri Sembilan muncul juara

Posted: 23 Oct 2011 08:15 PM PDT

Oleh Mohd Amin Jalil, am@hmetro.com.my

MENGHADAPI pasukan mantap dan berwibawa Terengganu pada perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu ini, tidak memberi tekanan buat Negeri Sembilan, tegas ketua jurulatih skuad itu, Azraai Khor Abdullah.

Menurutnya, ini berdasarkan pengalaman dan rekod pertemuan dengan pasukan itu pada peringkat kumpulan Piala Malaysia musim ini, apabila Negeri Sembilan menang tipis 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi manakala seri tanpa jaringan ketika bertandang ke Kuala Terengganu.

"Saya akui Terengganu yang dibimbing Irfan Bakti Abu Salim lebih mantap kerana membariskan ramai pemain berpengalaman dan lincah terutama barisan penyerang mereka yang menggandingkan pemain kebangsaan Abdul Manaf Mamat dan Ashari Shamsuddin.

"Bagaimanapun, ia tidak akan memberi tekanan kepada Negeri Sembilan, sebaliknya kami akan membuat persiapan rapi dalam menghadapi pertemuan genting itu, untuk memastikan Negeri Sembilan berupaya mengimbangi kekuatan lawan dan akhirnya berjaya menjulang Piala Malaysia musim ini," katanya.

Beliau ditemui selepas perlawanan separuh akhir kedua di Paroi, malam kelmarin, yang berkesudahan mengatasi T-Team 2-1 untuk layak menerusi agregat 6-3, sekali gus mengesahkan tempat ke final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Pada perlawanan yang disaksikan kira-kira 45,000 penonton kelmarin, T-Team terlebih dulu membuka jaringan menerusi Fitri Omar pada minit ke-72, bagaimanapun Shahurain Abu Samah dan Shukor Adan melakar dua gol pada minit ke-74 dan 84.

Azraai yakin skuad bimbingannya mampu melakar sejarah menjulang trofi kejuaraan yang menjadi rebutan setiap pasukan itu berdasarkan prestasi dan komitmen yang ditunjukkan pemain skuad Hoben Jang Hoben sepanjang kempen musim ini.

"Walaupun prestasi pasukan terumbang-ambing pada awal saingan angkara masalah kecederaan pemain apabila sekadar berada di tangga kelapan dalam saingan Liga Super selain gagal mempertahankan Piala FA, namun pemain berjaya mempamerkan kebangkitan, hingga berjaya melayakkan diri ke final buat kali ketiga berturut-turut.

"Kejayaan ini bukan satu keputusan biasa atau sekadar nasib tapi hasil semangat juang dan komitmen tinggi setiap pemain yang membuktikan kemampuan masing-masing untuk menjulang nama pasukan.

Source: Harian Metro Malaysia Online.

Penyu makin garang

Posted: 23 Oct 2011 08:12 PM PDT


Oleh Malik Muhamad, sukan@hmetro.com.my

GERGASI Pantai Timur, Terengganu semakin bersemangat untuk memburu kejuaraan kali kedua dalam kancah Piala Malaysia apabila mengesahkan kemaraan ke final untuk bertemu Negeri Sembilan di Shah Alam, Sabtu ini.

Juara Piala FA itu yang berjaya membawa pulang trofi berprestij itu buat kali pertama pada 2001 ketika di bawah kendalian Mat Zan Mat Aris sudah pasti mengidam koleksi kemenangan kedua kerana sudah sedekad menanti untuk beraksi di pentas final.

Kapten Terengganu, Marzuki Yusof berkata, selepas berjaya meleburkan Misi 33 Selangor, semangatnya dan rakan sepasukan kian membara untuk mencatat kemenangan berganda selepas mendakap Piala FA, Jun lalu, selain muncul naib juara Liga Super.

"Jika dihitung, tempoh 10 tahun terlalu lama untuk kami melangkah semula ke final, jadi dengan peluang keemasan yang hadir ini, saya dan rakan sepasukan bertekad untuk membawa pulang Piala Malaysia," katanya.

Pada perlawanan itu, skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim berjaya melebur impian Selangor menerusi kemenangan 2-1 sekali gus layak menerusi agregat 4-1.

Abdul Manaf Mamat dan Ashari Samsuddin sekali lagi membuktikan sentuhan mereka berbisa apabila masing-masing menghasilkan satu jaringan untuk meletakkan pasukan ke final sebelum pelawat merapatkan kedudukan hasil jaringan Safiq Rahim.

Sementara itu, Irfan Bakti berkata, beliau sudah menjangkakan pertemuan itu sengit kerana lawan sudah pasti mahu memadam kekurangan dua jaringan di Stadium Shah Alam pada peringkat separuh akhir pertama, Selasa lalu.

"Saya amat bangga dengan komitmen pemain kerana berjaya melaksanakan arahan taktikal dengan berkesan untuk menyekat hajat Selangor.

"Memang kami sudah agak selesa dengan kelebihan dua jaringan, namun semangat membara pemain untuk ke final perlu diberi pujian," katanya.

Berdasarkan rekod, Terengganu mara ke final piala berprestij itu sebanyak empat kali pada 1973, 1982, 1998 dan hanya pada 2001, mereka berjaya merangkul gelaran juara selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Perak.

Sementara itu, jurulatih Selangor, P Maniam mengakui Terengganu berhak mara ke final berdasarkan prestasi yang dipamerkan pasukan itu sepanjang saingan separuh akhir.

Source: Harian Metro Malaysia Online.

Individu Islam perlekeh Himpun diselar

Posted: 23 Oct 2011 08:27 AM PDT

Foto: ihsan Utusan Malaysia Online.

SHAH ALAM 22 Okt. - Tindakan sesetengah individu Islam yang memperlekehkan penganjuran Himpunan Sejuta Umat (Himpun) bagi menentang gejala murtad negara ini amat dikesali.

Pengerusi Bersama Himpun, Dr. Yusri Mohamad yang tampil sebagai pemidato pertama pada perhimpunan juga melahirkan rasa sedih apabila terdapat individu tertentu mengatakan Himpun sebagai tidak relevan serta tidak mempunyai asas dalam Islam.

Sedangkan katanya, perhimpunan itu adalah simbolik kepada penyatuan umat bagi menentang gejala murtad di kalangan masyarakat Islam bagi menyelamatkan akidah mereka daripada dipesongkan oleh pihak tertentu.

Foto: ihsan Utusan Malaysia Online.

"Ada individu Islam sendiri kata apa salah murtad, ada yang kata usaha mereka (bukan Islam) bekerja keras menyebarkan agama mereka maka patut mereka tuai hasil dan ada juga kata murtad tidak salah, ia kebebasan beragama.

"Isu yang membuat kita berhimpun pada hari ini ialah isu yang paling besar di sisi Allah iaitu murtad menolak risalah Islam, para anbia (nabi-nabi) dan tiada maksiat, tiada salah guna kuasa, tiada pencabulan hak asasi manusia paling besar di sisi Allah selain murtad.

"Maka, perhimpunan kita adalah atas asas yang paling besar iaitu untuk memperbesarkan apa yang dibesarkan Allah, Allah letakkan murtad dan pemurtadan sebagai kesalahan paling besar, isu paling besar dan paling perlu dapat perhatian," katanya ketika menyampaikan pidato pada perhimpunan tersebut di Stadium Shah Alam di sini hari ini.

Seramai lapan pemidato tampil berucap pada perhimpunan tersebut mewakili pelbagai pertubuhan bagi menyuarakan keprihatinan masing-masing terhadap gejala murtad di negara ini.

Seorang lagi pemidato iaitu bekas pastor, Mohd. Farhan Abdullah pula mengutarakan cadangan agar Parlimen menggubal kembali Artikel 11 (1), Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan klausa 'kebebasan beragama' hanya terpakai bagi masyarakat bukan Islam.

Menurutnya, ini kerana terdapat pihak yang terkeliru serta pihak yang sengaja mengelirukan masyarakat mengenai peruntukan undang-undang itu bagi memesongkan akidah umat Islam.

"Saya sendiri pernah terlibat dalam gerakan mengkristiankan umat Islam dahulu dan usaha ini dilakukan dengan begitu teliti serta terancang," tegasnya.

Beliau juga mahu wakil-wakil Himpun yang terdiri di kalangan Ahli Parlimen atau Ahli Undangan Negeri (ADUN) dapat membawa usul tentang isu murtad agar dapat dibahas di Dewan Rakyat atau DUN.

Dalam pada itu, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Ahmad Syazwan Muhammad Hasan menggesa kesemua organisasi dan pengamal media tempatan supaya tidak menyelewengkan kefahaman agama Islam demi keuntungan masing-masing.

Katanya, penyelewengan di media boleh mengelirukan pelbagai pihak termasuk mahasiswa sendiri apatah lagi sejarah membuktikan pernah terjadi beberapa kes gerakan pemurtadan pelajar Islam di kampus-kampus universiti tempatan.

"Justeru, Gamis mengharapkan agar golongan yang disebut sebagai penyampai maklumat, media harus bebas beri maklumat betul kepada masyarakat (terutama dalam gerakan pemurtadan)," ujarnya.

Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor, Abdullah Mansor berkata, kegiatan pihak tertentu yang memperkecilkan institusi diraja dilihat semakin berani dan tindakan itu akhirnya akan merugikan penganut serta agama Islam dalam negara.

"Lebih menyedihkan gerakan itu turut didalangi oleh para pemimpin serta individu Islam sendiri," katanya.

Foto: ihsan Utusan Malaysia Online.

Source: Utusan Malaysia Online.

Simoncelli maut dalam kemalangan pusingan ke-2 MotoGP

Posted: 23 Oct 2011 08:27 AM PDT

23/10/2011 6:06pm

Foto: Utusan Malaysia/MUHAMAD IQBAL ROSLI.

Foto: Utusan Malaysia/MUHAMAD IQBAL ROSLI.


SEPANG 23 Okt. - Pelumba San Carlo Honda Gresini dari Itali, Marco Simoncelli, 24, maut dalam kemalangan pada pusing ke-2 kategori MotoGP yang berlangsung sebentar tadi. – Utusan

Source: Utusan Malaysia Online.

Mufti Perak beri peringatan

Posted: 23 Oct 2011 03:42 AM PDT

SHAH ALAM 22 Okt. – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria memberikan ingatan bahawa kelemahan dan perpecahan umat Islam yang berlaku hari ini menyebabkan ada pihak yang berani memesongkan akidah penganutnya, selain menghina agama tersebut sedangkan sebelum ini Islam begitu dihormati.

Beliau yang menjadi tumpuan kira-kira 10,000 peserta Himpunan Sejuta Umat: Selamatkan Akidah (Himpun) sebagai pemidato terakhir mengimbas kembali bagaimana kekuatan orang Melayu yang tetap berpegang teguh dengan agama mereka meskipun ketika dijajah selama 500 tahun.

Tan Sri Dr. Harussani Zakaria.


Malah beliau menyatakan, orang Melayu juga diberikan keistimewaan oleh Allah sebagai bangsa yang mempunyai kefasihan apabila dapat menguasai bacaan ayat suci al-Quran meskipun kitab suci itu diturunkan dalam bahasa Arab.

"Dalam semangat yang masih ada hari ini kita perlu pertahankan Islam. Bangsa Melayu adalah bangsa yang istimewa kerana Melayu dikaitkan dengan Islam sehingga ia membawa kepada pengertian dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kedatangan pendakwah ke Tanah Melayu menyebabkan orang Melayu menjadi Islam dan kedatangan Islam membolehkan orang Melayu membina empayar berasaskan kepada undang-undang Islam di Perak, Pahang dan Terengganu," katanya pada perhimpunan tersebut di Stadium Shah Alam di sini hari ini.

Menurut beliau, sejak zaman penjajahan lagi, kuasa kuffar tidak henti-henti berusaha untuk memesongkan akidah umat Islam di Tanah Melayu termasuk dengan mengadakan pelbagai muslihat.

"Hari ini usaha tersebut dilakukan secara terang-terangan kerana kedudukan orang Melayu semakin lemah. Kerana kelemahan itu, Islam yang satu ketika dahulu dihormati, (telah diganggu-gugat oleh) mereka (yang) berusaha memesongkan dan menghina kita," katanya.

Source: Mingguan Malaysia Online.

No comments:

Post a Comment

Informasi Anda..